Di Sebalik Pintu-Pintu Syurga…
حديث
أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، قَالَ: مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي
سَبِيلِ اللهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللهِ هذَا خَيْرٌ؛
فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ
مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ
الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ
دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رضي الله عنه: بِأَبِي
أَنْتَ وَأُمِّي، يَا رَسُولَ اللهِ مَا عَلَي مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ
الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تلْكَ الأَبْوَابِ
كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ
وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ. أخرجه
البخاري ومسلم
Terjemahan:
Dari Abu
Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menafkahkan sepasang
hartanya di jalan Allah ia kelak akan diseru dari pintu-pintu syurga: Wahai
hamba Allah, ini adalah suatu kebaikan (yang disediakan untukmu). Maka sesiapa
yang dari kalangan ahli solat akan diseru dari pintu solat. Sesiapa yang dari
kalangan ahli jihad akan diseru dari pintu jihad. Sesiapa yang dari kalangan
ahli puasa akan diseru dari pintu rayyan.
Sesiapa yang dari kalangan ahli sedekah akan diseru dari pintu sedekah”. Lalu
Abu Bakr RA berkata: Aku menebusmu dengan bapa dan ibuku ya Rasulullah,
tidaklah ada sebarang darurat ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu
tersebut (untuk masuk melalui kesemuanya), maka apakah ada orang yang akan
diseru dari kesemua pintu-pintu itu? Jawab baginda: “Ya, dan aku berharap
engkau termasuk dari kalangan mereka”. (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sawanih dan Khawatir Berkaitan Hadis:
-
Berdasarkan hadis di atas, menurut hemat saya, maksud pintu-pintu syurga dalam
hadis berikut:
عن
أبي هريرة رضي الله عنه أنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : (( إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ ، فُتِحَتْ
أبْوَاب الجَنَّةِ ، وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ ، وَصفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ )) متفقٌ عَلَيْهِ .
Terjemahan: Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda: "Apabila tibanya Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka,
pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dirantai”.
Maksud pintu-pintu syurga itu ialah
pintu-pintu yang mewakili amalan-amalan seperti yang disebutkan dalam hadis di
atas. Ada empat pintu
yang disebutkan iaitu pintu
solat, pintu jihad, pintu rayyan, dan pintu sedekah. Sebab itu
kita dapati dalam Islam di dalam bulan Ramadan, ada solat tarawih yang
dikerjakan sehingga 36 rakaat, ada peperangan jihad melawan orang kafir seperti
dalam perang Badar dan Fath Makkah, ada puasa yang dikerjakan sebulan penuh dan
ada sedekah yang disebut oleh Nabi SAW; “Sedekah yang paling afdal adalah dalam
bulan Ramadan”. Maka, maksud dibuka pintu-pintu syurga itu ialah pintu-pintunya
yang diwakili oleh amalan-amalan kebaikan ini yang dapat membawa pelakunya
masuk ke dalam syurga.
- Menurut
al-Hafiz Ibn Hajar, yang dimaksudkan dengan amalan-amalan tersebut ialah
amalan-amalan yang sunat, bukan amalan-amalan yang wajib, kerana ramai orang
yang dapat mengerjakan semua amalan-amalan yang wajib, berlainan dengan
amalan-amalan yang sunat, maka amat sedikit orang yang dapat mengerjakan semua
amalan-amalan yang sunat itu. Kemudian
ia akan diseru dari kesemua pintu-pintu syurga sebagai suatu penghormatan,
namun ia akan memasukinya melalui satu pintu sahaja, iaitu barangkali pintu
amalan yang mendominasi dirinya.
- Dalam banyak hadis disebut bahawa pintu-pintu syurga
itu berjumlah 8 buah pintu, antaranya hadis:
عَنْ
سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فِي
الْجَنَّةِ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابٍ فِيهَا بَابٌ يُسَمَّى الرَّيَّانَ لَا
يَدْخُلُهُ إِلَّا الصَّائِمُونَ. أخرجه
البخاري
Terjemahan: “Dalam syurga itu ada lapan pintu, antaranya
satu pintu yang dinamakan rayyan,
tidak masuk melaluinya melainkan orang-orang yang berpuasa”.
- Maka apakah baki 4 buah pintu yang
tidak dinyatakan dalam hadis di atas? Berdasarkan syarahan para ulama terhadap
hadis di atas dan juga dalam topik ini, didapati tidak ada kesepakatan antara
mereka mengenainya. Bagaimanapun, penulis akan menyenaraikannya mengikut mana
dalil yang lebih kuat.
- Antaranya, pintu yang paling kanan (al-bab al-ayman) khusus untuk
mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa sebarang hisab mahupun azab. Dari
kalangan umat Muhammad SAW terdapat jumlah 70,000 orang yang akan masuk
melaluinya. Ia adalah pintu orang-orang yang bertawakkal,
yang tidak meminta jampi, tidak berubat dengan besi panas dan tidak percaya
ramalan (Muttafaq ‘alaih). Di antara mereka ialah Sayidina ‘Ukkasyah RA.
- Antaranya, pintu taubat. Hadisnya:
عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود رَضِيَ الله عَنْه ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " لِلْجَنَّةِ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابٍ:
سعبة مُغْلَقَةٌ ، وَبَابٌ مَفْتُوحٌ لِلتَّوْبَةِ ، حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
مِنْ نَحْوِهِ " . أي
مِنْ مَغْرِبِهَا. رواه الحاكم [7671] وسكت عنه الذهبي في التلخيص وأبو يعلى
والطبراني بإسناد جيد
Terjemahan:
“Syurga itu mempunyai lapan pintu, tujuh ditutup dan satu pintu dibuka untuk
taubat, sehinggalah terbit matahari dari arahnya (sebelah barat)”.
- Antaranya, pintu zikir. Ini disebut oleh
al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari dan mengisyaratkan sumbernya kepada Sunan
al-Tirmizi. Hadis yang ditemukan dalam Sunan al-Tirmizi berbunyi demikian:
عَنْ
قَيْسِ بْنِ سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ أَنَّ أَبَاهُ دَفَعَهُ إِلَى النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْدُمُهُ قَالَ فَمَرَّ بِيَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ صَلَّيْتُ فَضَرَبَنِي بِرِجْلِهِ
وَقَالَ: أَلَا
أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: لَا
حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ. رواه
الترمذي وقال: حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ. ورواه
أحمد والطبراني إلا أنه قال: ألا أدلك على كنز من كنوز الجنة، عن معاذ بن جبل رضي
الله عنه. وإسناده صحيح إن شاء الله.
Terjemahan:
Dari Qais bin Sa‘ad bin ‘Ubadah RA bahawa bapanya telah menyerahkannya kepada
Nabi SAW agar berkhidmat kepada baginda. Kata beliau: Maka Nabi SAW pernah
berjalan melaluiku sedang aku telah pun bersolat, lantas baginda menggerakkan
aku dengan kakinya dan bersabda: “Mahukah aku tunjukkan kamu suatu pintu
daripada pintu-pintu syurga?” Jawabku: Ya. Sabda baginda: “لاَ
حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ”.
- Antaranya, pintu
berbuat kebajikan kepada ibu bapa. Pintu ini tidak disebut oleh mana-mana
rujukan yang dirujuk oleh penulis. Namun, dalilnya hadis berikut:
عن
أبي الدرداء رضي الله عنه أن رجلا أتاه فقال إن لي امرأة وإن أمي تأمرني بطلاقها
فقال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: الوالد
أوسط أبواب الجنة فإن شئت فأضع هذا الباب أو احفظه. رواه الترمذي وقال: حديث صحيح، وابن
ماجه والحاكم وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه، وأقره الذهبي [2799]، وفي
رواية له [7251]: الوالدة أوسط
أبواب الجنة فأضع ذلك أو احفظه.
Terjemahan: Dari Abu al-Darda’ RA bahawa seorang lelaki
telah datang kepadanya dan berkata: Saya ada seorang isteri sedangkan ibu saya
menyuruh saya supaya menceraikannya. Maka jawab beliau: Aku dengar Rasulullah
SAW bersabda: “Bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Maka jika kamu
suka, tinggalkanlah pintu tersebut atau jagalah ia”. Dalam suatu riwayat
al-Hakim: “Ibu adalah pintu syurga yang paling tengah. Maka tinggalkanlah pintu
tersebut atau jagalah ia”.
- Demikian lapan pintu syurga
sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sabit. Setiap satu amalan yang
mewakili pintu-pintu syurga tersebut dikukuhkan oleh banyak dalil-dalil yang
lain sebagai amalan-amalan yang dapat membawa para pengamalnya masuk ke dalam
syurga.
- Antara pintu-pintu lain yang disebut oleh para ulama,
namun tidak dapat dimasukkan ke dalam senarai di atas kerana ketiadaan dalil
yang kuat, antaranya disebut oleh Ibn Battal al-Maliki:
1. Pintu
orang-orang yang mampu menahan kemarahan dan memaafkan manusia (باب
الكاظمين الغيظ والعافين عن الناس).
Dalilnya hadismursal:
روى
أحمد بن حنبل عن الحسن مرسلا، قال : "إن الله فى الجنة بابًا لا يدخله إلا من
عفا عن مظلمة ".
2. Pintu
orang-orang yang bersabar kerana Allah (باب
الصابرين لله).
3. Pintu
orang-orang yang menjaga kemaluannya (باب
الحافظين فروجهم والحافظات)
Kemudian Ibn Hajar menambah:
4. Pintu
haji. Kata beliau: (وبقي من الأركان الحج
فله باب بلا شك). Namun,
pendapatnya itu tidak disertakan dengan dalil. Barangkali beliau atau orang
yang mengatakannya demikian mengkiaskannya dengan rukun Islam yang lima. Dengan
mengambil kira hadis-hadis tentang kelebihannya yang besar seperti; “Haji yang
mabrur itu tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga”.
5. Pintu
ilmu (باب
العلم). Namun menurut hemat saya, ilmu
tidak termasuk dalam bab amal kerana pintu-pintu syurga itu mewakili
amalan-amalan tertentu.
Manakala al-Qurtubi menyebut dalam al-Tazkirah bahawa pintu-pintu syurga itu lebih
dari lapan buah. Beliau menyenaraikannya sehingga sebanyak 16 buah pintu tanpa
mengambil kira dalil-dalilnya, sama ada kuat ataupun tidak. Pendapat beliau ini
dibantah oleh Ibn Kathir (al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim). Namun
disepakati oleh al-‘Ayni dalam ‘Umdah al-Qari. Antara yang disebut beliau
sebagai tambahan ialah:
6. Pintu
orang-orang yang redha (باب
الراضين).
7. Pintu
silaturrahim (باب
الصلة).
8. Pintu
umrah (باب
العمرة).
9. Pintu
dhuha (باب
الضحى). Dalilnya hadis daif berikut:
ذكر
الحاكم والآجري أبو الحسن في
كتاب النصيحة عن أبي هريرة عن
النبي صلى الله عليه وسلم قال : "إن في الجنة باباً يقال له باب الضحى فإذا كان يوم القيامة ينادي مناد أين
الذين كانوا يداومون على صلاة الضحى؟ هذا بابكم فادخلوه".
Antara yang disebut oleh Al-‘Allamah al-‘Ayni pula
sebagai tambahan ialah:
10. Pintu zakat (باب
الزكاة).
11. Pintu gembira (باب
الفرح). Dalilnya
hadis berikut:
روي
في الفردوس عن ابن عباس يرفعه: للجنة باب يقال له الفرح لا يدخل منه إلا مفرح
الصبيان.
12. Pintu
akhlak yang baik (باب
الخلق الحسن). Dalilnya
hadis berikut:
ذكر
في كتاب التخبير للقشيري عن النبي صلى الله عليه وسلم: الخلق الحسن طوق من رضوان
الله في عنق صاحبه. والطوق
مشدود إلى سلسلة من الرحمة والسلسلة مشدودة إلى حلقة من باب الجنة حيث ما ذهب
الخلق الحسن جرته السلسلة إلى نفسها حتى يدخله من ذاك الباب إلى الجنة.
- Sebahagian pintu-pintu lain yang disebutkan ini
sebenarnya dapat dikategorikan atau digabungkan dengan salah satu pintu dari
pintu-pintu syurga yang lapan seperti yang telah dinyatakan di atas. Seperti pintu dhuha misalnya, dapat
disekalikan dengan pintu solat. Pintu silaturrahim pula dapat disatukan dengan
pintu berbuat kebajikan kepada ibu bapa.Pintu zakat dapat disekalikan dengan
pintu sedekah. Dan demikian lain-lainnya.
- Al-Hafiz Ibn Hajar dan al-‘Allamah
al-‘Ayni berpendapat harus dikatakan bahawa kesemua pintu-pintu yang dinyatakan
tersebut adalah terletak selepas dari pintu-pintu syurga yang lapan, atau
berada di dalam pintu-pintu syurga yang lapan. Ertinya ada ‘main gates’ dan ada ‘second gates’.Wallahu a’lam.
- Sebagai
rumusannya, amalan-amalan yang dinyatakan tersebut merupakan amalan-amalan yang
istimewa yang harus diambil berat dan diberi tumpuan terhadapnya. Tanpa
menafikan banyak amalan-amalan lain yang dijanjikan kepada pengamalnya balasan
syurga, yang berjumlah lebih dari 100 amalan seperti yang telah dihimpunkan
oleh al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abdullah
al-Ghumari RAH dalam kitabnya ‘Tamam al-Minnah bi Bayan al-Khisal al-Mujibah
lil Jannah’. Tidak menjadi halangan jika seseorang itu cenderung atau
didominasi oleh suatu amalan daripada amalan-amalan berkenaan asalkan ia ikhlas
serta telah menunaikan lain-lain tanggungjawabnya yang wajib. Yang penting ialah ia dapat masuk ke
dalam syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita dari
kalangan ahlinya. Amin.
Saiz setiap pintu dan jarak antara satu pintu dengan satu
pintu yang lain
Mengenai
saiz keluasan setiap pintu syurga
ada dinyatakan dalam beberapa riwayat hadis yang berbeza antara satu sama lain.
Namun dalam sebuah hadis sahih disebut:
إِنَّ
مَا بَيْنَ الْمِصْرَاعَيْنِ مِنْ مَصَارِيعِ الْجَنَّةِ لَكَمَا بَيْنَ مَكَّةَ
وَهَجَرٍ أَوْ كَمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَبُصْرَى[متفق
عليه].
Terjemahan: “Sesungguhnya di antara dua sisi daripada
sisi-sisi pintu-pintu syurga itu adalah sepertimana di antara Makkah dengan
Hajar (sebuah bandar di Bahrain), atau sepertimana di antara Makkah dengan
Busra (sebuah bandar di Syam)”. * Jarak di antara Makkah dan Bahrain adalah
sekitar 1,200 km. Jarak di antara Makkah dan Busra juga lebih kurang sama.
Manakala mengenai jarak antara satu pintu dengan satu
pintu yang lain pula ada dinyatakan dalam sebuah hadis:
إن
للجنة ثمانية أبواب ما منهما بابان إلا يسير الراكب بينهما سبعين عاما [أحمد
والطبراني]
Terjemahan: “Sesungguhnya syurga itu mempunyai lapan buah
pintu, tidaklah ada di antara kedua-dua buah pintu itu melainkan seumpama
perjalanan seorang penunggang kuda di antara kedua-duanya selama 70 tahun”.
Wallahu a’lam.
Rujukan
- Syarah Sahih al-Bukhari – Ibn Battal
- Fath al-Bari – Ibn Hajar
- Umdah al-Qari – al-‘Ayni
- Al-Targhib wa al-Tarhib – al-Munziri
- Sifah al-Jannah – Abu Nu‘aim
al-Asbahani.
- Al-Tazkirah – al-Qurtubi
- Hadi al-Arwah – Ibn al-Qayyim
- al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim
- Ibn Kathir.
No comments:
Post a Comment