Tuesday 4 March 2014

Dialog Allah SWT dan Iblis.

Dialog Allah SWT dan Iblis.


Al-Anam [112] Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan, manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Dalam ayat yang lain:-
Israa [64] Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Ini berpunca dari hasad dengki iblis, yang asalnya Azazil (dari golongan jin) yang kuat beribadat dan selalu berdoa untuk malaikat tetapi tidak berdoa untuk dirinya sendiri. Kerana itulah Nabi suruh kita doa untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum orang lain.
Syaitan membazirkan kuasanya,  iaitu digunakan kuasanya pada tempat yang salah, untuk menyesatkan manusia. Kerana itulah siapa yang membazir (termasuk harta) adalah saudara syaitan:-
Israa [27] Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Perbualan diantara Allah dan Azazil yang enggan sujud kepada nabi Adam:-
Israa [61] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?
Israa [62] Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).
Israa [63] Allah berfirman (kepada iblis): Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
Dihari Kiamat semua akan dibicarakan, termasuk sembahan-sembahan selain Allah. Setelah selesai perbicaraan,
Ibrahim [22] Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Syaitan tak mengaku mengoda:-.
Qaf [27] (Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.
Qaf [28] Allah berfirman: Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah).
Qaf [29] KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu.
Allah tidak berlaku zalim pada hambanya. Pernah seorang wanita bertanya kepada Nabi, mengapa Allah sanggup memasukkan manusia ke dalam neraka, sedangkan Allah  menyayangi manusia lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya. Lalu Allah memberikan jawapan, yang dimasukkan ke neraka adalah mereka yang degil atas kejahatan, maksiat dan tidak bertaubat.
Qaf [24] (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahanam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.
Qaf [25] Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran,
Qaf [26] Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya.
1) Al-A’raf [12] Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.
Dalam satu hadis, bila Allah perintah, hendaklah melakukannya ikut kemampuan dan jangan ingkar. Contohnya kalau tak boleh sembahyang berdiri, sembahyang duduk.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa syaitan adalah musuh kita. http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/06/18/syaitan-musuh-kita-suara-dan-bisikannya/
Syaitan /iblis dijadikan daripada api. Hakikat api adalah panas yang merupakan hakikat hidup. Orang yang hidup panas kerana mereka bergerak. Api juga adalah cerah iaitu hakikat ilmu. Kerana itu juga syaitan adalah cerdik.
“ka na minal jinni”, syaitan itu dari bangsa jin:-
Al-Kahfi [50] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…….
Manusia dijadikan dari tanah. Hakikat tanah ialah gelap iaitu jahil. Tanah juga adalah sejuk yang merupakan hakikat mati dan malas.
“insan …zoluman jahula”
Al-Ahzab [72] (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (jahil).
Oleh itu manusia kena belajar untuk menghilangkan kejahilannya.
Oleh itu dari segi kejadian, iblis mempunyai 2 kelebihan berbanding manusia. Namun malaikat lebih baik, lebih mulia, lebih tinggi makamnya  kerana mereka dijadikan daripada cahaya, tetapi mereka tetap sujud. Sad [73] (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali.
Malaikat sujud sebagai menghormati makhluk baru yang dijadikan pemimpin.
Di hari kiamat tuhan tidak tanya asal keturunan dan kejadian makhluknya:-
Al-Mukminun [101] Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.
Allah memilih manusia menjadi khalifah, manusia adalah pertengahan di antara malaikat yang sangat baik dan iblis yang sangat jahat.
Syaitan melakukan 3 kesalahan iaitu derhaka kepada Allah, “jawab mulut” Allah dan takabbur.
2) Al-A’raf [13] Allah berfirman: Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.
Dalam satu hadis qudsi, takabbur iaitu “Cakap besar” adalah hak Allah iaitu kain cadar Allah. Hanya Allah boleh cakap besar dengan mengatakan aku yang cipta kamu, aku yang hidupkan kamu, aku yang beri kamu makan.
3) Al-A’raf [14] Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).
Allah murka dengan 3 kesalahan syaitan. Syaitan mintak tempoh untuk ditangguhkan murka Allah.
Al-Hijr [35] Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat. Al-Hijr 36] Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat). [37] Allah berfirman: Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh
Sad [78] Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat![79] Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). [80] Allah berfirman: Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh;
Di dalam ayat lain:-
Israa [62] Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).
4) Al-A’raf[15] Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).
5) Al-A’raf[16] Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
Dalam ayat yang lain, iblis juga mengatakan Allah yang menyesatkannya, dia berjanji akan mencantikkan kejahatan di dunia: 
Al-Hijr [39] Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya
Allah tetap memelihara jalan yang lurus:-
Al-Hijr [41] Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.
Berbeza dengan iblis yang menyalahkan Allah, Nabi Adam mengakui kesalahannya melanggar perintah Allah:-
Baqarah [35] ……. dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.
Syaitan sebenarnya sudah terkeluar dari syurga. Tapi dengan bantuan ular dalam syurga dia berjaya masuk ke dalam syurga untuk memperdaya Nabi Adam dan Hawa. Syaitan juga bersumpah dengan nama Allah untuk menipu mereka supaya terbuka aurat mereka.
Al-A’raf [20] Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga). [21] Dan dia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. [22] Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?
 Syaitan suka melihat aurat. Manusia yang suka melihat aurat orang juga termasuk golongannya:
Al-A’raf [27] Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)……
Seperti yang telah Allah beri “warning” dalam ayat yang lain: 
Ta-ha [117] Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita
6) Al-A’raf [17] Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.
Dalam ayat yang lain: 
Saba [20] Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).
Allah mengatakan iblis boleh buat apa yang dia mahu, tapi Allah akan campakkannya dan pengikutnya ke dalam Neraka Jahannam.
Sad [85] Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya.
Allah mengatakan “hambanya” tidak boleh disesatkan, Inna ibadi laisa laka alaihim sulthan” :
Israa [65] Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
Hijr [42] Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

No comments:

Post a Comment