Di mana Kassim Ahmad hendak dikubur?
MEMPERKATAKAN
masalah Kassim Ahmad dengan apa yang dikatakan pendirian antihadisnya
tidak akan selesai selagi dia kekal dengan pendiriannya. Bawa ulama
manapun, baik mufti al-Azhar, mufti Makkah, ayatollah utama dari Iran
untuk mengubah pendiriannya, tiada mungkin dia akan mengubah fikirannya.
Hanya dengan kehendak Allah saja yang boleh mengubahnya.
Mana-mana
orang yang Allah utus nabinya bagi membetulkan pegangan akidahnya yang
menolak seruan wahyu itu, jarang didengar Allah ubah pegangan orang itu.
Maka tidak dapat diduga Kassim akan mengubah kepercayaannya tentang
hadis, Nabi, ulama dan sebagainya.
Bercakap dengannya dan pendiriannya buat penat saja. Tiada siapa yang boleh mengubahnya.
Selagi dia hidup begitulah. Jadi apa yang masing-masing boleh buat?
Hukum
dia! Saya tidak nampak penguasa yang ada sedia untuk bertindak
kepadanya. Bukan selepas ada seminar tentang pemikirannya yang diizinkan
oleh Dr Mahathir Mohamad itu orang berteriak minta dia dihukum, sejak
isu antihadis itu timbul dulu, ia sudah dijeritkan. Tiada apa yang
masyarakat Malaysia dapat buat.
Bulu romanya pun tidak siapa dapat usik.
Apa lagi
kalau Dr Mahathir yang sangat berpengaruh itu memberi laluan dan
sokongan kepadanya menyampaikan fikirannya. Siapa yang berani tentang
biji mata Dr Mahathir sekarang? Lainlah kalau fathul Putrajaya berlaku.
Perkara
itu tidak berpanjangan kalau kejadian itu berlaku di zaman Khalifah Umar
al-Khattab atau Umar datang ke dunia semula memerintah Malaysia.
Mengikut keputusan sekalian ahli agama Islam, pendirian Kassim itu sesat dan murtad.
Pendirian itu tidak dicabar oleh mana-mana ulama muktabar.
Maka kalau ada Sayidina Umar r.a. nescaya dipancungnyalah.
Bukan
batang tubuhnya saja yang dipancung, Dr Mahathir pun dipancung sama
kerana memberi laluan penyebaran ajaran. Manamana yang tidak sempat
bertaubat, nescaya bercerailah kepala daripada badan.
Biasa
saja bagi pujangga besar yang berpendirian keras orang tidak dapat buat
apa. Seperti pujangga Iraq yang terbilang, Abu Nawas. Abu Nawas yang
orang Melayu kenal ialah seorang komedian.
Bagi
bangsa Iraq dia ada pujangga besar. Kalau Iran bangga dengan pujangga
Umar Khayamnya, maka Iraq megah dengan Abu Nawas. Lebuh raya utama di
kota Baghdad di zaman Saddam Hussein dulu ialah Lebuh Raya Abu Nawas,
terbentang lebar sepanjang tebing Sungai Furat. Sedang Khalifah Harun
ar-Rasyid namanya diabadikan untuk satu jalan kecil dan pendek.
Baghdad masyhur pernah menjadi pusat pentadbiran khulafah Islam yang agung. Dalam pemerintahan itulah ada Abu Nawas.
Dia
pujangga yang berfikiran bebas dan tidak beragama. Ditempelaknya semua
peraturan Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dia tidak segan silu
menyampaikan pegangannya yang tidak bertuhan itu. Jenuh ulama berdakwah
kepadanya. Tidak ada apa yang kerajaan dan ulama dapat buat terhadapnya.
Akhirnya
khalifah perintah campak dia hidup-hidup ke Sungai Furat. Dalam sungai
dia menemui ajalnya sama seperti Firaun yang ditemui Malaikat Maut di
Laut Khalzum.
Kassim
juga pujangga. Karyanya banyak kejutan. Dia buat tesis Hang Jebatlah
wira, bukan Hang Tuah. Dia ada sajak Sidang Roh. Dia seorang diri buat
memorandum menentang pembentukan Malaysia, diserahkannya kepada U Thant,
Setiausaha Agung PBB masa itu.
Ertinya
dia orang ternama dan masyhur. Saya tidak nampak pihak berkuasa negara –
Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Perdana Menteri, Mufti-Mufti –
bersedia menghadapi Kassim Ahmad.
Cuma
saya tidak pasti adakah institusi peribadi Dr Mahathir dan orang yang
sealiran fikiran dengannya akan menyebar luaskan fikiran dan falsafah
ketuhanan yang Kassim percaya itu.
Dr
Mahathir tidak tertarik dengan apa yang dikata kebebasan bersuara,
kebebasan media dan sebagainya. Tapi nampaknya dia suka memberi
kebebasan terhadap pandangan beragama dan seumpamanya.
Saya
tidak berhajat untuk berhujah tentang fikiran Kassim. Biarkanlah dia
menerus hidupnya. Tiada siapa akan menang berlawan dengannya. Yang saya
fikir ialah tentang matinya.
Apabila dia mati selesailah masalahnya. Dia dengan Tuhannya sajalah selepas itu.
Tetapi
di mana dia hendak dikuburkan. Adakah orang Islam yang beriman kepada
Rasulullah s.a.w. dan hadis dan sunnahnya tidak ada masalah
mengkebumikannya di kubur orang Islam?
Adakah ulama yang dikiranya sebagai kasta paderi bersetuju dia dikuburkan dengan orang Islam lain yang membantah fikirannya?
Macam
Ayah Pin. Tidak diketahui dia hidup atau mati. Kalau mati, di mana
kuburnya. Tiada orang Islam mahu dia dikuburkan di sebelah saudara
maranya.
Saya
orang Islam membantah dia dikuburkan di tempat mereka. Jika semua
membantah, adakah ditugaskan kepada pasukan khas mengkuburkan di satu
tempat rahsia yang tidak diketahui orang seperti yang dilakukan kepada
Muammar Gaddafi?
Dan
macam mana hendak mengkafan dan menyembahyangkan jenazahnya? Cara kafan
yang ada adalah mengikut apa yang Nabi s.a.w. ajar. Apa yang baginda
ajar adalah hadis dan sunnah.
Solat jenazah pun seperi yang baginda tunjuk. Cara itu sampai kepada kita adalah daripada ilmu yang disampaikan oleh alim ulama.
Al-Quran tidak sebutkan cara solat dan peraturan kafannya.
Adakah
dia sudah ada wasiat tentang cara dia dikafan dan disolatkan? Atau dia
tidak pakai apa yang ulama tunjukkan kepada kita semua. Atau tidak pakai
kafan dan tidak payah solat? Atau dia serahkan kepada orang yang hidup
saja, apa yang hendak dilakukan kepada jenazahnya?
Jika dia
serah pada orang ramai apa hendak buat, maka mereka akan buat seperti
apa yang hadis kata. Tentu tidak sesuai dengan kepercayaannya selama
ini.
Saya bangkitkan semua ini ialah orang Islam akan menghadapi masalah pula untuk menangani jenazahnya.
Adapun yang ramai menyoal dengan pandangannya selama ini bukan kerana hendak menghadapinya semasa hidupnya saja.
Biarkanlah cara mana dia hendak hidup dan biarlah dia beramal dengan apa yang diipercayainya.
Sekadar dia menjalani hidupnya sendiri, biarkan dialah. Yang orang boleh campur apabila dia sebar fahamannya kepada oang lain.
Yang orang bantah tentang seminarnya yang Dr Mahthir rasmikan itu ialah ia boleh disebarkan kepada orang Islam yang lain.
Jika Dr Mahathir tidak pakai pandangannya, mungkin tidak salah
Jika Dr
Mahahir setuju, ini bererti fikirannya sudah disebarkan kepada Dr
Mahathir. Ini salah pada peraturan agama di negara kita.
Nyatalah Kassim Ahmad jadi masalah kepada orang Islam baik semasa dia hidup, mahupun semasa menghadapi matinya.
Macam
mana kita hendak menghadapinya apabila kejadian itu berlaku nanti. Orang
yang hidup pada masa itu akan bermasalah untuk menguruskan mayatnya.
No comments:
Post a Comment