ZAMAN KEGELAPAN ISLAM DAN KETIBAAN ERA KEBANGKITAN ISLAM
Seruan kepada mereka yang memiliki kesedaran...
Manusia
seolah-olah sudah lali dengan perkara-perkara yang sering mereka temui
setiap hari. Apabila manusia pertama kali mendengar sesuatu berita
tentang kekejaman yang berlaku, mereka menjadi begitu prihatin. Namun
demikian, keprihatinan mereka itu hanya menjadi suatu perkara rutin
tidak berapa lama kemudian.
Peperangan
dan konflik yang berlaku di dalam dunia yang sedang kita diami ini
adalah kes yang paling jelas dan nyata. Apabila sesebuah negara dijajah
dan kemudian proses penyembelihan dan genocide (Pent: Tiada terjemahan
tepat untuk perkataan genocide, maka istilah ini dikekalkan. Genocide
bermaksud pembunuhan seluruh bangsa atau kaum yang tertentu) bermula,
kita akan dapat melihat banyak protes-protes anti-kekejaman yang
diadakan di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh, mari kita merenung
semula detik-detik pertama tercetusnya konflik di Bosnia, ataupun
Chechnya, ataupun Palestin... Imej seorang kanak-kanak Palestin yang
berada di riba ayahnya yang tidak lama selepas itu menjadi sasaran
peluru askar-askar Israel, bayi-bayi Chechen yang dibunuh ketika mereka
sedang lena diulit mimpi, wanita, golongan tua dan kanak-kanak yang
menjadi mangsa genocide yang sangat mengerikan di Bosnia...
Apabila
manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka
sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu.
Walau bagaimanapun, laporan-laporan kekejaman yang bertali-arus, yang
tidak pernah putus-putus itu, akhirnya tidak berupaya untuk menarik
perhatian mereka lagi. Semakin ramai manusia yang mati setiap hari,
wanita-wanita dicabul kehormatannya, kanak-kanak sewenang-wenangnya
ditembak atau kehilangan kaki setelah terpijak periuk api... Walau
bagaimanapun, reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan,
akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil
kisah. Apabila mereka membeli suratkhabar, mereka lebih suka membaca
gosip-gosip artis berbanding berita-berita peperangan. Oleh sebab
itulah, kematian manusia yang berlaku di Palestin, Chechnya, Kashmir
ataupun Timur Turkistan hanya sekadar menjadi suatu "berita rutin."
Tambahan
pula, propaganda-propaganda yang dicipta telah menggambarkan
kebuasan-kebuasan manusia itu sebagai suatu perkembangan politik sahaja.
Akibatnya, pembunuhan berterusan di Chechnya hanya dianggap sebagai
urusan sulit pihak Rusia, apa yang berlaku di Palestin hanyalah suatu
perjuangan untuk mendapatkan tanah di antara orang-orang Israel dan
Palestin, dan penekanan puak Hindu ke atas penduduk Kashmir sebagai
masalah yang berpunca daripada posisi strategik wilayah itu. Memang
benar bahawa faktor sejarah dan ekonomi memainkan peranan penting yang
mencetuskan konflik-konflik tersebut. Chechnya mempunyai kepentingan
ekonomi dan strategi yang penting kepada Rusia. Orang-orang Yahudi yang
fanatik terus berniat untuk menawan Jerusalem dan kawasan-kawasan
pendudukan Palestin yang lain sejak berabad-abad lamanya. Namun
demikian, faktor-faktor dalaman dan ekonomi bukanlah satu-satunya
penyebab kepada tekanan yang dikenakan kepada orang-orang Chechen oleh
pihak komunis Rusia, ataupun kekejaman yang dilakukan kepada umat Islam
di Afrika, ataupun keganasan dan proses pembersihan etnik yang dideritai
oleh umat Islam di rantau Balkan yang dilakukan di hadapan mata
penduduk dunia. Di dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan dapat
melihat bahawa konflik-konflik yang tercetus itu adalah disebabkan
identiti umat Islam itu sendiri.
Mereka
dihimpit dengan berbagai-bagai bentuk penindasan kerana mereka adalah
golongan yang beriman kepada Allah dan mahu hidup dengan berlandaskan
Islam, dan mahu melihat anak-anak mereka menjadi orang-orang yang
beriman juga. Kewujudan negara-negara kuat yang mementingkan nilai-nilai
spirituil atau sebuah liga Islam yang kuat yang akan melindungi hak-hak
umat Islam seadil-adilnya, telah menimbulkan ketakutan kepada
golongan-golongan tertentu di Barat dan juga telah menimbulkan ancaman
terhadap kepentingan pihak-pihak tertentu.
Aspek
lain tentang hal ini ialah terdapat sesetengah manusia yang tidak
mengetahui apa-apa pun tentang masyarakat yang hidup di negara-negara
tersebut, dan malah tidak pernah mendengar sama sekali nama
negara-negara itu. Situasi bagi seseorang yang tidak memiliki sebarang
idea tentang kepayahan, penindasan, kekejaman, kebuluran, dan kemiskinan
yang dideritai oleh umat Islam Sudan, Algeria, Indonesia, Myanmar,
Djibouti dan Tunisia sebenarnya memerlukan suatu "makanan" untuk mengisi
minda mereka. Ada juga segelintir manusia yang menyedari kekejaman dan
ketidakadilan tersebut. Namun dia tidak mencuba untuk menghulurkan
sebarang bantuan ataupun berusaha untuk menghentikan penindasan
tersebut. Tambahan lagi, mereka sungguh yakin bahawa mereka tidak dapat
melakukan apa-apa, malah laporan-laporan yang dibaca dan imej-imej
kekejaman yang dilihat menerusi televisyen tidak dapat menyedarkan
mereka walaupun sedikit.
Seseorang
yang benar-benar beriman, walau bagaimanapun,bertanggungjawab
sepenuhnya terhadap apa yang mereka lihat dan dengar. Allah menyeru umat
Islam di dalam Al-Quran:
Mengapa
kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang
lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya
Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk
yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami
penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)
Sudah
tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang patuh
kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus menutup
mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku. Adalah sesuatu yang
mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa
wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, membazirkan masa
mereka, dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokkan
dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di
seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa
kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan yang berat sebelah,
pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah
sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah
dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran.
Pengetahuan
tentang perkara tersebut telah meletakkan suatu tanggungjawab besar di
atas bahu mereka: iaitu menerangkan tentang ajaran Islam dan
keindahan-keindahan yang dibawa olehnya, menyebarkan ajaran moral yang
terkandung di dalam al-Quran, dan melancarkan peperangan ideologi kepada
golongan ateis... (Pent: iaitu golongan yang tidak percaya kepada
kewujudan Tuhan)
Sesiapa
yang mengambil tugas mulia tersebut akan dapat membebaskan semua insan
yang hidup di bawah penindasan dengan bantuan petunjuk al-Quran:
...Sesungguhnya
telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas.
Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti
keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang
itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya,
dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)
sumber harunyahya.com
No comments:
Post a Comment