Monday, 3 March 2014

Kassim Ahmad

Di mana Kassim Ahmad hendak dikubur?


MEMPERKATAKAN masalah Kassim Ahmad dengan apa yang dikatakan pendirian antihadisnya tidak akan selesai selagi dia kekal dengan pendiriannya. Bawa ulama manapun, baik mufti al-Azhar, mufti Makkah, ayatollah utama dari Iran untuk mengubah pendiriannya, tiada mungkin dia akan mengubah fikirannya.
Hanya dengan kehendak Allah saja yang boleh mengubahnya.

Mana-mana orang yang Allah utus nabinya bagi membetulkan pegangan akidahnya yang menolak seruan wahyu itu, jarang didengar Allah ubah pegangan orang itu. Maka tidak dapat diduga Kassim akan mengubah kepercayaannya tentang hadis, Nabi, ulama dan sebagainya.
Bercakap dengannya dan pendiriannya buat penat saja. Tiada siapa yang boleh mengubahnya.

Selagi dia hidup begitulah. Jadi apa yang masing-masing boleh buat?

Hukum dia! Saya tidak nampak penguasa yang ada sedia untuk bertindak kepadanya. Bukan selepas ada seminar tentang pemikirannya yang diizinkan oleh Dr Mahathir Mohamad itu orang berteriak minta dia dihukum, sejak isu antihadis itu timbul dulu, ia sudah dijeritkan. Tiada apa yang masyarakat Malaysia dapat buat.

Bulu romanya pun tidak siapa dapat usik.

Apa lagi kalau Dr Mahathir yang sangat berpengaruh itu memberi laluan dan sokongan kepadanya menyampaikan fikirannya. Siapa yang berani tentang biji mata Dr Mahathir sekarang? Lainlah kalau fathul Putrajaya berlaku.

Perkara itu tidak berpanjangan kalau kejadian itu berlaku di zaman Khalifah Umar al-Khattab atau Umar datang ke dunia semula memerintah Malaysia.

Mengikut keputusan sekalian ahli agama Islam, pendirian Kassim itu sesat dan murtad.

Pendirian itu tidak dicabar oleh mana-mana ulama muktabar.

Maka kalau ada Sayidina Umar r.a. nescaya dipancungnyalah.

Bukan batang tubuhnya saja yang dipancung, Dr Mahathir pun dipancung sama kerana memberi laluan penyebaran ajaran. Manamana yang tidak sempat bertaubat, nescaya bercerailah kepala daripada badan.

Biasa saja bagi pujangga besar yang berpendirian keras orang tidak dapat buat apa. Seperti pujangga Iraq yang terbilang, Abu Nawas. Abu Nawas yang orang Melayu kenal ialah seorang komedian.

Bagi bangsa Iraq dia ada pujangga besar. Kalau Iran bangga dengan pujangga Umar Khayamnya, maka Iraq megah dengan Abu Nawas. Lebuh raya utama di kota Baghdad di zaman Saddam Hussein dulu ialah Lebuh Raya Abu Nawas, terbentang lebar sepanjang tebing Sungai Furat. Sedang Khalifah Harun ar-Rasyid namanya diabadikan untuk satu jalan kecil dan pendek.

Baghdad masyhur pernah menjadi pusat pentadbiran khulafah Islam yang agung. Dalam pemerintahan itulah ada Abu Nawas.

Dia pujangga yang berfikiran bebas dan tidak beragama. Ditempelaknya semua peraturan Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dia tidak segan silu menyampaikan pegangannya yang tidak bertuhan itu. Jenuh ulama berdakwah kepadanya. Tidak ada apa yang kerajaan dan ulama dapat buat terhadapnya.

Akhirnya khalifah perintah campak dia hidup-hidup ke Sungai Furat. Dalam sungai dia menemui ajalnya sama seperti Firaun yang ditemui Malaikat Maut di Laut Khalzum.

Kassim juga pujangga. Karyanya banyak kejutan. Dia buat tesis Hang Jebatlah wira, bukan Hang Tuah. Dia ada sajak Sidang Roh. Dia seorang diri buat memorandum menentang pembentukan Malaysia, diserahkannya kepada U Thant, Setiausaha Agung PBB masa itu.

Ertinya dia orang ternama dan masyhur. Saya tidak nampak pihak berkuasa negara – Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Perdana Menteri, Mufti-Mufti – bersedia menghadapi Kassim Ahmad.

Cuma saya tidak pasti adakah institusi peribadi Dr Mahathir dan orang yang sealiran fikiran dengannya akan menyebar luaskan fikiran dan falsafah ketuhanan yang Kassim percaya itu.

Dr Mahathir tidak tertarik dengan apa yang dikata kebebasan bersuara, kebebasan media dan sebagainya. Tapi nampaknya dia suka memberi kebebasan terhadap pandangan beragama dan seumpamanya.

Saya tidak berhajat untuk berhujah tentang fikiran Kassim. Biarkanlah dia menerus hidupnya. Tiada siapa akan menang berlawan dengannya. Yang saya fikir ialah tentang matinya.

Apabila dia mati selesailah masalahnya. Dia dengan Tuhannya sajalah selepas itu.

Tetapi di mana dia hendak dikuburkan. Adakah orang Islam yang beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan hadis dan sunnahnya tidak ada masalah mengkebumikannya di kubur orang Islam?

Adakah ulama yang dikiranya sebagai kasta paderi bersetuju dia dikuburkan dengan orang Islam lain yang membantah fikirannya?

Macam Ayah Pin. Tidak diketahui dia hidup atau mati. Kalau mati, di mana kuburnya. Tiada orang Islam mahu dia dikuburkan di sebelah saudara maranya.

Saya orang Islam membantah dia dikuburkan di tempat mereka. Jika semua membantah, adakah ditugaskan kepada pasukan khas mengkuburkan di satu tempat rahsia yang tidak diketahui orang seperti yang dilakukan kepada Muammar Gaddafi?

Dan macam mana hendak mengkafan dan menyembahyangkan jenazahnya? Cara kafan yang ada adalah mengikut apa yang Nabi s.a.w. ajar. Apa yang baginda ajar adalah hadis dan sunnah.

Solat jenazah pun seperi yang baginda tunjuk. Cara itu sampai kepada kita adalah daripada ilmu yang disampaikan oleh alim ulama.

Al-Quran tidak sebutkan cara solat dan peraturan kafannya.

Adakah dia sudah ada wasiat tentang cara dia dikafan dan disolatkan? Atau dia tidak pakai apa yang ulama tunjukkan kepada kita semua. Atau tidak pakai kafan dan tidak payah solat? Atau dia serahkan kepada orang yang hidup saja, apa yang hendak dilakukan kepada jenazahnya?

Jika dia serah pada orang ramai apa hendak buat, maka mereka akan buat seperti apa yang hadis kata. Tentu tidak sesuai dengan kepercayaannya selama ini.

Saya bangkitkan semua ini ialah orang Islam akan menghadapi masalah pula untuk menangani jenazahnya.

Adapun yang ramai menyoal dengan pandangannya selama ini bukan kerana hendak menghadapinya semasa hidupnya saja.

Biarkanlah cara mana dia hendak hidup dan biarlah dia beramal dengan apa yang diipercayainya.

Sekadar dia menjalani hidupnya sendiri, biarkan dialah. Yang orang boleh campur apabila dia sebar fahamannya kepada oang lain.

Yang orang bantah tentang seminarnya yang Dr Mahthir rasmikan itu ialah ia boleh disebarkan kepada orang Islam yang lain.

Jika Dr Mahathir tidak pakai pandangannya, mungkin tidak salah

Jika Dr Mahahir setuju, ini bererti fikirannya sudah disebarkan kepada Dr Mahathir. Ini salah pada peraturan agama di negara kita.

Nyatalah Kassim Ahmad jadi masalah kepada orang Islam baik semasa dia hidup, mahupun semasa menghadapi matinya.

Macam mana kita hendak menghadapinya apabila kejadian itu berlaku nanti. Orang yang hidup pada masa itu akan bermasalah untuk menguruskan mayatnya.

No comments:

Post a Comment