Keistimewaan Dajjal
Allah memberikan dajjal
banyak keistimewaan untuk menguji keimanan manusia ketika akhir zaman
nanti. Semua itu telah dijelaskan di dalam hadis sahih. Di antara
keistimewaannya selain boleh menghidupkan orang mati, dajal juga ada
beberapa keistimewaan. Antaranya:
Pertama, ada bersamaan
syurga dan neraka. Dajal akan menggunakan kedua-duanya untuk menguji
keimanan orang Islam. Apa yang dajal berikan sebagai syurga sebenarnya
adalah neraka. Dan apa yang diperlihatkan sebagai neraka sebenarnya
adalah syurga.
Kedua, dajjal akan pergi
ke daerah yang kemarau, kebuluran dan hasil dagangan tidak menjadi.
Dajjal akan menurunkan hujan di daerah itu jika penduduknya mengaku
beriman kepadanya. Maka daerah itu akan kembali subur dan hasil dagangan
melimpah ruah. Manakala bagi daerah yang penduduknya tidak mahu mengaku
dajjal sebagai tuhan, akan berada di dalam kebuluran dan kesusahan.
Ada sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud, “Para sahabat bertanya: Ya
Rasulullah, apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu
nanti?”
Rasulullah menjawab,
“Mereka akan menjadi kenyang dengan tahlil, takbir, tasbih dan
bertaubat. Zikir-zikir itu yang akan menjadi makanan mereka.”
Ketiga, boleh
menjelajahi seluruh pelosok bumi ini di dalam masa 40 hari dan
kepantasan yang luar biasa. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim
menjelaskan, “Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan
perjalanannya di muka bumi ini? Nabi menjawab: “Kepantasan perjalanannya
adalah seperti Al-Ghaist (hujan atau awan) yang dipukul angin kencang.”
Hanya dua tempat saja yang tidak boleh dimasuki oleh dajjal iaitu Mekah
dan Madinah.
Menurut Fadlan, Nabi
mengingatkan orang yang beriman supaya menghindarkan diri dari berjumpa
dengan dajjal. Malah nabi bersabda, hanya seorang lelaki dari Madinah
yang dapat berdepan dengan dajjal. Lelaki itu akan mengatakan bahawa
kamu adalah dajjal lalu lelaki itu dibunuh oleh dajjal. Kemudian dajjal
menghidupkan semula lelaki itu. Lalu dajjal berkata tidakkah kamu
percaya kepada aku. Lelaki itu menjawab, “Tidak, melainkan bertambah
keimananku kepada Allah.” Kemudian dajjal cuba membunuh lelaki itu
tetapi telah diselamatkan oleh Allah.
*Sumber dari ustaznaim.blogspot.com dan (Dipetik dari dari Al-Islam keluaran November 2010)
No comments:
Post a Comment