40 Hadith
tentang Peristiwa Akhir Zaman ini dipetik dari buku yang telah di susun oleh
Al-Fadhil Ustaz Abu Ali al-Banjari an-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam) untuk renungan
kita bersama.
Insya'allah
dengan berkat keinsafan kita, dapat kita mengambil iktibar dengan kejadian masa
kini, mudah-mudahan ia membawa petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Terbitan : Khazanah Banjariyah , Derang, Pokok Sena, Kedah Darul Aman, 1998
HADIS 1: TAKWA
DAN PERPADUAN ASAS KESELAMATAN DI AKHIR ZAMAN
Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, "Telah
menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati
kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya
Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah
pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan
kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada
pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya
sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan
yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah
para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui
kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah
itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang
diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Keterangan:
Hadis diatas
mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah saw. bagi
umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau
bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang
ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar
yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. dalam hadis, iaitu:
1)
Hendaklah
ia menlazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala
perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.
2)
Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum
muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama
mereka berpegang dengan Al Quran dan sunnah Nabi saw. dan sunnah-sunnah khulafa
Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini
bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi saw.
3)
Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw. dan sunnah para
khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.) yang mana
mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala, iaitulah berpegang kepada
fahaman dan amalan ahli sunnah waljamaah yang mana hanya penganut fahaman ini
sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah
mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.
4)
Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua
fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal
tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil,
maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bid'ah menurut pengertian
syarak (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid'ah menurut pengertian
loghat atau bahasa sahaja (iaitu bid'ah hasanah).
No comments:
Post a Comment