TUJUH TIPU DAYA SYAITAN KE ATAS UMAT ISLAM
Empat objektif utama syaitan ke atas
manusia, iaitu:
1.
Menyesatkan
manusia.
2.
Mengkafirkan
manusia.
3.
Memusyrikkan
manusia.
4.
Menjadikan
manusia penghuni neraka.
Untuk mencapai objektif ini, syaitan memiliki pelbagai
ciri dan kemampuan sebagaimana yang telah kita pelajari dalam Bab Ketiga.
Dalam bab ini pula kita akan mempelajari bagaimana syaitan menggunakan
ciri-ciri dan kemampuan tersebut ke atas umat Islam untuk mencapai objektifnya.
Terdapat dua kaedah yang digunakan oleh syaitan untuk
mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya, iaitu:
Kaedah Pertama: Gangguan Secara Terus.
Kaedah ini lazimnya digunakan terhadap orang yang lemah
penghayatan agamanya atau yang mengabaikan agamanya. Syaitan secara terus akan
mengajaknya kepada kemungkaran yang jelas lagi diketahui ramai seperti minum
arak, berzina, berjudi dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan
kaedah syaitan yang pertama ini:
Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya
syaitan itu
ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan
perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang
kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak
langkah syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan,
maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh
(pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan
perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]
Kaedah Kedua: Gangguan Secara Tipu Daya.
Kaedah ini lazim ditujukan kepada orang yang memiliki
penghayatan agama atau berminat untuk meningkatkan penghayatan agamanya. Bagi
orang seperti ini, kaedah gangguan secara terus jarang digunakan kerana mereka
sudah mengetahui keharaman arak, judi dan zina. Maka syaitan menggunakan kaedah
tipu daya, iaitu menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menipu manusia
sehingga akhirnya tercapai objektifnya. Tipu daya ini sukar untuk dikesan,
bahkan orang yang mengalaminya merasai bahawa dia sedang berada di atas hidayah
dan kebenaran.
Insya-Allah dalam Bab Keempat ini saya
akan menyenaraikan tipu daya-tipu daya yang dimaksudkan, diikuti dengan
beberapa contoh bagaimana syaitan menjalankan setiap dari tipu daya tersebut.
Perkara penting yang perlu diingatkan di sini ialah cara syaitan menjalankan
tipu dayanya tidak terhad kepada contoh yang saya beri. Para pembaca sekalian
hendaklah bijak mengkaji dan menganalisa untuk mengetahui cara-cara lain
syaitan menggunakan sesuatu tipu dayanya.
Tipu Daya # 1: Menakutkan Umat Islam.
Tipu daya yang pertama ini dapat kita pelajari dari
ayat berikut:
Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan
yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya.
Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang
beriman.
[‘Ali Imran 3:175]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan
tipu daya syaitan yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berhadapan dengan
musuh dalam Perang Uhud. Lalu Allah mengingatkan umat Islam agar tidak takut
kepada musuh, sebaliknya takutlah kepada-Nya.
Pengajaran penting dari ayat ini ialah tipu daya
syaitan untuk meresapkan perasaan takut ke dalam hati dan fikiran manusia.
Perasaan takut ini tidak terhad kepada menghadapi musuh dalam peperangan,
tetapi meluas kepada pelbagai urusan lain. Antaranya ialah menuntut ilmu.
Syaitan mengetahui bahawa untuk mencapai salah satu
atau lebih dari empat objektifnya, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan umat
Islam dari ilmu berkenaan agama mereka. Syaitan mengetahui bahawa jika umat
Islam menguasai ilmu agama, khususnya al-Qur’an dan al-Sunnah, amatlah sukar
baginya untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni
neraka. Oleh kerana syaitan tidak dapat menghapuskan al-Qur’an dan al-Sunnah,
ia beralih kepada menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan al-Sunnah.
Caranya? Lakukan tipu daya untuk menakutkan umat Islam
dari menghampiri al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari menelaah
al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari mendengar atau membaca sesuatu
sumber ilmu yang dipenuhi dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Untuk
menakutkan umat Islam dari ilmu agama, syaitan memiliki 3 bisikan yang amat
masyhur:
Bisikan Pertama:
“Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut
ilmu dengan syaitan”.
Bisikan ini amat masyhur sehingga ia berjaya menakutkan
ramai umat Islam dari menuntut ilmu tentang agama mereka. Bahkan ada yang
menganggapnya sebagai sebuah hadis.
Sebenarnya berguru memang penting dalam Islam. Maksud
berguru ialah seorang yang rendah ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih
tinggi ilmunya. Cara atau sarana berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan,
menonton program di TV, mendengar rakaman, berdialog di internet dan duduk
berhadapan (face to face). Oleh itu, sebagai contoh, jika seseorang sedang
membaca buku Imam al-Nawawi rahimahullah, bererti dia sedang berguru dengan
beliau.
Akan tetapi syaitan telah masuk campur merosakkan
maksud berguru. Ia membataskannya kepada berguru secara berhadapan sahaja (face
to face). Syaitan mengetahui bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam
tidak akan dapat menuntut ilmu. Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah,
kerja dan keluarga sehingga sukar untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali
untuk beberapa ketika. Selain itu sukar pula untuk mencari guru yang berilmu,
amanah dan jujur untuk berguru secara face to face dengannya. Maka setelah
melakukan pembatasan tersebut, syaitan menakutkan orang ramai bahawa jika
mereka menuntut ilmu tanpa guru, yakni tanpa face to face dengan seorang guru,
maka orang itu sedang menuntut ilmu dengannya.
Bisikan syaitan ini dapat dilawan dengan penjelasan
bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dengan apa jua cara, asalkan ikhlas demi
memperbaiki agamanya, maka yang akan menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Allah berjanji di dalam al-Qur’an:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh
kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan
Kami;
dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah
adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.
[al-Ankabut 29:69]
Bisikan Kedua:
“Anda perlu menguasai bahasa arab terlebih dahulu.
Tidak boleh belajar agama tanpa bahasa arab.”
Melalui bisikan ini syaitan sekali lagi dapat
menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu agama. Melalui bisikan ini ramai yang
menggunakan masa dan tenaga yang dia miliki untuk belajar bahasa Arab.
Bertahun-tahun belajar tetapi yang diketahui hanya sekadar “Aina anta?”
Sebenarnya pada masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak
perlu menjadi prioriti untuk menuntut ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat
banyak buku-buku bahasa Arab yang sudah diterjemah ke bahasa Malaysia,
Indonesia dan Inggeris. Selain itu terdapat juga buku-buku dalam bahasa
Malaysia, Indonesia dan Inggeris yang dikarang oleh penulis yang menguasai
bahasa Arab dengan baik. Buku ini mewakili pelbagai subjek seperti aqidah,
tafsir, hadis, fiqh, akhlak dan lain-lain. Semua ini memudahkan kita menuntut
ilmu agama tanpa perlu menguasai bahasa Arab.
Dalam konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu
agama boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:
1.
Mereka
yang memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya
mengambil masa beberapa tahun belajar bahasa Arab dengan hajat ingin dapat
membaca kitab-kitab klasik[1] seperti Tafsir al-Qurtubi dan Syarh Shahih
Muslim bi al-Nawawi. Setelah beberapa tahun, segelintir di antara mereka ada
yang berjaya. Namun kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa tahun
tersebut, mereka masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang bahasa Arab.
Akhirnya mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
2.
Mereka
yang memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang
mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai aqidah
yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang selari dengan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka juga menguasai ilmu tafsir,
hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka mula memberi tumpuan kepada
mempelajari bahasa Arab.
Ini kerana pada tahap awal proses menuntut ilmu, bahasa
Arab tidak penting. Akan tetapi pada tahap seterusnya, bahasa Arab menjadi
penting untuk mereka melanjutkan kajian kepada sumber-sumber yang belum
diterjemahkan. Bahasa Arab juga menjadi penting dalam rangka menjawab
orang-orang yang kononnya ahli dalam bahasa Arab tetapi sengaja mengubah
terjemahan ayat al-Qur’an, hadis atau perkataan ulama’ silam dalam kuliah atau
tulisan mereka demi membenarkan pandangan mereka yang menyesatkan.
Oleh kerana kumpulan ini sudah memiliki penguasaan
dalam sesuatu subjek, mudah untuk mereka menelaah subjek tersebut dari sebuah
kitab berbahasa Arab. Sebagai contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam bahasa
Arab akan mudah ditelaah oleh orang yang mahir dalam subjek fiqh sekali pun dia
belum mahir dalam bahasa Arab. Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa
Arab tetapi lemah dalam subjek fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk
menelaahnya.
Ringkasnya, menguasai bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan
dalam ilmu-ilmu agama, apatah lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya
menakut-nakutkan umat Islam dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan
syarat penguasaan bahasa Arab terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini
dengan menuntut ilmu-ilmu agama dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah
aqidah dan asas-asas agama seperti ilmu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah.
Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan akhlak. Kemudian apabila anda memiliki
masa dan tenaga yang lebih, berilah tumpuan kepada bahasa Arab.
Bisikan Ketiga:
“Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan
kerana mungkin terdapat kesilapan terjemahan.”
Tidak ada buku yang sempurna dari kesilapan melainkan
al-Qur’an. Selain al-Qur’an, kemungkinan wujudnya kesilapan memang ada.
Demikian juga bagi buku-buku yang diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa
Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Kemungkinan kesilapan memang ada. Akan tetapi
kemungkinan tersebut amatlah kecil. Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab
terjemahan dan membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya
katakan bahawa kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya
syaitan yang membesar-besarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.
Lebih dari itu, kesilapan yang berlaku di sisi
penterjemah boleh juga berlaku di sisi penterjemah yang lain. Jika anda
menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat kesilapan ketika membaca sesebuah
kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada zaman awal dan pertengahan Islam.
Oleh itu lawanlah bisikan syaitan ini dengan cara
menelaah sesebuah buku terjemahan dengan teliti. Jika menemui sebuah kenyataan
yang memusykilkan, bertanyalah kepada orang yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah
dia akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau
kemusykilan yang sebenarnya satu kebenaran.
Demikian tiga contoh bisikan syaitan yang masyhur dalam
rangka menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu agama. Sungguh, apabila iblis
berjanji di hadapan Allah: “Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari
Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia),
kecuali sedikit (di antaranya).” [al-Isra’ 17:62], ia tidak sangka
bahawa amatlah mudah untuk melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat dilihat
pada masa kini dimana majoriti dari umat Islam amat takut untuk belajar
berkenaan agama mereka. Sekali pun sebahagian dari mereka memiliki kelulusan
pendidikan yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang Islam.
Mereka mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.
Apabila umat Islam tetap berada dalam keadaan jahil,
mudah bagi syaitan untuk mencapai objektifnya menyesat, mengkafir, memusyrik
dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Atas tipu daya syaitan ini, kita
akan temui kebanyakan orang yang memiliki penghayatan agama melaksanakan
penghayatan tersebut hanya dengan mengikuti orang-orang sebelum mereka atau
kumpulan tertentu. Amat sedikit yang menghayati agama berdasarkan kefahaman
yang jitu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf
al-Shalih.
Bahkan tanpa ilmu agama yang sahih, iaitu ilmu yang
berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, mudah untuk syaitan mencapai objektifnya
itu dengan melakukan tipu daya memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar.
Tipu helah ini akan kita kaji seterusnya insya-Allah.
Maka kepada para pembaca sekalian, jika terlintas di
hati anda perasaan takut untuk menuntut ilmu, ketahui bahawa itu adalah
lintasan dari syaitan. Ucaplah “A’uzubillahi minas syaitan nirrajim” dan
terus memberanikan diri anda untuk menuntut ilmu.[2]
Selain menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu,
syaitan juga menakutkan umat Islam dengan cara-cara berikut:
Ø Menakutkan dari menyampaikan
ilmu yang hak. Bagi orang yang berilmu, syaitan menakutkan mereka dari
menyampaikan kebenaran. Konon, jika dia menyampaikan kebenaran, dia akan
kehilangan kerja atau akan disisih oleh masyarakat.
Ø Menakutkan dari bersedekah. Bagi
yang ingin bersedekah, syaitan berbisik bahawa sedekah itu hanya akan merugikan
dia atau orang yang dia sedekahkan itu akan mensia-siakan sedekah tersebut.
Ø Menakutkan dari bersikap
jujur. Syaitan banyak mengganggu dengan ketakutan ini. Syaitan menghasut, konon
martabat dan harga diri seseorang akan jatuh jika dia bersikap jujur untuk
meminta maaf atas sesuatu kesilapannya atau berkata “Saya tidak boleh
melakukannya” untuk sesuatu permintaan.
Oleh kerana itu dua frasa yang paling sukar untuk disebut
ialah “Maaf, saya silap” dan “Saya tidak boleh”. Semakin tinggi kedudukan atau
kemasyhuran seseorang, semakin sukar untuk dia menyebut dua frasa tersebut.
Ramai memilih untuk bersikap diam atau membuat alasan-alasan yang lain, padahal
sikap seperti itulah yang sebenarnya menjatuhkan martabatnya dan memurahkan
harga dirinya.
Tipu Daya # 2: Memperindahkan Perkara Mungkar.
Apabila syaitan diusir dari langit, ia berjanji:
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku
sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan
(segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini,
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr 15:39]
Tipu daya ini telah dilaksanakan oleh syaitan kepada
setiap generasi umat manusia dari awal:
Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul
kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad),
lalu syaitan memperindahkan pada (pandangan) mereka
akan amal-amal mereka (yang sebenarnya mungkar);
maka Dia-lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini (Hari Kiamat)
dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[al-Nahl 16:63]
Maksud memper-indahkan perkara mungkar ialah memberi
pengaruh palsu kepada umat Islam bahawa apa yang sedang mereka lakukan adalah
amal shalih yang baik lagi sesuai dengan Islam. Akan tetapi yang benar apa yang
sedang dilakukan itu adalah amal mungkar yang buruk lagi bertentangan dengan
Islam. Amatlah mudah bagi syaitan untuk memperindahkan sesuatu yang sebenarnya
mungkar kerana sejak awal ia telah berjaya menakutkan umat Islam dari menuntut
ilmu (Tipu Daya # 1). Tanpa ilmu, umat Islam tidak dapat mengukur baik atau
buruk sesuatu perkara berdasarkan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Terdapat beberapa cara syaitan memperindahkan perkara
mungkar. Antaranya ialah dengan memberi nama-nama yang indah kepada sesuatu
yang sebenarnya haram. Ini dapat kita pelajari dari pengalaman Nabi Adam ‘alaihi
salam. Ketika Adam berada dalam syurga, Allah Subhanahu wa Ta’ala berpesan
kepadanya, bahawa dia boleh memakan apa jua yang dia sukai kecuali satu jenis
pohon (pokok):
Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu
dalam syurga,
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua
sukai,
dan janganlah kamu hampiri pohon ini;
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah 2:35]
Syaitan ingin mengeluarkan Adam dari syurga. Bagaimana
caranya? Ahaa! Tukar nama pohon yang “dilarang” kepada nama yang lebih indah,
seperti pohon yang “memberi kehidupan dan kekuasaan yang kekal abadi”. Allah Subhanahu
wa Ta’ala menerangkan tipu daya syaitan ini:
Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu
pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya,
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
[Ta-Ha 20:120]
Tipu daya syaitan dalam memperindahkan perkara mungkar
tidak terhad kepada menukar nama. Pada kesempatan ini saya ingin berikan dua
contoh amalan yang lazim dilakukan oleh masyarakat yang telah diperindahkan
oleh syaitan.
Contoh Pertama: Zikir Berirama.
Pada masa kini terdapat satu amalan yang semakin
meningkat kemasyhurannya, iaitu zikir dengan suara yang kuat (jahr)
secara beramai-ramai dengan mengikuti irama atau rentak tertentu. Zikir
berirama sebenarnya sudah wujud pada zaman pertengahan Islam. Akan tetapi pada
masa kini dengan adanya teknologi moden seperti mikrofon, alat pembesar suara,
kaset, cakera padat dan sebagainya, zikir berirama pantas mendapat tempat di
hati orang ramai.
Apabila ditanya, kenapa kalian suka kepada zikir
berirama? Mereka menjawab bahawa zikir berirama menghasilkan banyak kebaikan
seperti hati yang khusyuk dan jiwa yang terasa seolah-olah diberi suntikan
hidup yang baru (revitalized and recharged). Sebahagian lain menjawab,
keindahannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Kemudian mereka
mengemukakan ayat berikut sebagai hujah:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah.
Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
[al-Ra’d 13:28]
Sebenarnya yang mengindahkan zikir berirama ialah
syaitan. Syaitan mengindahkannya agar dengan itu umat Islam terhindar dari
zikir yang sebenarnya disyari‘atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, iaitu:
Dan sebutlah serta ingatlah (zikir) akan Tuhanmu dalam hatimu
dengan merendah diri serta dengan perasaan takut,
dan dengan tidak pula menguatkan suara (jahr) pada waktu pagi dan
petang,
dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[al-A’raaf 7:205]
Berdasarkan ayat di atas, dapat diketahui bahawa zikir
yang dihendaki oleh Yang kita tujukan zikir (Allah) ialah:[3]
1.
Ingatan
dalam hati.
2.
Sikap
merendahkan diri kerana mengingati kebesaran Yang sedang ditujukan zikir.
3.
Sikap
takut kepada Yang sedang ditujukan zikir.
4.
Secara sirr
dan bukan jahr. Sirr ialah menyebut bacaan zikir dengan lidah
dan bibir sehingga bacaan dapat didengar oleh orang yang sedang berzikir dan
orang di sebelahnya. Jahr ialah menyebut bacaan zikir dengan getaran
kotak suara di kerongkong sehingga suaranya dapat didengar oleh orang ramai di
sekeliling.
Apabila seseorang itu berzikir dengan cara, kalimah dan
jumlah yang dikehendaki oleh Allah, maka Allah akan mengurniakan ketenteram
hati seperti yang dijanjikan-Nya dalam ayat 28 surah al-Ra’d. Ada pun bagi
cara, kalimah dan jumlah yang berbeza dari yang dikehendaki oleh Allah, maka
yang mengurniakan ketenteraman hati bukanlah Allah tetapi syaitan.
Contoh Kedua: Memagar Rumah.
Zukfikli beberapa kali menjengok keluar dari pintu
rumahnya. Sudah hampir 15 minit dia duduk di kerusi malas yang diletakkannya di
hadapan pintu. “Bila jamaah masjid nak sampai? Harap tuk imam tidak ada urusan
lain. Harap dia dapat datang seperti yang dijanjikan” Demikian bisik hati
Zulkifli dengan penuh debaran.
Jam di dinding menunjukkan waktu 7.22 malam. Pada malam
itu, selepas solat Maghrib, Zulkifli merancang membuat kenduri doa selamat dan
majlis memagarkan rumah. Sejak beberapa minggu yang lepas, terasa seolah-olah
ada sesuatu yang asing di rumah. Pintu dan tingkap bergerak sendiri padahal
tiada angin yang bertiup. Sekali sekala di tepi anak mata ternampak seolah-olah
ada bayangan yang bergerak. Namun apabila ditoleh, ternyata tiada apa-apa.
Jiran-jiran dan rakan-rakan di pejabat mencadangkan
agar Zulkifli memagar rumahnya. Kata mereka, ada makhluk ghaib yang keluar
masuk dan turut menumpang di rumahnya. Atas cadangan itu, Zulkifli menjemput
imam masjid dan para jamaahnya untuk membuat kenduri doa selamat dan majlis
memagar rumah.
Nasi minyak, ayam masak merah, kuah dalca dan acar buah
telah siap disediakan. Akan tetapi di antara semua persediaan tersebut yang
terpenting ialah 2 botol air mineral yang disediakan atas permintaan imam.
Air-air tersebut akan dijampi, kemudian dituang di sekeliling rumah. Kata imam,
air tersebut akan bertindak sebagai pagar ghaib yang memagar rumah dari makhluk
ghaib. Zulkifli tidak tahu bacaan apa yang bakal dijampikan. Akan tetapi dia
yakin, tuk imam tahu apa yang patut dibacakan.
“Samaikuuum!” Kedengaran bunyi salam di pintu pagar.
“Waikumsalaaam” jawab Zulkifli, penuh kelegaan. “Jemputlah masuk” sambung
Zulkifli setelah melihat tuk imam dan beberapa orang jamaah masjid sedang
berdiri di pintu pagarnya.
Amalan memagar rumah adalah sesuatu yang masyhur di
Malaysia. Orang memagar rumah kerana ingin melindunginya dari gangguan makhluk
ghaib atau kerana menyangka makhluk sedang mengganggu rumahnya. Di sebalik
semua itu, yang sebenarnya mengganggu ialah syaitan. Untuk sebahagian orang, ia
mengganggu dengan membisikkan perasaan takut kepada makhluk ghaib (Tipu Daya #
1) agar dengan itu orang tersebut akan berusaha memagar rumahnya. Untuk
sebahagian yang lain, ia mengganggu dengan mengerak-gerakkan pintu dan tingkap,
membuat suara aneh, memberi mimpi buruk, merasuk dan pelbagai lagi. Semua ini
dengan tujuan agar penghuni rumah berusaha untuk memagar rumah.
Kenapa amalan memagar rumah menjadi penting kepada
syaitan? Kepentingannya dapat dijelaskan dengan langkah-langkah berikut:
1.
Syaitan
tahu dengan memagar rumah, penghuninya akan meletakkan keyakinan kepada alat
yang dianggap sebagai pagar. Alat itu mungkin air jampi, tongkat, penyapu lidi
dan sebagainya. Maka untuk menghasut penghuni rumah memagar rumahnya, syaitan
mengganggu mereka dengan bisikan ketakutan atau perbuatan yang aneh di rumah.
2.
Setelah
alat tersebut dijampi dan penghuni rumah meletakkannya pada tempat yang
sepatutnya, syaitan serta merta menghentikan gangguannya.
3.
Dengan
terhentinya gangguan, penghuni rumah akan segera berkeyakinan bahawa “pagar”nya
telah berjaya menghalau makhluk ghaib.
4.
Dengan
keyakinan kepada sesuatu selain Allah untuk memelihara rumahnya dari mudarat,
penghuni rumah telah syirik kepada Allah.
5.
Akhirnya
tercapailah hajat syaitan untuk memusyrikkan umat Islam. Syaitan mengindahkan
amalan memagar rumah padahal amalan tersebut sebenarnya adalah satu
kemungkaran.[4]
Sebenarnya Islam telah pun mengajar amalan memagar
rumah yang bersih dari unsur syirik. Ia amat mudah dan boleh dilakukan dengan
sendiri. Caranya, ucaplah Basmalah (Bismillah) setiap kali hendak
memasuki rumah. Tutuplah pintu dan tingkap dengan membaca Basmalah juga.
Hadis-hadisnya boleh dirujuk dalam Bab Ketiga, ketika mengupas ciri
syaitan # 12.
Kemudian hendaklah para penghuni rumah beristiqamah
dengan perintah larangan agama. Kaedah yang mudah dalam persoalan ini ialah:
“Jika kita takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka syaitan akan
takut dari mengganggu kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah, maka
syaitan juga tidak akan takut dari mengganggu kita.” Oleh itu jika penghuni
rumah tidak takut kepada Allah sehingga berani mengabaikan perintah larangan
Allah, syaitan juga akan berani mengganggunya. Sebagai contoh, bagi kes
Zulkifli di atas, hendaklah dia tidak duduk di rumah menunggu jamaah masjid
sampai. Sebaliknya hendaklah dia ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib
berjamaah.
Tipu Daya # 3: Mempelbagai Jalan Kebenaran.
Di samping berjanji untuk memperindahkan perkara
mungkar, syaitan juga berjanji untuk menghalang umat Islam dari jalan Allah (Shirat
al-Mustaqim). Seterusnya ia akan membuat banyak jalan yang lain dan
memperindahkannya sehingga umat Islam menganggap jalan-jalan tersebut adalah Shirat
al-Mustaqim padahal ia bukan. Allah Subhanahu wa Ta’ala merakam
perjanjian syaitan ini:
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)
menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil
tempat
menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat
al-Mustaqim).
Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang
mereka,
dari kanan mereka serta dari kiri mereka;
dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
[al-A’raaf 7:16-17]
Perjanjian, atau lebih tepat, tipu daya syaitan ini
benar-benar telah dilaksanakannya sejak dari zaman awal Islam sehinggalah pada
masa kini. Syaitan menghalang umat Islam dari jalan Allah yang tulen lagi benar.
Kemudian ia membuat banyak jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan
menyebut bahawa ia akan datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat
arah ini bukan bererti empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang
dibukakannya. Ini umpama seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku dari
hadapan, belakang, kanan dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti ada empat orang
musuh, tetapi bererti ada banyak musuh yang datang dari semua sudut.
Tipu daya # 3 ini dilaksanakan syaitan bersama tipu
daya # 1 dan 2. Pertama sekali, syaitan menakutkan umat Islam dari menuntut
ilmu. Tanpa ilmu, umat Islam tidak tahu yang benar Shirat al-Mustaqim dan
yang mana tidak. Kemudian syaitan membuka beberapa jalan yang baru.
Walaubagaimana pun syaitan tahu bahawa jalan yang baru tidak cukup untuk
menarik umat Islam kepadanya. Perlu diletak sesuatu umpan di atasnya. Maka
syaitan mengambil satu atau dua ajaran yang berasal dari Shirat al-Mustaqim
dan meletakkannya di atas jalan baru tersebut sebagai umpan.
Bagi setiap jalan, syaitan meletakkan umpan yang
berbeza-beza. Kemudian syaitan memperindahkan umpan tersebut, konon ia adalah
ajaran yang paling penting dalam Islam. “Memadai memberi tumpuan kepada ajaran
tersebut, nescaya lengkaplah Islam anda!” demikian bisik syaitan di depan pintu
masuk bagi setiap jalan. Kemudian bagi setiap jalan ada syaitan
dipertengahannya yang berbisik: “Hendaklah kalian bersungguh-sungguh
melaksanakan ajaran tersebut!” Maka orang yang berada di atas jalan-jalan
tersebut menokok tambah ajaran itu sehingga ia akhirnya jauh berbeza dari apa
yang asalnya diambil dari Shirat al-Mustaqim.
Kini setiap jalan sudah memiliki ajaran yang membentuk
dasarnya yang tersendiri. Akhir sekali, syaitan memberikan nama-nama indah bagi
setiap jalan untuk menarik lebih ramai orang ke atasnya. Nama-nama itu ialah
apa yang biasa kita temui pada aliran-aliran yang wujud pada masa kini di dunia
Islam. Berikut dikemukakan beberapa aliran yang masyhur diikuti dengan
umpannya:
1.
Aliran Tareqat.
Umpannya ialah zikir dan kebersihan hati.
2.
Aliran Dakwah.
Umpannya ialah keluar sekian-sekian hari untuk berdakwah.
3.
Aliran
Kepartian. Umpannya ialah menegakkan politik Islam dan kepimpinan negara.
4.
Aliran
Liberal. Umpannya ialah membuka ajaran Islam agar sesuai dengan zaman.
5.
Aliran
Khalifah. Umpannya ialah menegakkan khalifah umat Islam.
6.
Aliran Syi‘ah.
Umpannya ialah mengangkat Ahl al-Bait menjadi khalifah umat Islam.
7.
Aliran Falsafah.
Umpannya ialah ayat-ayat al-Qur’an yang menyuruh umat Islam berfikir.
Demikian beberapa contoh jalan-jalan yang dibuka oleh
syaitan sehingga akhirnya muncullah di atas jalan-jalan tersebut aliran-aliran
yang memiliki ajaran dasarnya yang tersendiri. Setiap orang akan menganggap
jalan merekalah yang paling benar, paling baik hingga akhirnya berlakulah
permusuhan, tuduh-menuduh dan sangkaan buruk antara satu sama lain. Padahal
mereka semuanya adalah umat Islam. Semua ini adalah hasil tipu daya syaitan
jua:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman),
supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan yang amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka;
sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi
manusia.
[al-Isra’ 17:53]
Orang-orang yang berada di atas jalan-jalan tersebut
benar-benar menganggap mereka sedang mendapat hidayah dan berada di atas Shirat
al-Mustaqim padahal mereka berada di atas jalan dan hidayah syaitan:
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari
jalan yang benar,
sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat
hidayah.
[al-Zukhruf 43:37]
Hanya satu jalan yang betul, iaitu jalan Shirat
al-Mustaqim yang dibuka oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada
Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang-orang yang berada
di atas jalan ini dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.[5]Inilah satu-satunya jalan yang benar yang
Allah perintah kita untuk berada di atasnya:
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut
jalan-jalan (yang lain)
kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,
Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu
bertaqwa.
[al-An’aam 6:153]
Inilah juga jalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, sesiapa yang memilih jalan lain sehingga berpecah menjadi
puak-puak atau jamaah-jamaah, masing-masing puak atau jamaah dengan jalan yang
tersendiri, maka Rasulullah berlepas diri dari mereka. Allah Subhanahu wa
Ta’ala berfirman:
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka
dan mereka menjadi berpuak-puak,
tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam
(perbuatan) mereka.
Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah.
Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat
kelak),
apa yang telah mereka lakukan.
[al-An’aam 6:159]
Sebelum beralih ke tipu daya seterusnya, ingin saya
tegaskan semula apa yang telah saya sebut di bahagian Kata Pembuka, bahawa
tujuan saya menyebut aliran-aliran di atas bukanlah untuk mencela para
pengikutnya, tetapi untuk menyedarkan bahawa apa yang dipegang selama ini perlu
dianalisa semula.
Jika di kalangan pembaca ada yang mengikuti salah satu
dari tujuh aliran yang saya sentuh di atas, saya harap anda dapat bersikap adil
dalam menganalisa aliran yang anda ikuti. Hayatilah ayat 153 serta 159 surah
al-An’aam dan bandingkanlah dengan ayat 16-17 surah al-A’raaf. Kemudian renungilah
ayat 37 surah al-Zukhruf. Cuba tanya diri anda dengan jujur: “Adakah saya akan
mengikut aliran saya sekarang ini jika sejak awal saya telah mengetahui tipu
daya syaitan # 3 ini?”
Tipu Daya # 4: Janji Dan Angan-Angan Kosong.
Allah Subhanahu wa Ta’ala membongkar tipu daya
syaitan yang keempat ini dalam firman-Nya:
Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka
dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan
itu
tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
[al-Nisa’ 4:120]
Cara syaitan melaksanakan tipu daya ini berkait rapat
dengan tipu daya # 3 yang telah dipelajari sebelum ini. Seperti yang
dijelaskan, setelah membuka jalan-jalan yang baru, syaitan meletak umpan di
setiap pintunya dan menjemput umat Islam memasuki jalan tersebut kerana
umpannya. Kemudian bagi setiap jalan, ada syaitan di pertengahannya yang
berbisik agar umpan tersebut ditokok tambah sehingga jauh berbeza dari asalnya.
Akhir sekali, bagi setiap jalan ada syaitan di
hujungnya. Syaitan ini kerjanya menabur janji kejayaan dan angan-angan
kemenangan bagi orang-orang yang berada di atas setiap jalan. Bagi orang yang
mengikuti jalan atau aliran tareqat, syaitan memberi janji dan
angan-angan kosong jika mereka berzikir dengan jumlah sekian-sekian bagi setiap
malam, kedudukan mereka akan naik dari awam kepada khusus. Bagi orang yang
mengikut jalan atau aliran kepartian, syaitan memberi janji dan
angan-angan kosong jika mereka terus memberi tumpuan kepada persoalan politik,
status negara Islam akan dapat dicapai. Demikianlah seterusnya bagi setiap
jalan atau aliran, syaitan menabur janji dan angan-angan kosong agar dengan itu
umat Islam tetap setia kepada aliran masing-masing.
Tipu daya janji dan angan-angan kosong juga
ditabur ke atas individu. Antaranya:
1.
Bagi
orang yang banyak berbuat maksiat, syaitan menabur angan-angan agar tidak perlu
bertaubat serta merta, sebaliknya tunggulah dulu hingga apabila mencapai umur
persaraan.
2.
Bagi
orang yang sedang menuntut ilmu, syaitan menabur angan-angan bahawa apabila dia
mencapai kelulusan PhD., maka dia telah mencapai kemuncak ilmunya.
3.
Bagi
orang yang bersolat lima kali sehari, syaitan menabur janji bahawa amalan itu
sudah mencukupi, tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang lain.
4.
Bagi
orang yang ingin membanteras bid‘ah, syaitan menabur janji bahawa jika dia
bersikap keras, nescaya semua bid‘ah akan berjaya dihapuskan.
5.
Bagi
orang yang ingin menegakkan sunnah, syaitan menabur janji bahawa jika dia
bergerak pantas, sunnah akan dapat ditegakkan dengan sekelip mata.
Tipu Daya # 5: Mengubah Ciptaan Allah.
Tipu daya kelima ini dinyatakan sendiri oleh syaitan:
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari
kebenaran),
dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka
dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya
aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak)
lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu;
dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka
mengubah ciptaan Allah.”
[al-Nisa’ 4:119]
Dalam kenyataan di atas, syaitan berjanji akan
melakukan beberapa perkara kepada umat Islam, iaitu:
1.
Menyesatkan
umat Islam dari jalan Allah. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 3.
2.
Menabur
angan-angan kosong. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 4.
3.
Membelah
telinga binatang. Ini adalah amalan masyarakat jahiliyah dimana mereka membelah
telinga binatang sebagai tanda binatang tersebut adalah istimewa dan dapat
dijadikan sembahan atau korban kepada tuhan berhala mereka.
4.
Mengubah
ciptaan Allah. Perkara keempat inilah yang menjadi tumpuan kita.
Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan Islam,
apakah yang dimaksudkan dengan “mengubah ciptaan Allah”. Di antara mereka ada
yang berkata, ia adalah mengubah anggota badan seperti mencacatkannya atau
menokok tambah kecantikan. Di antara mereka ada yang berkata, ia adalah
mengubah agama Allah, iaitu Islam. Pendapat kedua adalah lebih kuat berdasarkan
rujukan kepada ayat berikut:
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan:
agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia
(dengan keadaan bersedia dari semulajadi – fitrah) untuk
menerimanya.
Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu;
itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui.
[al-Rum 30:30]
Maksud mengubah ciptaan Allah ialah mengubah agama
Islam. Mengubah agama Islam bererti menambah, mengurang dan mengusuai dari yang
tulen. Inilah juga yang disebut sebagai bid‘ah.
Satu contoh mudah, agama Islam yang tulen mengajar
bahawa doa sebelum makan hanya dengan membaca Basmalah (Bismillahi Rahmani
Rahim). Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
telah dikemukakan sebelum ini: “Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan
mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika
ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak
memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”[6]
Akan tetapi syaitan telah mengubah amalan ini kepada
membaca doa yang berbeza. Sekali pun seseorang itu membaca Basmalah,
syaitan menghasutnya untuk menambah dengan doa-doa yang lain. Ini adalah satu
bid‘ah dan inilah perubahan agama yang diinginkan oleh syaitan. Mungkin di
kalangan pembaca ada yang tertanya: “Bukankah membaca doa tambahan sebelum
makan adalah satu kebaikan?” Pertanyaan ini dijawab, bahawa kebaikan yang
sebenar berasal dari Allah dan Rasul-Nya. Ada pun selain itu yang dianggap
kebaikan, ia tidak lain adalah tipu daya syaitan yang memperindahkan perkara
mungkar (Tipu Daya # 2).[7
Sebagai tambahan, dalam ayat 119 surah al-Nisa’
di atas, syaitan bukan sahaja akan menyuruh umat Islam membuat bid‘ah agama
tetapi bersumpah bahawa ia benar-benar akan mengerah dan memastikan umat Islam
membuat bid‘ah. Perhatikan semula kata-kata syaitan ini yang didahului dengan
sumpah: “…dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mengubah
ciptaan Allah.”
Atas sumpah inilah kelihatannya syaitan berjaya
menghasut sebegitu ramai umat Islam untuk membuat bid‘ah. Tidak sekadar itu,
syaitan juga memastikan agar mereka yang membuat bid‘ah kekal dengan bid‘ah
tersebut. Oleh kerana itulah apabila cuba ditegur orang yang membuat bid‘ah,
teguran itu tidak lain hanya akan menyebabkan orang tersebut lebih
bersungguh-sungguh dalam bid‘ahnya. Kecuali segelintir yang ikhlas beragama,
mereka mengetahui bahawa bid‘ah adalah tipu daya syaitan. Maka mereka segera
meninggalkan bid‘ah tersebut dan kembali kepada Islam yang tulen, yang belum
mengalami perubahan.[8]
Tipu Daya # 6: Menjadi Jurucakap Allah.
Dalam ayat 169 surah al-Baqarah, Allah Subhanahu wa
Ta’ala mengingatkan:
Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan
perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu
tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:169]
Apakah yang dimaksudkan dengan “…berkata terhadap
Allah apa yang kamu tidak ketahui”? Mudahnya, ia seumpama menjadi
jurucakap Allah. Syaitan akan menghasut seseorang itu untuk menjadi jurucakap
Allah (spokesman anad spokeswomen for god), iaitu bercakap tentang Allah
dan Islam tanpa ilmu pengetahuan. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui” merujuk
kepada orang-orang jahiliyah dan kafir musyrik yang mendakwa Allah memiliki
anak, malaikat ialah anak perempuan Allah dan berhala-berhala mereka ialah
wakil Allah di muka bumi. Maha Suci Allah dari semua dakwaan itu.
Ada pun pada masa kini, “…berkata terhadap Allah
apa yang kamu tidak ketahui”berlaku dalam beberapa bentuk. Berikut
dikemukakan tiga contoh:
Contoh Pertama: Mengulas Sebab Di Sebalik Sesuatu
Tragedi.
Apabila berlaku sesuatu tragedi alam seperti banjir,
gempa bumi dan kemarau, akan ditemui orang-orang yang memberi ulasan: “Tragedi ini
berlaku kerana kilang arak di sana”, atau “Semua ini berlaku kerana ajaran
sesat penduduknya”. Seolah-olah yang mengulas itu mempunyai hubungan terus (direct
line) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan
kenapa sesuatu tragedi itu berlaku. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan
terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah
apa yang kamu tidak ketahui.”
Benar bahawa semua tragedi, atau lebih tepat: bala’
berlaku dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala. Akan tetapi kita
tidak tahu mengapa Allah menurunkan bala’ tersebut. Lebih dari itu tidak
semua bala’ Allah turunkan kerana dosa yang pernah dilakukan oleh
mangsanya. Ini kerana bala’ juga boleh jadi satu ujian Allah kepada para
hamba yang dicintai-Nya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ
عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا
ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ
فَلَهُ
الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.
Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan
besarnya bala’.
Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum,
Dia menurunkan bala’ kepada mereka.
Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya
dan sesiapa yang marah maka Allah murka kepadanya.[9]
Seandainya kita hidup bersama Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dan bertanya kepada baginda mengapa sesuatu bala’
berlaku, nescaya baginda sendiri tidak berani berkata apa-apa melainkan diam
sehingga turun wahyu dari Allah untuk menerangkan sebabnya. Oleh itu sikap yang
benar dalam menghadapi sesuatu tragedi atau bala’ bukanlah mengulas
mengapa ia berlaku tetapi mengulas apa yang telah kita lakukan untuk membantu mangsanya.
Contoh Kedua: Menyampaikan Hadis Tanpa Menyemak Sumber
Dan Darjatnya.
Menjadi satu kebiasaan di Malaysia bahawa hadis-hadis
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam disampaikan tanpa memerhatikan
sumber dan darjatnya. Apa saja yang dikenali sebagai hadis, maka ia terus
dianggap sebagai benar-benar berasal dari mulut Rasulullah. Padahal apabila
disemak hadis-hadis tersebut, nescaya kebanyakan darinya tidak memiliki asal
usulnya atau memiliki darjat yang tidak menepati disiplin ilmu hadis sehingga
tidak dapat disandarkan kepada Rasulullah.
Sama-sama diketahui bahawa ucapan Rasulullah adalah
wahyu yang berasal dari Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung
dengan Islam)
menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis)
tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
[al-Najm 53:3-4]
Apabila sesuatu hadis disampaikan tanpa menyemak sumber
dan darjatnya, orang yang menyampaikannya telah menjadikan hadis tersebut
sebagai wahyu yang berasal dari Allah. Seolah-olah dia mempunyai hubungan terus
(direct line) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam
menerangkan hadis itu dan ini. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus
dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa
yang kamu tidak ketahui.”
Benar bahawa jumhur ilmuan membolehkan hadis yang
ringan kelemahannya disampaikan untuk tujuan keutamaan amal (Fadhail al-Amal)
dan menganjurkan yang baik serta mengancam yang buruk (al-Targhib wa
al-Tarhib). Akan tetapi kebolehan ini hanya khusus untuk ahli hadis kerana
hanya mereka yang tahu kadar kelemahan sesuatu hadis. Para agamawan seperti
imam, khatib, ustaz dan ustazah bukanlah ahli hadis, oleh itu kebolehan di atas
tidak meliputi mereka.
Contoh Ketiga: Membicara Agama Tanpa Ilmu.
Berbincang tentang Islam memang baik jika ia didasari
kepada ilmu yang sahih. Sebaliknya berbincangan tentang Islam menjadi tercela
jika ia dilakukan tanpa ilmu atau dengan ilmu yang menyeleweng. Mutakhir ini
ramai orang yang suka berbincang tentang Islam. Sama ada ceramah di masjid,
kuliah di surau, berbalas pandangan di internet atau sembang-sembang di kedai
kopi, ramai yang suka berbincang tentang Islam. Tak kira sama ada orang-orang
yang berbincang itu duduk dalam jurusan agama atau selainnya, pelbagai
pemikiran, hukum dan petua dikemukakan tanpa henti. Seolah-olah Islam adalah
sebuah cerpen agama, masing-masing boleh mengarang cerita khayalannya sendiri.
Lebih tepat, seolah-olah semua orang mempunyai hubungan
terus (direct line) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah
untuk menerangkan sekian-sekian pemikiran, hukum dan petua berkenaan agama-Nya.
Padahal dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya
untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Jika hendak dibandingkan, 1400 tahun yang lalu terdapat
seorang manusia yang terkenal amanah lagi jujur. Dia adalah seorang yang
pendiam, tidak berkata-kata kecuali sesuatu yang benar dan bermanfaat. Dia
adalah manusia yang amat disayangi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga
Allah melantiknya menjadi pesuruh-Nya bagi menyampai agama yang terakhir kepada
manusia. Orang yang saya maksudkan ialah Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam. Akan tetapi sekali pun baginda memiliki kedudukan yang amat mulia
di sisi Allah, Allah tetap memberi amaran kepadanya:
Dan kalaulah (Muhammad) mengatakan atas nama Kami sebarang
kata-kata rekaan,
sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami,
kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya!
[al-Haqqah 69:44-46]
Tipu Daya # 7: Memberi Nasihat.
Tipu daya syaitan yang ketujuh adalah sesuatu yang
tidak kita sangka-sangkakan. Memang, enam tipu daya yang pertama juga tidak
kita sangkakan. Akan tetapi yang ketujuh ini melebihi enam yang pertama. Tipu
daya syaitan yang ketujuh ialah, ia berpura-pura memberi nasihat kepada kita.
Ia berbisik atau bercakap melalui lisan orang yang kita percayai sehingga kita
yakin itu adalah nasihat yang jujur dari hati ke hati. Akan tetapi di sebalik
nasihat tersebut, syaitan hanya ingin menyesat, mengkafir, memusyrik dan
menjadikan kita ahli neraka.
Tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan:
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat
kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:21]
Satu contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya
ini ialah seperti berikut:
(Allah berfirman) “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di
dalam syurga
serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu
berdua sukai
dan janganlah kamu hampiri pokok ini,
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari
orang-orang yang zalim.”
Setelah itu maka syaitan membisikkan (nasihat) kepada mereka
berdua
supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka
yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia
berkata:
“Tidaklah Tuhan kamu berdua melarang kamu berdua
daripada (menghampiri) pohon ini melainkan (kerana Dia tidak suka)
kamu berdua
menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal
(selama-lamanya di dalam syurga).”
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat
kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:19-21]
Dalam peristiwa di atas, syaitan memberi nasihat kepada
Adam dan Hawa: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri)
pokok ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau
menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).”
Nasihat ini pada zahirnya kelihatan baik, tetapi ia sebenarnya bersikap batu
api dan provokatif. Dengan nasihat ini syaitan ingin menimbulkan keraguan,
buruk sangka dan permusuhan kepada Adam dan Hawa terhadap Allah. Setelah
memberi nasihat itu, syaitan bersumpah bahawa ia bukan dari kalangan yang
menghasut Adam dan Hawa dengan kemungkaran, tetapi: “Sesungguhnya aku
adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
Dalam rangka melaksanakan tipu daya memberi nasihat,
syaitan kadangkala membisikkan nasihatnya secara terus kepada orang yang ingin
diganggunya. Pada ketika yang lain ia membisikkan nasihatnya kepada orang yang
diyakini oleh orang yang ingin diganggunya. Diingatkan semula bahawa syaitan
adakalanya menggunakan umat Islam sebagai agennya. Strategi ini pernah
digunakan oleh syaitan terhadap para Nabi, maka bukanlah merupakan satu
keanehan jika ia menggunakannya terhadap kita juga:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh
dari syaitan-syaitan manusia dan jin,
setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain
kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya
pendengarnya.
[al-An’aam 6:112]
Berikut dikemukakan dua contoh bagaimana syaitan
melaksanakan tipu daya # 7 ini dengan menggunakan agen-agen umat Islamnya:
Contoh Pertama: Masalah Rumah Tangga.
Kepada para pembaca sekalian, umpamakan anda memiliki
masalah rumah tangga. Bagi yang belum, berlakonlah seolah-olah anda baru
bernikah dan kini memiliki masalah rumah tangga. Umpamakan masalah tersebut
ialah pasangan anda akhir-akhir ini menjauhkan diri dari anda. Pasangan anda
tidak mengucapkan salam ketika masuk rumah, tidak duduk semeja untuk makan
malam dan tidak lagi meluangkan masa bersenda gurau bersama anda.
Kemudian ceritakan masalah ini kepada rakan pejabat,
jiran, saudara atau sesiapa lain. Nescaya akan didapati nasihat yang lebih
kurang berbunyi:
- “Dia sekarang ada hubungan sulit dengan orang lain. Pergi selidik segera!”
- “Dia sekarang dah hilang citarasa kepada anda. Tengoklah perut anda yang boroi tu! Malam nanti bila dia tidur, tiupkan di ubun-ubunnya ayat 31 surah ‘Ali Imran: Qul inkuntum tuhibbuna…”
- “Cuba semak emel dan sms dia, mungkin ada hubungan dengan kekasih lamanya.”
- “Ada orang dengki dengan kalian berdua. Pasti dah kena sihir agaknya.”
- “Hmm! Confirm buatan orang. Aku kenal seorang bomoh ini yang boleh bantu engkau lawan balik!”
Nasihat-nasihat di atas atau apa-apa lain yang senada
berasal dari syaitan. Sekali pun ia terbit dari mulut orang yang kita kenali,
syaitan telah menjadikan orang tersebut agennya dan membisikkan kepadanya nasihat
yang berbentuk batu api dan provokatif. Dengan nasihat sedemikian syaitan
bermaksud untuk membesarkan jurang masalah antara pasangan sehingga akhirnya
mereka bergaduh dan bercerai.
Ingat! Syaitan yang dapat menceraikan pasangan suami
isteri akan mendapat kedudukan yang istimewa dan pujian dari iblis. Maka dia
akan mencuba pelbagai tipu daya untuk mencapai kejayaan tersebut. Dalam
hadis yang telah dikemukakan dalam Bab Ketiga ketika mengupas ciri-ciri
syaitan # 11, kita telah mempelajari sebuah hadis yang bermaksud: Kemudian
datang seorang tentera (syaitan) yang lain dan berkata: “Tidaklah saya
meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.”
Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[10]
Ada pun rakan yang bukan agen syaitan, kita akan dapat
mengenali mereka melalui nasihat yang membina lagi positif, umpama:
- Mungkin pasangan anda dimarahi ketua di pejabat sehingga menyebabkan dia merasa rendah diri. Gembirakanlah dia dengan puji-pujian bahawa dia adalah seorang ayah/ibu yang amat baik lagi disayangi oleh anak-anak.
- Kalian sudah sekian lama tidak pergi bercuti. Take a few days off dan pergilah bercuti ke Langkawi. Pastikan anda yang belanja kos percutian.
- Saya rasa ada sesuatu di fikirannya yang merungsingkan. Cubalah anda menghampirinya dan bertanya secara lemah lembut. Jadilah pendengar yang setia, nescaya dia akan meluahkan apa yang menjadikan dia rungsing.
- Bilakah kali terakhir kalian berdua pergi dating? Tinggalkan anak-anak di rumah bersama seorang penjaga dan pergilah makan malam di restoran kegemarannya. Hanya kalian berdua.
- Agaknya dia menjauhkan diri dari anda kerana anda sendiri menjauhkan diri darinya? Mungkin anda sedang rungsing memikirkan sesuatu atau ada masalah lain di bahu? Dekatilah dia, nescaya dia akan mendekati anda. Kemudian berkongsilah cabaran yang sedang di hadapi.
Ada pun rakan yang telah dijadikan syaitan sebagai
agennya, nasihatilah dia dengan baik. Sekali pun dia telah memberi kepada anda
nasihat yang buruk, janganlah pula dibalas dengan nasihat yang buruk juga.
Ingat:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman),
supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka;
syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
[al-Isra’ 17:53]
Jika anda tidak pandai untuk memberi nasihat,
hadiahkanlah kepada dia buku ini.
Contoh Kedua: Perkhidmatan Menghalau Syaitan.
Sejak beberapa bulan yang lalu, Zulkifli dan ahli
keluarganya tidur lena setiap malam. Tidak ada yang menjagakan mereka kecuali
bunyi deringan jam penggera pada pukul 7.30 pagi. Sejak rumah mereka dipagar
dalam majlis yang dipimpin oleh imam masjid, Zulkifli tidak lagi mengalami
gangguan makhluk ghaib di dalam rumahnya. Sebagai tanda terima kasih, Zulkifli
tidak pernah lupa untuk mensedekah setandan pisang emas kepada masjid pada
Jumaat pertama setiap bulan.
Akan tetapi pada pagi Ahad ini Zulkifli termenung lama.
Sekejap tadi rakan lamanya datang melawat. Ketika sedang duduk di sofa ruang
tamu, dia kelihatan seperti melihat-lihat sesuatu di siling rumah. Sama ada
siling ruang tamu, ruang makan mahu pun dapur, kelihatan seperti dia ada
melihat sesuatu.
“Ada apa Rashid?” Zulkifli akhirnya memberanikan diri
bertanya.
“Hmmm!”
“Ehh! Macam engkau nampak sesuatu je?” tanya Zulkifli
lagi. Perasaan ingin tahu semakin melonjak, lebih-lebih lagi disebabkan
rakannya itu orang kuat agama. Beliau belajar agama di Timur Tengah, dah naik
haji enam kali, umrah entah berapa kali. Poket seluarnya tidak pernah kosong
dari biji tasbih. “Orang-orang agama ini boleh nampak apa yang aku tak nampak!”
hati Zulkifli mencelah.
“Ada apa Rashid?” ulang Zulkifli lagi. Kesabarannya
mula menipis.
“Kamu ada merasai apa-apa gangguan atau perkara aneh di
rumah? Rashid akhirnya membuka mulut.
“Err! Akhir-akhir ini takde. Tetapi sebelum ini adalah.
Aku dah panggil imam masjid untuk memagar rumah. Hebat juga imam tu, sekarang
dah OK.”
“Oh begitu! Err…aku cerita sikit boleh?”
“Haa! Cerita apa? Teruskan. My ears are all yours.”
“Bismillah, dengan izin Allah, aku sebenarnya
dapat melihat makhluk-makhluk ghaib. Aku dapat melihat apa yang engkau dan
orang ramai tidak dapat melihat. Allah telah membuka hijab ini kepada aku”
jelas Rashid dengan suara yang perlahan lagi penuh rendah diri. Matanya kini
hanya fokus ke lantai.
“OK, syabas! Teruskan…”
“Bukan apa, apabila saja aku masuk pintu pagar rumah
engkau, aku merasai kehadiran sesuatu. Apabila sudah masuk, ternyata aku lihat
ada syaitan yang tertawan di siling-siling rumah engkau. Minta maaf…… maafkan
aku, aku hanya mengkhabarkan sesuatu yang benar.”
“Iyya ke? Tetapi aku dah pagar rumah ni beberapa bulan
yang lalu.”
“Benar, itulah yang menyebabkan makhluk-makhluk tu
tertawan di siling”. Ulas Rashid sambil mendongak sebentar ke siling, kemudian
merendahkan kembali pandangannya ke lantai. “Tawadhu’ sungguh sahabat
aku ni. Dulu zaman sekolah tak pula macam ni. Baguslah.” bisik hati Zulkifli.
Rashid meneruskan dengan suara yang rendah:
“Dulu apabila kamu memagar rumah ini, ia berjaya
menahan syaitan dari masuk ke dalam. Akan tetapi makhluk yang sudah sedia ada
di dalam, mereka tidak dapat keluar. Mereka tertawan di siling.”
‘Iyya ke? Patutlah aku rasa macam ada orang lain dalam
rumah ni, tetapi aku buat-buat tak layan la. So … sekarang macam nak halau yang
tertawan di siling tu?”
Rashid menjeling ke jam tangan Radonya. “Hmmm,
aku ada appointment pukul 10 nanti di rumah hujung sana untuk halau
syaitan. Aku tersampai awal, sebab itu aku singgah rumah engkau dulu, nak
tengok rakan lama. Khidmat aku lazimnya setengah jam saja. Apa kata pukul 11
nanti aku singgah semula dan halau yang tertawan di siling tu?”
“Fuyoo! Engkau ini macam orang profesional saja?”
“Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang terpilih
kedudukan masing-masing. Ada yang menjadi doktor, ada yang menjadi jurutera.
Aku Allah pilih untuk menghalau makhluk yang mengganggu para hamba-Nya.
Profesional tu tak lah, tetapi hari ini aku ada lima appointment. Jadi
bila aku datang pukul 11 nanti, tak perlu sediakan makanan. Aku kena cepat,
pukul 2 petang ada appointment lain.”
“Orait! Gua tabik sama lu! Hmmm… engkau ada yuran ke?
“Terima kasih kerana bertanya. Biasanya tiga ratus
ringgit. Tetapi kawan punya pasal, dua ratus cukuplah.”
“Orait set! Aku tunggu engkau pukul 11 ya!”
Dalam contoh di atas, Rashid ialah agen syaitan. Bukan
sebarangan agen, tetapi agen yang profesional. Agen-agen seperti ini banyak
yang dikader oleh syaitan. Mereka menziarahi rumah, kedai, pejabat, kilang atau
asrama, lalu memberi nasihat kepada para penghuninya tentang kehadiran syaitan,
kemudian menawarkan khidmat menghalaunya. Apabila para penghuni menaruh
keyakinan kepada agen-agen tersebut untuk menghalau syaitan dengan sekian
jampi-jampian dan tangkal, tercapailah objektif syaitan untuk menyesatkan para
penghuni tersebut.
Terdapat beberapa cara untuk membuktikan bahawa yang
menziarah itu ialah agen-agen syaitan:
1.
Dia akan
mendakwa melihat atau mengetahui kehadiran syaitan di rumah anda. Ini adalah
pendustaan kerana syaitan adalah ghaib, ia tidak dapat dikesan oleh deria
manusia.
2.
Dia akan
menawarkan khidmatnya untuk menghalau syaitan tersebut. Tawaran ini
memusykilkan. Mengapa minta izin? Teruslah menghalaunya. Tawaran ini tidak lain
seumpama orang yang nampak pencuri yang sedang berusaha memasuki rumah
jirannya. Dia tidak terus menghalau pencuri itu, sebaliknya menalifon jirannya
meminta izin: “Mat, aku nampak ada pencuri sedang cuba buka pintu belakang
rumah engkau. Engkau nak ke khidmat aku untuk menghalaunya?”. Di sini mungkin
ada yang berpendapat, permintaan izin dilakukan terlebih dahulu kerana mungkin
syaitan yang dimaksudkan adalah peliharaan tuan rumah. Pendapat ini dijawab:
Bolehkah anda membeza antara pencuri yang sedang cuba membuka pintu dan anak
jiran yang sedang cuba membuka pintu? Tentu boleh. Maka demikianlah juga, jika
orang itu benar-benar dapat melihat syaitan, dia akan dapat membezakan sama ada
itu adalah peliharaan atau tetamu yang tidak dijemput.
3.
Jika
seseorang itu benar-benar dapat menghalau syaitan, maka syaitan akan lari
sebelum dia menghalau mereka. Ini kerana syaitan amat takut kepada orang yang
ikhlas dalam beragama, kuat imannya, teguh ketaqwaannya, menjadikan al-Qur’an
sebagai panduan hidup dan al-Sunnah sebagai jalannya. Hanya orang seperti ini
yang mampu menghalau syaitan. Akan tetapi dia tidak perlu menghalaunya kerana
syaitan itu sendiri akan menjauhkan diri darinya. Maka jika orang seperti ini
masuk ke dalam sebuah rumah yang dihuni syaitan, syaitan-syaitan itu akan serta
merta lari bertempiaran.
4.
Dia akan
menampilkan sifat-sifat rendah diri dan beragama. Sifat-sifat ini adalah
solekan semata-mata untuk meraih keyakinan penghuni rumah. Yang menjadi ukuran
ialah tindak tanduknya sama ada menepati al-Qur’an dan al-Sunnah atau tidak.
Ada pun sifat mahu pun perkataannya, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah
mengingatkan kita: Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal
kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia
(bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada
dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya
(kepadamu). [al-Baqarah 2:204]
5.
Seandainya
benar rumah tersebut dihuni syaitan, orang yang mengetahuinya akan mengajar
para penghuni rumah cara-cara menghalaunya. Ini kerana cara-cara untuk
menghalau syaitan hendaklah dilaksanakan sendiri oleh orang yang menghuni rumah
tersebut. Jika dilaksanakan oleh orang lain yang hanya menziarah sekadar
setengah jam, syaitan akan kembali sebaik saja orang itu balik. Ingat! Syaitan
tidak jahil tetapi manusialah yang jahil.
Apa dan bagaimana cara-cara menghalau syaitan tersebut?
Ikutilah bab seterusnya insya-Allah. Sebelum itu ingin ditarik perhatian
para pembaca sekalian bahawa cara syaitan melaksanakan tipu daya-tipu dayanya
bukanlah secara serta-merta, akan tetapi secara bertahap-tahap. Jika syaitan melakukannya
dengan serta-merta, ia tahu umat Islam akan mudah menangkap tipu daya tersebut.
Dalam ayat 64 surah al-Isra’, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman
berkenaan syaitan:
Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau
dapat dengan suaramu
dan kerahlah penyokong-penyokongmu… [al-Isra’ 17:64]
[1] Yang saya maksudkan dengan kitab-kitab
klasik (turats) yang dikarang pada zaman awal Islam hingga ke zaman
pertengahan. Kitab-kitab ini dikarang dengan nilai sastera yang tinggi dan
dengan gaya bahasa serta istilah yang perlu difahami mengikut kriteria
pengarang itu sendiri. Ia berbeza dengan kitab-kitab yang dikarang pada zaman
mutakhir dimana bahasanya adalah mudah dan lancar.
[2] Lebih lanjut rujuk dua risalah saya yang
berjudul Adab-Adab Menuntut Ilmu Agama dan Unsur-Unsur Yang
Merosakkan Ilmu Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam
Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[3] Sengaja saya menggunakan ayat “Yang kita
tujukan zikir” kerana kelihatannya banyak orang yang berzikir menujukan
zikirnya kepada sesuatu selain Allah. Atas tujuan selain Allah inilah kita
dapati pada masa kini ada orang berzikir dengan susunan kalimah dan jumlah
bilangan yang tersendiri atau berdasarkan tunjuk ajar guru tersendiri. Bahkan
ada yang menggunakan zikir sebagai tangga bagi mencapai kedudukan (maqam)
yang lebih tinggi.
Berzikir ialah ibadah untuk mengingati Allah. Sebagai
satu bentuk ibadah, hendaklah kita mengingati Allah sebagaimana Allah
menghendaki diri-Nya diingati. Allah bukanlah rakan sebilik asrama, teman
sekerja, pasangan hidup atau ahli keluarga yang dengan itu kita boleh
mengingati-Nya dengan cara yang direka-reka sendiri. Sebaliknya Allah ialah
Tuhan yang tidak mampu untuk kita ukur dan ketahui cara untuk mengingatinya.
Atas dasar inilah Allah telah mengajar kalimah-kalimah zikir dan jumlah
bilangannya melalui lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
[4] Lebih lanjut tentang hukum menggunakan
tangkal dan jampi-jampian, rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari
Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[5] Kenapa ia disebut Ahl al-Sunnah wa
al-Jama’ah dan mengapa ia tidak dianggap sebagai salah satu dari jalan
syaitan? Jawapannya boleh ditemui dalam buku saya yang berjudul Marilah
Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terbitan Jahabersa, Johor
Bahru.
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya,
hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[7] Dalam bab ini terdapat sebuah hadis yang
mengajar doa sebelum makan:
اللَّهُمَّ
بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِاسْمِ اللَّهِ.
“Ya Allah, berkatilah bagi kami
apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab neraka.
Bismillah.” Hadis ini dikeluarkan oleh al-Thabarani dan Ibn
al-Sunni, sanadnya memiliki kecacatan yang parah dan ia dinilai dha‘if
jiddan oleh Syaikh ‘Amr bin ‘Ali Yasin dalam semakannya ke atas Kitab
al-Adzkar li al-Nawawi (Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh, 2001), hadis no: 674 (Zikir-zikir
ketika makan dan minum).
[8] Lebih lanjut tentang maksud bid‘ah, kriteria
membezakan antara sunnah dan bid‘ah serta bahaya-bahaya bid‘ah kepada Islam dan
umatnya, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa
al-Jama’ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[9] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi
dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis
no: 2396 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar terhadap bala’).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam
Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…,
Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
Rujukan:
No comments:
Post a Comment