Tuesday, 18 June 2013

Peristiwa Israk Mikraj Rasulullah S.A.W

  Bersama Menghayati Peristiwa Agung Israk Mikraj 



170613
Oleh : Redzwang


Israk Mikraj

Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah S.A.W. Antaranya kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda S.A.W. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah S.W.T kepada kekasih-Nya.

Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah S.A.W akan melakukan hijrah. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.  Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Marilah kita sama-sama juga memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah SWT,

Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”. Surah Al-Isra’, ayat:1

Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda S.A.W iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad S.A.W pada malam hari dengan menuggang Burak bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad S.A.W ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Sepanjang perjalanan israk Rasulullah S.A.W ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail:
Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Orang yang payah untuk mengerjakan solat.

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah S.A.W turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.

Selepas itu, Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah S.A.W ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. baginda naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi Yahya AS.

3. Langit Ketiga: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

4. Langit Keempat: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.

5. Langit Kelima: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS naik langit keenam, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketujuh, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘La Haula Wa La Quwwata Illa Billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah S.A.W dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.

Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penjaganya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT.
Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T: Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah Al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W dibawa menemui Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT memperkenankan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Setelah daripada itu, Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.

Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa penting ini, kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah oleh Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj juga, untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.

Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad S.A.W langsung tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda setelah bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj baginda S.A.W dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda S.A.W.

Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah S.A.W berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat Jirail AS dan sebagainya. Wallahu'alam.


Penerangan
PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

DIDATANGI MALAIKAT JIBRAIL
Pada malam tersebut, Rasulullah s.a.w sedang tidur (tidur-tidur ayam) bersama-sama bapa saudaranya.  Hamzah dan Jaafar bin Abu Talib.  Tiba-tiba datang Malaikat Jibrail bersama Malaikat Mikail serta Malaikat-malaikat lainnya.  Jibrail memerintahkan Malaikat-malaikat lain mengangkat Rasulullah s.a.w ke suatu tempat, di mana di situ Jibrail telah membelah dada Rasulullah s.a.w sehingga ke bawah pusatnya.
HATI RASULULLAH DISUCI
Setelah dibelah dada Rasulullah s.a.w, Jibrail pun memerintahkan Malaikat Mikail membawa satu batil air zam-zam untuk menyucikan hati baginda s.a.w supaya luas dadanya.  Selepas itu, ia pun mengeluarkan jantung baginda untuk dibasahi sebanyak 3 kali dengan menggunakan air zam-zam tersebut.  Darah hitam yang terdapat dalam dada Rasulullah s.a.w pun dikeluarkan.  Darah tersebut adalah sebahagian daripada syaitan.
Setelah itu, Jibrail menuangkan satu batil dari emas yang penuh dengan hikmat dan iman ke dalam dada Rasulullah s.a.w hingga penuhlah dada baginda dengan hikmat, ilmu, kenyakinan dan keislaman yang sejati.  Kemudian, setelah selesai semuanya, dada itupun ditutp kembali.  Sesungguhnya semua proses ini tidak menimbulkan sebarang kesakitan bagi pihak Rasulullah s.a.w dan sesungguhnya telah termeterailah baginda di dua belikatnya dengan Khatam An-Nubuwah.
MENUNGGANG BURAQ
Kemudian, didatangilah Buraq dari Syurga yang berpelana dan bertali.  Buraq ialah seekor binatang berwarna putih, saiz badannya lebih besar daripada himar dan lebih kecil daripada barghal, mempunyai empat kaki dan pantas berjalan.  Satu langkah ke satu langkah kakinya adalah seumpama sekelip mata memandang.  Apabila ia hendak menaiki bukit, kedua telinganya akan bergerak-gerak dan kedua-dua kaki belakangnya akan memanjang dan apabila ia turun, kedua-dua kaki di hadapannya akan memanjang.  Ia juga mempunyai dua sayap.
Ketika mula-mula Rasulullah s.a.w hendak menunggang Buraq, ia meliarkan diri dan memayahkan tunggangan Rasulullah s.a.w terhadapnya.  Lalu, Jibrail pun meletakkan tangannya ke leher Buraq seraya berkata, “Tidakkah engkau malu wahai Buraq, demi ALLAH tiada seorang pun menunggang engkau yang terlebih mulia di sisi ALLAH daripadanya”.
Apabila mendengar kata-kata Jibrail itu, Buraq pun berhenti bergerak-gerak serta merendahkan dirinya hingga naiklah Rasulullah s.a.w ke atas belakangnya.
 PERJALANAN RASULULLAH
Tidak berapa lama Rasulullah s.a.w menunggang Buraq, sampailah baginda dan Jibrail ke suatu dusun yang banyak pokok kurma.  Jibrail menyuruh Rasulullah s.a.w turun di situ dan solat dua rakaat.  Apabila selesai, Jibrail bertanya, “Adakah engkau tahu tempat engkau solat tadi?”
 Jawab baginda, “Tidak tahu”.
Jibrail pun menerangkan bahawa tempat itu ialah Tai’bah iaitu Madinah Al-Munawarah.  Perjalanan itu pun diteruskan sampailah mereka ke suatu tempat.  Seperti biasa Jibrail menyuruh Rasulullah s.a.w solat dua rakaat.  Rasulullah s.a.w pun menurut suruhan Jibrail itu dan apabila selesai, Rasulullah s.a.w menunggang Buraq kembali.  Jibrail pun bertanya kepada baginda adakah baginda tahu tempat berkenaan.  Seperti tadi juga, Rasulullah s.a.w menjawab tidak tahu.  Kemudian Jibrail pun menerangkan bahawa itulah Baitul Lahm iaitu tempat kelahiran Nabi Isa a.s.
 BERTEMBUNG DENGAN AFRIT
Tiba-tiba Rasulullah s.a.w terlihat Afrit daripada bangsa Jin.  Ia membawa cembung api menyebabkan mata Rasulullah s.a.w sentiasa berpaling ke arahnya.  Berkata Jibrail, “Adakah engkau mahu aku ajarkan kalimah untuk menghalau Afrit tersebut?”
“Ya” jawab Rasulullah s.a.w.  Jibrail pun mengajarkan Rasulullah s.a.w kalimah yang berikut :
“Aku berlindung dengan wajah ALLAH dan kalimah-Nya yang sempurna, yang kebaikan dan kejahatan tidak mengatasinya daripada kejahatan yang turun dan naik ke langit, dan dari kejahatan apa yang diciptakan di bumi juga dimusnahkan, dan dari kejahatan malapetaka malam dan siang melainkan yang datang dengan membawa kebaikan, wahai TUHAN Yang Rahman”.
Apabila kalimah ini dibaca, padamlah cembung api Afrit dan rebahlah ia ke atas mukanya.  Tatkala selesai Rasulullah s.a.w membaca, tersungkurlah Afrit.
BERJUMPA KAUM BERHUMA
Setelah itu mereka pun meneruskan perjalanan sehingga bertemu dengan beberapa kaum yang berhuma setiap hari dan mengetam pada hari yang sama.  Setiap kali mengetam ia kembali seperti asal dan begitulah seterusnya.  Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibrail, “Apa ini wahai Jibrail?”
Jawab Jibrail, “Inilah di antara umat engkau yang berperang di jalan ALLAH, digandakan ALLAH TAALA bagi mereka dengan kebajikan yang 1 kepada 700 kali ganda atau lebih banyak lagi seperti firman ALLAH :
“Dan apa yang kamu nafkahkan daripada sesuatu maka diganti dengan sebaik-baik yang memberi rezeki”.
TERCIUM BAU HARUM
Dalam perjalanan seterusnya, Rasulullah s.a.w tercium bau yang sangat harum.  Lalu baginda bertanya kepada Jibrail apakah sebenarnya  bau tersebut.  Kata Jibrail, “Inilah bau Masitah yakni perempuan yang menyikat rambut anak perempuan Firaun”.
Pada suatu hari sedang Masitah menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat yang digunakannya itu jatuh dari tangannya lalu tercetuslah kata-kata “Dengan nama ALLAH binasalah Firaun”, dari mulutnya.
Bertanyalah anak perempuan Firaun, “Adakah bagi kamu TUHAN lain selain bapaku?”.  “Bahkan, sesungguhnya itulah TUHAN engkau dan TUHAN bapa engkau”, sahut Masitah.
Bertanya anak Firaun itu lagi, “Adakah engkau reda aku beritahu tentang hal ini kepada bapaku?”
“Ya”, jawab Masitah.
Pergilah anak Firaun berjumpa dengan bapanya untuk mengadukan hal tersebut.  Masitahpun diperintahkan untuk mengadap Firaun.
“Adakah tuhan yang lain selain daripadaku?” tanya Firaun dengan marah.
Tanpa gentar Masitah menjawab, “Ya, sesungguhnya ALLAH itulah TUHAN-ku dan TUHAN engkau”.
Firaun menjadi amat marah lantas memerintahkan supaya dibawa suami Masitah dan kedua anaknya mengadap.  Salah seorang daripada anaknya masih lagi kecil dan masih menyusu.  Kemudian Firaun memerintahkan supaya Masitah dan suaminya kembali kepada agama yang asal iaitu mengakui dialah tuhan.  Tetapi mereka enggan.  Firaun berasa amat tercabar dengan pendirian Masitah dan suaminya itu, lantas dia mengancam hendak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap keluarga Masitah sekiranya mereka masih berdegil.  Dengan hati yang tenang Masitah menjelaskan, “Kebajikan kamu bagi kami jika engkau membunuh kami dan sekiranya engkau membunuh kali kuburkan kami dalam satu lubang kubur”.
Kata Firaun, “Bagi kamu apa yang kamu tuntut itu sebab ada kebajikan kamu bagi kami”.
Firaun pun memerintahkan air dijerang di dalam sebuah kawah tembaga yang besar.  Setelah air mendidih, suami Masitah pun dicampakkan ke dalam kawah tersebut.  Tatkala hendak dicampakkan anaknya yang masih kecil itu, Masitah merayu supaya anaknya itu dikasihani.  Tiba-tiba dengan izin ALLAH anak yang masih kecil itu berkata; “Ibu berada di atas agama yang benar”.
Dengan itu tamatlah riwayat Masitah, suaminya dan dua anaknya yang pada pandangan Firaun sebagai celaka tetapi sebenarnya mereka berbahagia.
KAUM YANG MEMECAHKAN KEPALA
Perjalanan seterusnya mempertemukan Rasulullah s.a.w dengan beberap kaum yang memecahkan kepala mereka sendiri.  Setiap kali kepala mereka telah pecah, ia kembali seperti sedia kala.  Begitulah berulang-ulang kali.  Melihat kejadian itu, Rasulullah s.a.w berasa hairan lantas bertanya kepada Jibrail.  Lalu Jibrail menerangkan bahawa itulah sebahagian daripada umat baginda yang memberatkan kepala mereka untuk menunaikan atau beribadat kepada ALLAH.
KAUM YANG MEMAKAN ZAKUM
Dalam perjalanan seterusnya Rasulullah s.a.w terlihat pula beberapa kaum yang berbalut kemaluan hadapan dan belakang dengan hanya sehelai sapu tangan.  Mereka dihalau seperti binatang dihalau ke padang sambil memakan zakum (batu dan bara api Neraka Jahannam).
Rasulullah s.a.w pun bertanya kepada Jibrail.  Jawab Jibrail, “Bahawasanya itulah sebahagian di kalangan umat engkau yang tiada mengeluarkan zakat harta mereka seperti firman ALLAH :
“Kami tidak menzalimi mereka melainkan mereka sendiri yang menzalimi diri mereka sendiri”.
KAUM YANG MEMAKAN DAGING MENTAH
Kemudian Rasulullah s.a.w bersama Jibrail bertembung pula dengan sebahagian kaum yang dihidangkan daging yang telah dimasak serta baik di dalam bekas perak dan disebelahnya pula terhidang daging yang mentah lagi busuk.  Tetapi yang menghairankan, mereka memilih untuk makan daging yang mentah lagi busuk itu.  Segera Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibrail.  Jibrail pun menerangkan bahawa mereka itu adalah sebahagian daripada umat baginda s.a.w, lelaki serta perempuan yang mempunyai isteri atau suami yang halal tetapi ditinggalkan.  Sebaliknya mereka mendatangi perempuan atau lelaki za’niah (pelacur).
DURI DI JALANAN
Dalam perjalanan berikutnya, ditunjukkan beberapa kayu yang berduri di jalan-jalan dan sesiapa yang melalui jalan berkenaan pasti akan terluka atau terkoyak bajunya.  Lalu Rasulullah s.a.w pun bertanya kepada Jibrail.
Jawab Jibrail, “Inilah seumpama beberapa kaum daripada umat engkau yang duduk di tepi-tepi jalan (lepak) mengintai-intai orang yang lalu di jalan tersebut bertujuan menganggu dan sebagainya”.  Lalu Jibrail membaca firman ALLAH :
"Dan jangan kamu duduk di jalan-jalan untuk menakut-nakutkan (menganggu) orang lain”.
BERENANG DALAM LAUTAN DARAH
Ketika Rasulullah s.a.w bersama Jibrail meneruskan perjalanan, sampailah mereka ke suatu tempat di mana baginda terlihat seorang lelaki yang berenang di dalam lautan darah sambil dilontarkan batu ke mulutnya.
Rasulullah s.a.w pun bertanya apakah sebenarnya kejadian itu.  Jibrail pun menjelaskan itulah diumpamakan sebahagian daripada umat baginda yang memakan riba.
MENGHIMPUN SEBERKAS KAYU
Kemudian, Rasulullah s.a.w berjumpa pula dengan seorang lelaki yang menghimpunkan beberapa bekas kayu yang dia tidak terdaya memikulnya tetapi semakin bertambah pula kayu tersebut.  Semakin tidak terdaya semakin kayu-kayu itu ditambahnya dan begitulah seterusnya.
Rasulullah s.a.w pun bertanya kepada Jibrail lantas Jibrail menerangkan bahawa itulah seorang yang memegang amanah tetapi tidak mampu untuk dia melaksanakannya namun masih juga dia hendak menerima amanah lain.
KAUM YANG MENGGUNTING LIDAH
Seterusnya sampailah mereka ke suatu tempat di mana terdapat beberapa kaum yang kerjanya menggunting lidah dan bibir mereka sendiri.  Setiap kali lidah dan bibir mereka putus, ia pulih seperti sediakala dan mereka menggunting kembali dan begitulah seterusnya berulang-ulang kali.
Rasulullah s.a.w pun bertanya kepada Jibrail.  Jawab Jibrail, “Inilah diumpamakan seseorang yang mengajar manusia dengan tiada sebenarnya dan mereka tidak membuat apa yang mereka ajarkan itu”.
KAUM YANG MENGGARU MUKA
Kemudian Rasulullah s.a.w bersama Jibrail terjumpa pula beberapa kaum yang mempunyai kuku tembaga yang tajam.  Mereka mengaru-garu muka serta badan mereka sehingga tersiatlah daging dan bercucuran darah.
Segera Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibrail.  Jawab Jibrail, “Inilah seumpama mereka yang makan daging saudaranya dengan mengumpat serta menjatuhkan maruah orang lain”.
LEMBU YANG KELUAR DARI LUBANG SEMPIT
Setelah itu, dalam perjalanan seterusnya, Rasulullah s.a.w ternampak satu lubang yang kecil, tiba-tiba keluar seekor lembu jantan dan ia cuba hendak masuk samula ke dalam lubang tersebut tetapi tidak berjaya.
Rasulullah s.a.w pun bertanya kepada Jibrail.  Jawab Jibrail, “Itulah umpama seseorang yang mengerjakan serta memperkatakan perkara-perkara yang dimurkai oleh ALLAH, kemudian dia menyesali atas perbuatannya itu tetapi dia tidak mampu untuk menyesalinya”.
RASULULLAH DITEGUR OLEH PIHAK KANAN DAN KIRI
Maka Rasulullah s.a.w berserta Jibrail pun meneruskan perjalanan dan tiba-tiba Rasulullah s.a.w ditegur oleh pihak kanan dengan katanya, “Wahai Muhammad, pandanglah aku.  Sesungguhnya aku ingin bertanya kepada engkau”.  Tetapi Rasulullah s.a.w tidak menyahut panggilan itu.  Lalu Jibrail pun menerangkan bahawa itulah seruan Yahudi dan jika baginda menjawab tadi, nescaya ramailah di kalangan umat baginda yang menjadi Yahudi.
Selepas itu Rasulullah s.a.w pun ditegur oleh pihak kiri tetapi baginda masih tidak menyahut.  Berkata Jibrail, “Itulah seruan Nasrani dan jika engkau menjawab seruan tadi tu, wahai Muhammad nescaya ramailah di kalangan umat engkau yang menjadi Nasrani”.
RASULULLAH DISERU PEREMPUAN BERHIAS SERTA SEORANG TUA
Tidak lama selepas itu, Rasulullah s.a.w pun diseru oleh seorang perempuan yang memakai perhiasan yang cantik.  Tetapi Rasulullah s.a.w tidak menyahut panggilan itu.  Lalu Jibrail pun menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w bahawa jika baginda menjawab panggilan itu nescaya ramailah di kalangan umatnya yang mementingkan dunia daripada Akhirat.
Setelah itu, Rasulullah s.a.w diseru pula oleh seorang tua yang duduk jauh daripada mereka berdua.  Berkata Jibrail, “Teruskan perjalananmu wahai Muhammad.  Sesungguhnya itu adalah musuh ALLAH (Iblis).
Lalu mereka pun meneruskan perjalanan.  Dalam perjalanan itu juga, tiba-tiba mereka bertemu dengan seorang perempuan tua di tepi jalan.  Apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w, Jibrail pun menerangkan bahawa itulah diumpamakan umur dunia.  Tiada tinggal lagi melainkan umur perempuan tua tersebut.
SETIBA RASULULLAH DI BAITUL-MAQDIS
Dalam masa yang begitu singkat, sampailah Rasulullah s.a.w bersama Jibrail di Baitul-Maqdis.  Kemudian baginda pun turun daru Buraq tunggangannya dan Jibrail menuntun Buraq tersebut menuju ke masjid.  Selepas Jibrail menambat Buraq, mereka berdua pun masuklah ke masjid lantas solat sunat tahiyatul masjid sebanyak 2 rakaat.  Apabila selesai ternampaklah Rasulullah s.a.w ramainya manusia memenuhi masjid tersebut.
RASULULLAH IMAM SEGALA PARA NABI
Tatkala Jibrail azan turunlah Malaikat dari langit dan berhimpunlah segala para Nabi serta Mursalin.  Kemudian Jibrail pun iqamat.  Berdirilah para jemaah yang memenuhi masjid tersebut lalu mereka pun mencari-cari siapakah yang akan menjadi imam.  Jibrail menarik tangan Rasulullah s.a.w sampai ke mihrab.  Solatlah Rasulullah s.a.w bersama jemaah yang ramai di belakangnya.
Setelah selesai solat, Jibrail bertanya kepada Rasullah s.a.w, “Adakah engkau tahu siapakah yang solat di belakang engkau seketika tadi?”  Rasulullah s.a.w menjawab , “Tidak tahu”.  Jibrail pun menerangkan bahawa itulah para roh segala nabi dan Mursalin yang diwahyukan ALLAH.  Rasulullah s.a.w pun memuji ALLAH dengan pujian berikut :
“Segala puji bagi ALLAH TUHAN yang mengutusku, yang memberi rahmat bagi sekalian alam yang lengkap bagi setiap manusia.  Berita yang menggembirakan serta yang menakutkan dan menurunkanku kitab suci Al-Quran yang di dalamnya mengatakan setiap sesuatu dan menjadikan umatku itu umat yang dikeluarkan baginya segala manusia serta menjadikan umatku itu umat yang terpilih.  Dan menjadikan umatku itu umat yang permulaan takdirnya dan umat yang terakhir.  Dan meluaskan dadaku dan membuangkan daripadaku dosa-dosaku dan diangkatkan bagiku sebutanku dan menjadikanku permulaan dan kesudahan”.
Setelah selesai Rasulullah s.a.w memuji ALLAH. Berkatalah Nabi Ibrahim a.s, “Inilah kelebihanmu wahai Muhammad”.
RASULULLAH TERASA DAHAGA
Setelah melalui beberapa keadaan, Rasulullah s.a.w terasa dahaga lantas Jibrail pun membawakan 3 jenis minuman iaitu susu, arak dan madu.  Rasulullah s.a.w memilih susu untuk diminum.
Maka Jibrail membenarkan pilihan Rasulullah s.a.w sambil berkata, “Sesungguhnya engkau telah memilih asal kejadian dan jika engkau meminum arak, nescaya umat engkau akan ramai yang sesat dan tiada yang beriman melainkan sedikit”.
RASULULLAH DIDATANGI BIDADARI
Seketika Rasulullah s.a.w dipandang oleh bidadari dari langit.  Maka setiap bidadari memohon kepada ALLAH S.W.T untuk menziarahi Rasulullah s.a.w.  Lalu ALLAH pun mengizinkan mereka untuk turun dari Syurga bersama Malaikat.  Sampai sahaja kepada Rasulullah s.a.w, mereka pun solat di belakang Rasulullah s.a.w.  Setelah itu mereka duduk di dinding Baitul-Maqdis dan Rasulullah s.a.w pun mengucapkan salam kepada mereka.  Mereka pun menjawab salam baginda.
“Siapakah kamu semua?”
Lantas mereka pun menjawab, “Kami adalah daripada kalangan orang-orang yang baik dan elok yakni bidadari yang merupakan beberapa isteri bagi kaum yang suci daripada dosa mereka dan mereka itu kekal di situ dan tidak binasa”.
Tersebut dalam hadis, bidadari dijadikan ALLAH daripada za’faran (sejenis pohon) dan ada satu lagi riwayat mengatakan bidadari dijadikan daripada tasbih Malaikat atau titik air sayap Jibrail tatkala ia keluar dari sungai Syurga.
RASULULLAH TIBA DI MIKRAJ
Akhirnya, dalam perjalanan itu, sampailah Rasulullah s.a.w bersama Jibrail ke Mikraj.  Mikraj adalah tangga yang sangat elok, anak-anak tangganya terbuat daripada emas dan perak yang dikeluarkan dari Syurga Firdaus yang bertahtakan permata yang indah.  Di kiri dan kanan tangga ini ada beberapa Malaikat.  Setiap tangga ke tangga yang lain ialah sejauh 500 tahun perjalanan seperti antara langit dengan bumi dan perjalanan anatar satu langit dengan langit yang di atasnya ialah sejauh 500 tahun perjalanan juga.
Kemudian Rasulullah s.a.w diangkat ke langit pertama, kedua dan demikianlah seterusnya.  Tebal setiap langit ialah 500 tahun perjalanan juga.
RASULULLAH MENAIKI LANGIT PERTAMA
Setelah itu Jibrail pun mendirikan tangga tersebut lalu naiklah mereka berdua ke atas langit yang pertama.  Maka terangkatlah mereka berdua naik ke atas sambil diikuti oleh SKHRAH (batu Baitul-Maqdis tempat berpijak untuk memulakan Mikraj).  Jibrail pun memerintahkan SKHRAH berhenti, lalu berhenti ia di situ, tergantung antara langit dengan bumi tanpa tali sehinggalah hari Kiamat.
Setelah beberapa lama, tatkala seorang perempuan hamil melintasi di bawahnya dan terlihat SKHRAH, dia berasa terkejut hingga gugurlah kandungannya.  Oleh itu, telah diciptakan ALLAH di bawahnya sesuatu yang dapat melindunginya daripada dilihat oleh sesiapa sahaja yang melintasi di bawahnya.
MENAIKI LANGIT DUNIA
Setelah itu, naiklah mereka hingga ke Langit Dunia iaitu di pintu yang dinamakan Babul Hafazah.  Pintu ini dijaga oleh Malaikat bernama Ismail.  Sesungguhnya Malaikat Ismail tidak akan berganjak dari tempatnya melainkan hari wafat Rasulullah s.a.w.  Di bawah jagaannya ada 70,000 Malaikat pula.
Jibrail pun meminta supaya Malaikat Ismail membuka pintu tersebut.
“Siapa engkau?” tanya Malaikat Ismail.
“Aku Jibrail”.
“Siapa bersamamu?”
“Aku bersama Muhammad yang telah diutuskan,” sahut Jibrail.
Lantas pintu itu pun terbuka sambil Malaikat Ismail berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Telah engkau dapat keluasan dan engkaulah ahlinya yang dipanjangkan ALLAH daripada saudara dan daripada khalifah ALLAH.  Maka engkaulah sebaik-baik khalifah dan yang didatangi itu”.
RASULULLAH BERJUMPA NABI ADAM
Masuklah Rasulullah s.a.w bersama Jibrail melalui pintu yang telah terbuka itu dan bertemulah baginda dengan nabi Adam a.s.  Rasulullah mendapati apabila Nabi Adam (baginda belum mengenali Nabi Adam pada waktu ini) melihat roh-roh zuriatnya yang Mukmin dia berkata, “Inilah roh yang baik dan nafsu yang dijadikan daripada ali’in (takwa)”.  Apabila dia melihat roh-roh zuriatnya yang kafir, berkatalah dia, “Inilah roh jahat dan nafsu jahat yang dijadikan daripada sijjin (api Neraka)”.
Di sebelah kanan Nabi Adam terdapat beberapa manusia serta satu pintu di mana keluarlah bau yang sangat harum dari situ.  Di sebelah kirinya pula terdapat beberapa manusia serta satu pintu yang keluar darinya bau yang amat busuk.  Apabila Nabi Adam melihat ke sebelah kanan, dia berasa gembira dan senyum tetapi apabila dia menoleh ke sebelah kiri, dia berasa kecewa dan bersedih.
Rasulullah s.a.w memberi salam kepada lelaki itu, salamnya dijawab kemudian dia berkata, “Selamat datang anda orang soleh dan nabi yang soleh.  Baginda pun bertanya kepada Jibrail perihal lelaki tersebut.  Jibrail pun menerangkan, “Bahawasanya itulah bapa kamu iaitu Adam.  Yang kanannya itu ialah beberapa manusia daripada zuriatnya yang terdiri daripada ahli-ahli Syurga manakala disebelah kirinya pula ialah zuriatnya yang menjadi ahli Neraka.
Dia menoleh ke kanan dan berasa gembira lantas senyum kerana zuriatnya itu memasuki Syurga dan apabila dia menoleh ke kiri, dia berasa sedih serta kecewa kerana melihat zuriatnya memasuki Neraka.  Adapun pintu yang terkeluar bau harum itu ialah Pintu Syurga dan pintu yang terkeluar bau busuk itu ialah Pintu Neraka”.
NAIK LANGIT YANG KEDUA
Kemudian, mereka pun naik lagi hingga ke Langit Kedua di mana ia diciptakan pintunya daripada batu yang putih.  Jibrail pun menuntut agar Malaikat penjaga pintu membuka pintunya.  Bertanyalah Malaikat penjaga Langit Kedua itu seperti mana Malaikat yang menjaga pintu Langit Pertama dahulu.  Jibrail pun memperkenalkan dirinya dan siapa bersamanya sebagaimana sebelumnya dan demikianlah pada setiap langit sehingga ke langit ketujuh.
BERTEMU NABI ISA & NABI YAHAYA DI LANGIT KEDUA
Apabila Pintu Langit Kedua terbuka, masuklah Rasulullah s.a.w ke dalamnya dan didapatinya ada dua orang seperti bersaudara iaitu Nabi Isa bin Maryam dan Nabi Yahaya bin Zakaria a.s.  Keadaan mereka berdua hampir serupa pada pakaian dan rambut.  Bersama-sama keduanya adalah kaum masing-masing.
Rasulullah s.a.w pun memberi salam dan salam baginda dijawab oleh keduanya.
Berkatalah mereka, “Selamat datang saudara yang soleh dan Nabi yang soleh”.  Mereka berdua yang mendoakan kebajikan bagi Rasulullah s.a.w.
BERTEMU NABI YUSUF DI LANGIT KETIGA
Setelah itu, Rasulullah s.a.w bersama Jibrail pun naik ke langit yang ketiga di mana diciptakan pintunya daripada besi.  Setelah berlaku dialog seperti pada Pintu-pintu Langit Pertama, Kedua, maka dibukalah Pintu Langit Ketiga.
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w memasukinya, bertemulah baginda dengan Nabi Yusuf a.s bersama kaumnya.  Rasulullah s.a.w pun memberi salam terhadap Nabi Yusuf dan Nabi Yusuf menjawab salam baginda, lantas berkata, “Selamat datang saudara yang soleh dan Nabi yang soleh”.  Nabi Yusuf juga mendoakan Rasulullah s.a.w dengan kebajikan.
Sesungguhnya Nabi Yusuf dijadikan oleh ALLAH dengan keelokan rupa paras seperti bulan dipagari bintang.
BERTEMU NABI IDRIS DI LANGIT KEEMPAT
Dari situ Rasulullah s.a.w bersama Jibrail naik lagi hingga sampai ke Langit Keempat yang pintunya dijadikan daripada tembaga.
Setelah pintunya terbuka, bertemulah Rasulullah s.a.w dengan Nabi Idris a.s.  Rasulullah s.a.w memberikan salam lalu dijawab oleh Nabi Idris salam Rasulullah s.a.w. itu lantas mengucapkan, “Selamat datang anak yang soleh dan Nabi yang soleh”.  Nabi Idris juga mendoakan Rasulullah s.a.w dengan kebahagiaan.
Adalah Nabi Idris bertemu dengan Rasulullah s.a.w dengan jasad dan roh.  Nabi Idris tiada akan mati pada tiupan sangkakala kerana dia sudah mati dahulu kemudian dihidupkan semula sampai sekarang.  Dia tidak dibinasakan seperti Arasy, Kursi, Luh Mahfuz, Qalam, Syurga, Neraka dan roh.  Hal ini termaktub dalam Al-Quran seperti firman ALLAH :
“Setiap yang di atas bumi binasa.  Setiap sesuatu binasa melainkan wajah-NYA”.
Seperti juga dengan Nabi Isa, dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dengan jasad dan roh kerana dia belum mati lagi dan akan turun ke dunia pada akhir zaman dan kemudian dikebumikan di sisi Rasulullah s.a.w di Madinah.
BERTEMU NABI HARUN DI LANGIT KELIMA
Langit Kelima pintunya daripada perak.  Masuk sahaja melalui pintu langit ini, Rasulullah s.a.w ternampak seorang lelaki yang mempunyai janggut berwarna putih dan hitam yang panjang hampir sampai ke pusat.  Lelaki itu dikelilingi oleh beberapa kaum daripada Bani Israel yang asyik mendengar cerita daripadanya tentang khabar-khabar yang dahulu dari umatnya.
Rasulullah s.a.w pun memberi salam lantas dijawab salam baginda.  “Siapakah ini?” tanya Rasulullah s.a.w kepada Jibrail.
“Inilah Harun yang dikasihi oleh segala kaumnya,” terang Jibrail.
BERTEMU NABI MUSA DI LANGIT KEENAM
Kedua-duanya kemudian naik lagi hingga sampai ke Langit Keenam yang pintunya daripada emas.  Jibrail pun menuntut agar dibuka pintu langitnya.  Setelah pintu dibuka, Rasulullah s.a.w dan Jibrail pun masuk ke dalam.  Nampaklah oleh baginda beberapa orang Anbiya (Nabi-Nabi) berbaris di kiri dan kanan.  Rasulullah s.a.w pun berjalan berjumpa dengan mereka seorang demi seorang.  Ada di antara Anbiya itu bersama kaum masing-masing dan ada yang bersendirian sahaja.
Kemudian Rasulullah s.a.w berjumpa dengan kumpulan manusia yang amat ramai.
“Siapakah ini wahai Jibrail?” tanya Rasulullah s.a.w.
“Inilah Musa dan bersamanya semua kaumnya”, jawab Jibrail.  “Angkatlah kepala engkau”.
Rasulullah s.a.w pun mengangkatkan kepalanya.  Tiba-tiba didapatinya kelompok hitam yang amat banyak memenuhi tepi langit daripada pihak ini dan pihak itu.
Jibrail pun berkata, “Inilah umat engkau di mana 70,000 orang memasuki Syurga tanpa hisab dan apabila engkau minta tambah lagi, maka ditambahi pula tiap-tiap satu daripadanya 70,000 orang yang lain pula”.
Apabila berlalu Rasulullah s.a.w dari situ, bertemulah dia dengan Nabi Musa a.s, iaitu seorang lelaki yang mempunyai kulit yang berwarna merah dan tinggi tubuhnya.  Baginda pun mengucapkan salam terhadapnya dan Nabi Musamenjawab salam baginda, lalu berkata, “Selamat datang saudaraku yang soleh dan Nabi yang soleh”.
Nabi Musa a.s pun mendoakan kebajikan bagi Rasulullah s.a.w.  Kemudian dia berkata, “Telah menyangka seluruh Bani Israil bahawasanya aku terlebih mulia di sisi ALLAH TAALA daripada manusia ini (yakni Muhammad s.a.w) tetapi rupanya dia terlebih mulia di sisi ALLAH TAALA daripada aku”.
Setelah Rasulullah s.a.w berlalu, Nabi Musa pun menangis.  Apabila ditanya apa yang menyebabkannya menangis, maka jawabnya, “Aku menangis disebabkan aku hilang pahala kerana umatku sedikit sahaja yang beriman dan Muhammad s.a.w dibangkitkan kemudian daripada aku dan umatku.  Umatku (Bani Israil) menyangka bahawasanya aku terlebih mulia di sisi ALLAH TAALA daripada segala anak Adam sedangkan ini seorang lelaki dari anak Adam yang terkemudian daripadaku, di dunia di Akhirat umatnya lebih banyak daripada umatku”.
BERTEMU NABI IBRAHIM DI LANGIT KETUJUH
Maka Rasulullah s.a.w bersama Jibrail pun naik ke langit yang ketujuh yang pintunya diciptakan daripada yakut merah.  Selepas pintu Langit Ketujuh dibuka dan masuk Rasulullah s.a.w dan Jibrail ke dalamnya, ternampaklah dia akan Nabi Ibrahim yang sedang bersandar di Baitul Makmur dan di sekitarnya ada beberapa orang daripada kaumnya.
Rasulullah s.a.w pun memberi salam lantas dijawab oleh Nabi Ibrahim lalu berkata, “Selamat datang anakku yang soleh dan Nabi yang soleh”.  Nabi Ibrahim pun mendoakan kebajikan bagi Rasulullah s.a.w.  Kemudian dia berkata lagi, “Anakku, bahawasanya engkau akan berjumpa TUHAN engkau pada malam ini dan bahawasanya umatmu adalah umat terpailih lagi umat yang terakhir dan terlebih daif, maka jika engkau kuasa dan berhajat pada TUHAN-mu pada umat kamu, maka mohonlah.  Wahai Muhammad, suruh umatmu memperbanyak tanaman di Syurga di mana tanahnya sangat baik lagi luas tempatnya”.
Rasulullah s.a.w pun bertanya, “Apakah tanaman itu?”
Ucaplah :  ”Tiada daya upaya melainkan dengan kuasa ALLAH”
Pada satu riwayat yang lain, berkata Nabi Ibrahim a.s, “Khabarkan wahai Muhammad kepada mereka (umatmu) itu bahawasanya Syurga itu sangat baik tanamannya dan sangat tawar airnya dan tanamannya itu ialah dengan 5 kalimah.  Tiap-tiap satu kalimah apabila diucapkan, maka tumbuhlah satu pohon kayu di dalam Syurga iaitu kalimah :
“Maha Suci ALLAH dan segala puji untuk ALLAH dan tiada TUHAN melainkan ALLAH dan ALLAH Maha Besar”.
BERTEMU KAUM YANG MANDI DI SUNGAI
Kemudian Rasulullah s.a.w ternampak beberapa kaum yang muka mereka itu seumpama kertas (berwarna putih) dan ada beberapa kaum yang muka mereka berwarna putih tetapi berubah sedikit (kurang putih).  Kaum yang berwajah kurang putih itu masuk ke dalam sungai dan mandi di dalamnya.  Apabila mereka keluar dari dalam sungai itu wajah mereka telah berubah iaitu bersih sedikit daripada yang asal.  Kemudian mereka masuk ke dalam sungai yang kedua di mana apabila mereka keluar dari situ, wajah mereka bertambah bersih dan putih.  Kemudian mereka masuk pula ke sungai yang ketiga dan mandi di dalamnya, tiba-yiba berubahlah muka mereka menjadi semakin putih dan semakin bersih.
Bertanyalah Rasulullah s.a.w, “Siapakah itu wahai Jibrail?”
Jawab Jibrail, “Adapun muka mereka yang berwarna putih itu ialah mereka yang tidak mencampurkan iman dan perbuatan zalim dengan membuat maksiat.  Dan adapun muka mereka yang bersih sedikit itu adalah mereka yang menyempurnakan amalan yang soleh dengan bercampur kejahatan tetapi akhirnya mereka bertaubat, lalu taubat mereka diterima oleh ALLAH TAALA.  Adapun sungai yang pertama ialah keampunan ALLAH dan kedua Nikmat ALLAH dan ketiga, kemudian Jibrail pun memberitahu Rasulullah s.a.w dengan berkata, “Inilah tempat engkau dan tempat umat engkau”.
MEMASUKI BAITUL-MAKMUR
Di dalam satu riwayat lain mengatakan bahawa dalam perjalanannya itu, Rasulullah s.a.w terlihat umatnya terbahagi kepada 2 kumpulan.  Satu kumpulan daripada mereka memakai selendang berwarna putih dan satu bahagian lagi memakai selendang berwarna kelabu.  Apabila Rasulullah s.a.w memasuki Baitul-Makmur baginda diikuti oleh mereka yang memakai selendang berwarna putih kemudian diikuti mereka yang memakai selendang berwarna kelabu dan mereka beroleh kebajikan.
Rasulullah s.a.w pun menunaikan solat bersertanya segala Mukmin itu.  Sejak dari itu Baitul-Makmur dipenuhi oleh 70,000 Malaikat setiap hari dan tiada ia keluar lagi hingga Hari Kiamat.  Baitul-Makmur itu terletak pada langit yang ketujuh di bawah Syurga dan berkebetulan setentang dengan Kaabah di bumi.  Jikalau dijatuhkan batu dari Baitul-Makmur, nescaya batu itu akan jatuh di atas Kaabah.  Selepas menunaikan solat, Rasulullah s.a.w pun keluar dari situ sambil diikuti oleh mereka yang mengikuti baginda sejak tadi.
POKOK DAN SUNGAI DI SYURGA
Kemudian Jibrail membawa 3 bejana berisi air yang berlainan kepada Rasulullah s.a.w.  Baginda memilih bejana yang berisi susu untuk diminum.  Maka pilihan itu oleh Jibrail mengakui dengan katanya, “Engkau telah memilih asal kejadian engkau serta uamt engkau”.
Lalu mereka berdua pun diangkat ke Sidaratul Muntaha dan di sinilah kawasan terakhir yang dibenarkan sesuatu yang datang dari pihak bumi.
Tiba-tiba Rasulullah s.a.w terlihat sebatang pokok kayu yang mana daripada batangnya keluarlah 4 batang sungai yang airnya tidak berubah rasa (air tawar), satu sungai yang airnya berupa susu yang tiada berubah rasa, satu sungai yang airnya berupa arak yang lazat dan satu sungai yang airnya daripada madu yang jernih.  Besar dan tingginya pokok tersebut kira-kira 70 tahun larian kuda tanpa henti-henti.  Bentuk buahnya seumpama air dan bentuk daunnya seperti telinga gajah tetapi lebatnya boleh menutupi seluruh manusia yang ada di bumi.
Pada satu riwayat ada mengatakan sesungguhnya satu daun daripada pokok berkenaan boleh menutupi  seluruh makhluk yang wujud.  Bagi setiap daun ada Malaikat yang mengucapkan tasbih kepada ALLAH TAALA.  Tatkala Malaikat bertasbih, berubah-ubahlah warna daun tersebut dan akhirnya ia menjadi yakut dan zabarjad.
Di ranting pokok itu ada beberapa ekor belalang yang diciptakan daripada emas.
Sesungguhnya 4 batang sungai tadi adalah terdiri daripada 2 batang sungai yang tersembunyi dan 2 batang sungai yang nyata.
Bertanya Rasulullah s.a.w kepada Jibrail, “Wahai Jibrail, sungai apakah ini?”
Jawab Jibrail, “Sungai yang tersembunyi ini ialah sungai yang ada di dalamnya Syurga iaitu sungai yang bernama Salsabil dan Zanjabila.  Dan sungai yang nyata itu ialah Sungai Nil dan Sungai Furat”.
MELIHAT RUPA JIBRAIL YANG SEBENAR
Rasulullah s.a.w diperlihatkan rupa Malaikat Jibrail yang sebenar di Sidratul Muntaha itu.  Malaikat Jibrail mempunyai 600 sayap di mana setiap sayap besarnya kira-kira memenuhi alam ini.  Sayap-sayap itu dipenuhi dengan dar (permata besar-besar) dan yakut.
MEMASUKI SYURGA
Setelah itu Rasulullah s.a.w bersama Jibrail pun memasuki Syurga dan Rasulullah s.a.w melihat di dalamnya sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di hati manusia.  Sesungguhnya Syurga itu ada 8 jenis :
Jannatul Firdaus
Syurga tempat para anbiya’, para syuhada dan para solehin.  Ia paling afdal dan paling tinggi.
Jannatul Adnan - Syurga yang diciptakan daripada qasbul jannah.
Jannatul Khuld - Syurga yang diciptakan daripada marjan.
Jannatul Naim - Syurga yang diciptakan daripada perak.
Jannatul Makwa - Syurga yang diciptakan daripada zabarjad yang hijau.
Jannatul Salam - Syurga yang diciptakan daripada yakut merah.
Jannatul Jalal - Syurga yang diciptakan daripada lu’lu yang putih.
Jannatul Maqamu Wal-Qarar - Syurga yang diciptakan daripada kasturi yang harum.
KELEBIHAN ORANG MEMBERI HUTANG
Tiba-tiba Rasulullah s.a.w ternampak beberapa buah kubah lu’lu’ yang tergangga dan baginda terlihat di pintu Syurga itu tertulis ayat “SEDEKAH ITU ADALAH 10 KALI GANDA DAN MEMBERI HUTANG ITU 18 KALI GANDA”.  Rasulullah s.a.w berasa hairan mengapakah memberi hutang itu lebih besar daripada sedekah, lantas baginda pun bertanya kepada Jibrail.
Kata Jibrail, “Orang yang meminta itu kadang-kadang dia sudahpun mempunyai barang tersebut sedangkan orang yang berhutang itu tiada mempunyai apa-apa, maka terpaksa berhutang untuk mendapatkannya atau dengan kata lain dia berhutang kerana benar-benar berhajat.
Kemudian baginda berjumpa dengan sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih.  Di situ terdapat juga buah delima dan segala macam buah kayu.  Kemudian keluar daripadanya pakaian penghuni Syurga dan kemudian keluar burung yang bentuknya seumpama unta.
TELAGA AL-KAUSAR
Rasulullah s.a.w terlihat pula telaga Al-Kausar.  Di dalamnya ada 70,000 fursah yang airnya mengalir di atas batu yaqut dan zabarjad.  Di tepinya terdapat lu’lu’ yang besar, airnya mengalir masuk ke hudh (kolah) Rasulullah s.a.w.  Bejananya (timba) seperti bintang di langit dijadikan daripada emas dan perak serta tanahnya daripada kasturi yang amat harum.  Kemudian keluarlah Rasulullah s.a.w dari Syurga itu.
MELIHAT NERAKA
Kemudian Rasulullah s.a.w pun diperlihatkan keadaan Neraka.  Di dalamnya terdapat ghadaballah (kemarahan ALLAH) terhadap musuh-NYA dan yang ingkar akan perintah-NYA.  Jikalau dijatuhkan batu atau besi ke dalam Neraka tersebut nescaya hancur leburlah ia di dalamnya.
Tiba-tiba Rasulullah s.a.w ternampak beberapa kaum memakan bangkai.  Bertanya baginda kepada Jibrail, “Siapa ini, wahai Jibrail?”
Jawab Jibrail, “Inilah mereka yang makan daging saudaranya dengan mengumpat”.
Baginda juga dapat melihat Malaikat Malik penjaga pintu Neraka lalu ia memberi salam kepada Rasulullah s.a.w dan Rasulullah s.a.w menjawab salam Malik.  Ia Malaikat yang boleh diketahui akan kemarahannya melalui mukanya yang sangat masam.  Sesungguhnya Neraka itu terletak di bawah 7 petala bumi.  Ia mempunyai 7 jenis iaitu:
·         Neraka Jahannam
·         Neraka Lazha
·         Neraka Khutamah
·         Neraka Saeir
·         Neraka Saqar
·         Neraka Jahim
·         Neraka Hawiyah
BERPISAH DENGAN JIBRAIL
Kemudian Rasulullah s.a.w diangkat ke Sidaratul Muntaha dan ditutupi awan.  Jibrail tertinggal lalu Rasulullah s.a.w berhenti menunggu.  Di sini Jibrail pun memasukkan baginda ke dalam nur sambil berkata, “Engkau dan TUHAN engkau sahaja”.
Dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Jibrail, “Adakah di sini sahabat hendak meninggalkan sahabatnya?”.
Berkata Jibrail, “Inilah sahaja tempatku, jikalau aku melintasi kawasan ini nescaya terbakarlah aku dengan nur”.
PERJALANAN UNTUK BERTEMU ALLAH
Rasulullah s.a.w pun melalui 70,000 hijab daripada nur hingga sampai ke Mustawa, tempat Kalam menulis yakni Kalam catatan di Luh Mahfuz.  Di situ Rasulullah s.a.w melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam Nur Arasy.
Bertanya Rasulullah s.a.w, “Siapa ini? Adakah Malaikat?”.
“Tidak,” jawab lelaki tersebut.
”Adakah Nabi?” soal Rasulullah s.a.w lagi.
“Tidak.  Sesungguhnya aku seorang lelaki yang hidup di dunia, basah dengan menyebut nama ALLAH yakni berzikir dan hatiku sentiasa terpaut kepada masjid dan aku juga tidak memaki kedua ibubapaku”.
Pada satu riwayat, tatkala Rasulullah s.a.w sampai ke sini, hatinya gundah gulana.  Selepas itu baginda terdengar seperti suara Saidina Abu Bakar memanggilnya, katanya, “Berhenti wahai Muhammad, sesungguhnya TUHAN berselawat kepadamu”.
Rasulullah s.a.w berasa hairan bagaimana Abu Bakar mendahuluinya.  Lalu Rasulullah s.a.w pun bertanya tatkala munajat kepada ALLAH.
Maka firman ALLAH, “Adalah Abu Bakar itu teladanmu dan rapat kepadamu dan aku jadikan suara Malaikat yang menyerupai suara Abu Bakar supaya hilang rasa gundah gulana di hatimu dan adapun selawat-KU ialah seperti firman-KU :
“Sesungguhnya AKU dan Malaikat berselawat kepada Nabi, oleh itu wahai orang yang beriman berselawatlah kepadanya dan sejahterakan ianya”.
MENEMUI ALLAH RABUL JALIL
Kemudian Rasulullah s.a.w diangkatkan ke hadrat Al-Qudsi.  Di sini Rasulullah s.a.w dapat melihat ALLAH dengan tiada apa-apa perantaraan pun, iaitu dengan matanya sendiri.  Tiada seorang pun dari para Nabi ataupun Mursalin melihat ALLAH sebelum ini.  Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w melihat ALLAH, baginda terus sujud menyembah-NYA.
Berfirman ALLAH, “Wahai Muhammad”.
Jawab Rasulullah s.a.w, “Labbaika”.
Firman ALLAH lagi, “Angkat kepalamu, mohonlah apa yang engkau hendak AKU berikan kepadamu”.
Rasulullah s.a.w pun mengangkatkan kepalanya dengan berkata, “Wahai TUHAN, bahawasanya ENGKAU telah melantik Ibrahim sebagai Khalil dan ENGKAU berinya kerajaan yang amat besar dan ENGKAU berkata-kata terus dengan Musa dan ENGKAU berikan Daud kerajaan yang amat besar dan ENGKAU permudahkannya untuk melembutkan besi dan ENGKAU mudahkan baginya kuasai bukit.  ENGKAU berikan Sulaiman kerajaan yang amat besar dan ENGKAU permudahkan baginya jin dan manusia dan syaitan bekerja dengannya ketika dia kehendaki, dan ENGKAU mudahkan baginya angin dan ENGKAU berikannya kerajaan yang tiada seorang pun boleh memiliki selepasnya.  ENGKAU ajarkan Isa dengan Taurat dan Injil dan ENGKAU berikannya boleh merawat orang yang buta, sopak dan menghidupkan orang yang telah mati dengan izin ENGKAU dan ENGKAU peliharanya serta ibunya dari syaitan yang direjam.  Maka syaitan tidak mampu menyesatkan mereka berdua”.
ALLAH berfirman, “Sesungguhnya AKU angkatkan engkau sebagai Habib (kekasih) dan AKU utuskan engkau untuk menusia seluruhnya supaya mengkhabarkan berita gembira dan memberi peringatan.  AKU telah luaskan dadamu dan AKU buangkan daripadamu dosamu dan AKU angkatkan untukmu zikirmu.  AKU jadikan umatmu sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia dan AKU jadikan umatmu itu sederhana.  Dan AKU jadikan umatmu orang yang pertama dan orang yang terakhir dan AKU jadikan umatmu itu tiada sah khutbah dan solat sehingga mereka itu berikrar bahawasanya engkau hamba-KU dan pesuruh-KU.  Dan AKU jadikan daripada umatmu beberapa kaum yang mana hati mereka berpaut di dalam hati mereka.
AKU telah jadikan engkau Nabi yang mula-mula dibicarakan pada hari Kiamat.  Dan AKU berikan engkau 7 ayat yang diulang-ulang bacaannya di dalam solat iaitu Surah Al-Fatihah yang ianya AKU beri kepada para Nabi sebelum engkau.  AKU berikan engkau penutup Surat Al-Baqarah harta yang bernilai di bawah Arasy ianya tiada AKU beri kepada para Nabi sebelummu dan AKU berikan engkau dengan 8 saham berharga iaitu Islam, Hijrah, sedekah, menyuruh yang makruf dan menegah yang mungkar, dijadikan engkau pembuka dan penutup, diberikan engkau panji-panji kepujian maka Adam dan lainnya berada di bawah panji-panji engkau.  Dan sesungguhnya pada hari AKU menjadikan 7 petala langit dan bumi, AKU telah fardukan ke atasmu dan umatmu 50 waktu solat maka dirikanlah ia”.
Selesai bermunajat kepada ALLAH, Rasulullah s.a.w pun kembali mendapatkan Jibrail.  Lalu Jibrail pun memimpin tangan Rasulullah s.a.w untuk turun.  Kemudian mereka berdua bertemu Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ibrahim tidak berkata apa-apa.
BERDIALOG DENGAN NABI MUSA
Apabila sampai kepada Nabi Musa, bertanyalah beliau kepada Rasulullah s.a.w, “Apakah yang diperlakukan terhadapmu wahai Muhammad dan apa yang difardukan ke atas kamu dan umatmu?”.
Jawab Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya ALLAH telah memfardukan ke atasku serta umatku dengan 50 waktu solat sehari semalam”.
Berkata Nabi Musa, “Kembalilah engkau wahai Muhammad kepada TUHAN-mu dan pohonkan keringanan untuk kamu dan umatmu, bahawasanya umat kamu tidak mampu untuk menunaikannya.  Sesungguhnya Bani Israel yang gagah tidak mampu melakukan amalan yang lebih sedikit dari itu, sedangkan umatmu lemah tubuh badan, lemah hatinya, mana mungkin mereka mampu melaksanakan tugas seberat itu”.
Setelah mendengar kata-kata Nabi Musa itu, Rasulullah s.a.w pun memandang Jibrail.  Jibrail mengisyaratkan supaya Rasulullah s.a.w pergi kembali ke Sidratul Muntaha untuk menemui ALLAH untuk diringankan apa yang telah difardukan.
Awan yang telah tertutup dahulu kembali terbuka.  Tatkala Rasulullah s.a.w sampai ke hadrat Al-Quds, baginda sujud kepada ALLAH dengan katanya, “Wahai TUHAN-ku, ringankan terhadap umatku apa yang diperintahkan-MU.  Sesungguhnya umatku adalah terlalu daif”.
Firman ALLAH, “Sesungguhnya telah KU-kurangkan untuk umatmu itu 5 waktu solat”.
BERULANG-ALIK ANTARA NABI MUSA DENGAN ALLAH
Rasulullah s.a.w pun turun dan terbukalah awan.  Beliau kembali menemui Nabu Musa dan mengkhabarkan dengan katanya, “Sesungguhnya ALLAH telah mengurangkan untukku 5 waktu solat”.
Berkata Nabi Musa lagi, “Wahai Muhammad, kembalilah engkau kepada TUHAN-mu dan mohonlah keringanan lagi.  Bahawasanya umatmu tidak berkuasa untuk menunaikannya”.
Kembalilah Rasulullah s.a.w kepada ALLAH.  Lalu dikurangkan lagi 5 waktu solat, dan begitulah Rasulullah s.a.w berulang-alik antara Nabi Musa dan ALLAH.  Setiap kali baginda bermunajat dengan ALLAH, ALLAH kurangkan 5 waktu solat sehinggalah tinggal 5 kali sahaja sehari semalam.
Firman ALLAH, “Telah AKU jadikan solat 5 waktu itu pahalanya sama dengan 50 solat itu, tiap-tiap satu solat dinilai dengan 10 dan tiada lagi pertukaran arahan-KU dan tiada juga berubah suratan-KU.  Sesiapa yang bercita-cita untuk membuat kebajikan kemudian dia melaksanakannya akan dituliskan 10 kebajikan.  Dan sesiapa bercita-cita untuk melakukan kejahatan tetapi tiada mengerjakannya maka tiada dituliskan kejahatannya dan jika dia melakukannya maka dituliskan untuknya satu kejahatan sahaja”.
ALLAH MEMFARDUKAN 5 WAKTU SOLAT
Setelah itu turunlah Rasulullah s.a.w dan mengkhabarkan tentang pengurangan 5 waktu solat kepada Nabi Musa.  Berkatalah Nabi Musa, “Kembalilah kamu kepada TUHAN-mu wahai Muhammad, mohonlah keringanan sekali lagi dan sesungguhnya umatmu tiada kuasa untuk melaksanakannya”.
Jawab Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya aku telah berulang-alik kepada TUHAN-ku beberapa kali hingga aku terasa malu terhadap TUHAN-ku dan tetap aku laksanakanperintah-NYA ini”.
Tatkala itu terdengarlah seruan, “Telah AKU laksanakan yang KU-fardukan dan AKU ringankan untuk hamba-KU”.
TURUN SEMULA KE BUMI
Berkata Nabi Musa a.s, “Turunlah engkau wahai Muhammad dengan nama ALLAH”.
Rasulullah s.a.w pun turun bersama Jibrail lalu melintasi beberapa jemaah Malaikat dan mereka tiada berkata apa-apa melainkan satu pesanan, “Biasakan olehmu wahai Muhammad dengan berbekam dan suruhlah umatmu berbekam”.
Apabila melalui Langit Dunia berkata Rasulullah s.a.w kepada Jibrail, “Telah aku lalui isi langit dan tatkala aku memberi salam, semua mereka menjawab salam, memuliakan dan tertawa gembira melainkan seorang tiada aku lihat ia ketawa”.
Kata Jibrail, “Wahai Muhammad, itulah Malik yang menunggu Neraka, dia sejak dijadikan ALLAH tidak tertawa.  Jikalau engkau tertawa terhadap seseorang nescaya dia akan tertawa terhadap engkau”.
Apabila sampai di Langit Dunia, tiba-tiba Rasulullah s.a.w terlihat debu dan asap serta terdengar suara mersik.  Bertanyalah baginda kepada Jibrail apakah gerangannya.  Menurut Jibrail, itulah syaitan yang menutup mata manusia (anak adam) sehingga mereka itu tidak mampu berfikir apa yang ada dalam alam malakut langit dan bumi.  Dan jika tidak dilakukan begitu nescaya manusia dapat melihat keajaiban-keajaibannya.
MENINGGALKAN BAITUL-MAQDIS
Sesampainya mereka berdua ke Baitul-Maqdis, Rasulullah s.a.w pun menunggang Buraq yang tertambat itu menuju ke arah Makkah.  Dalam perjalanan itu, baginda melintasi beberapa ekor unta kepunyaan orang Quraisy yang datang dari Syam.  Di antara unta-unta itu terdapat seekor mempunyai 2 karung di atas badannya, karung-karung itu berwarna putih dan hitam.  Apabila Rasulullah s.a.w kebetulan menuju ke arahnya, terkejutlah unta-unta tersebut dan lari berkeliling-keliling hingga salah seekor daripadanya patah kaki jatuh lalu ditinggalkan di situ oleh pemiliknya.
Dalam perjalanan itu juga Rasulullah s.a.w terlihat sekumpulan unta dan salah seekor daripadanya tersesat.  Rasulullah s.a.w menontonnya hingga terhimpun kembali dalam kumpulannya.  Rasulullah s.a.w pun memberi salam kepada mereka dan mereka mengenali suara baginda tapi ada juga yang tak percaya.  Kemudian baginda mengambil semangkuk yang berisi air, maka baginda minum air itu.
SAMPAI KE MAKKAH
Apabila sampai ke Makkah berkata Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya kaumku tiada mempercayaiku tentang peristiwa ini apabila aku ceritakan kepada mereka nanti”.
Jawab Jibrail, “Sesungguhnya sahabatmu Abu Bakar akan membenarkan”.
Rasulullah s.a.w sampai di Makkah sebelum waktu Subuh.  Setelah baginda turun maka terangkatlah Buraq ke langit dan terus ke Syurga.  Dan setelah waktu Subuh, baginda pun keluar dari rumah sambil berfikir sendiri terhadap apa yang dialaminya dan berasa bimbang tentang penerimaan kaumnya kerana peristiwa itu amat luar biasa dan menyalahi adat pada fikiran manusia.
Dalam waktu itu, datanglah Abu Jahal, lantas bertanya, “Apakah kamu ada apa-apa berita?”.
“Ya”, jawab Rasulullah s.a.w.
“Apakah ia?” tanya Abu Jahal lagi.
“Aku telah diperjalankan pada malam tadi ke Baitul-Maqdis”.
“Apa? Kamu diperjalankan ke Baitul-Maqdis dalam tempoh satu malam?  Apakah engkau mahu aku khabarkan berita ini kepada kaummu?”
“Bahkan aku akan khabarkan apa yang aku khabarkan kepadamu ini” jawab Rasulullah s.a.w.
Abu Jahal pun menyeru dengan suara yang lantang, “Wahai Bani Kaab dan Bani Lua, berhimpunlah kamu semua kepadaku”.
Apabila telah berkumpul semua orang, berkatalah Abu Jahal kepada Rasulullah s.a.w, “Khabarkanlah kepada kaummu seperti yang engkau khabarkan kepadaku, wahai Muhammad”.
Berkatalah Rasulullah s.a.w, “Bahawasanya aku telah diperjalankan pada malam tadi”.
“Ke mana?” tanya kaumnya.
“Ke Baitul-Maqdis” jawab Rasulullah s.a.w.
“Apa! Kamu diperjalankan dalam masa yang singkat itu?”
“Ya” jawab Rasulullah s.a.w.
Gemparlah mereka dan saling bertanya-tanya sesama sendiri.  Ada setengah-setengahnya menepuk dahi.
ABU BAKAR MEMBENARKAN RASULULLAH S.A.W
Dalam suasana riuh rendah kerana orang ramai mempertikaikan pengakuan Rasulullah s.a.w itu, beberapa orang daripada kaum musyrikin Quraisy pergi berjumpa Abu Bakar.
“Wahai Abu Bakar, bahawa sahabatnu Muhammad telah mengatakan dia telah datang dari Baitul-Maqdis dalam satu malam”.
“Adakah dia berkata demikian?” tanya Abu Bakar.
“Ya benar” sahut mereka.
Pantas Abu Bakar mengatakan dia mempercayai tanpa ragu-ragu.  Dia segera pergi untuk menemui Rasulullah s.a.w.
Sementara itu, di tempat orang ramai tadi, ada seorang yang bernama Mata’am Ibn Ad’y yang mendustakan pengkhabaran Rasulullah s.a.w dengan katanya, “Wahai Muhammad, setiap pekerjaan kamu dahulu mudah difahami, lain pula sekarang (tidak masuk akal).  Sesungguhnya aku bersaksi bahawa perkataan engkau adalah dusta kerana berlari unta untuk pergi ke Baitul-Maqdis mengambil masa sebulan lamanya.  Tetapi engkau mendakwa pergi ke Baitul-Maqdis dalam masa satu malam sahaja”.
Mendengar kata-kata itu Abu Bakar dengan marah berkata, “Hei Mata’am, mengapa engkau memperkatakan sejahat-jahat perkataan terhadap anak saudara engkau dengan perkataan dusta.  Demi ALLAH, aku bersaksi dialah yang sebenarnya”.
Peristiwa itulah Abu Bakar digelar as-Siddiq yang bermaksud orang yang membenarkan, sedangkan namanya yang sebenarnya ialah Abdullah bin Abi Qahafah dan gelarannya Atiq.
Mereka yang pernah ke Baitul-Maqdis cuba menguji Rasulullah s.a.w berkata “Wahai Rasulullah s.a.w, ceritakanlah kepada kami tentang rupa Baitul-Maqdis, apakah binaannya daripada batu-batan atau lainnya, berapa pula panjang serta tingginya dan berapa pula hampirnya dengan bukit”.
Rasulullah s.a.w cuba hendak menceritakan keadaan Baitul-Maqdis.  Tetapi Rasulullah s.a.w tidak ingat secara jelas.  Kerana itu, Rasulullah s.a.w didatangi Jibrail a.s lalu Jibrail a.s pun mendatangkan gambaran Baitul-Maqdis di hadapan mata baginda.  Sesungguhnya Jibrail telah menyingkap hijab seolah-olah Baitul-Maqdis di hadapan Rasulullah s.a.w.
Berdasarkan itu Rasulullah menceritakan apa yang ditanya itu dengan tepat.  Namun mereka masih ingkar.  Kemudian Rasulullah s.a.w diminta menceritakan berapa ekor unta yang mambawa dagangan dari Syam dan dari manakah khalifah mereka.  Lalu Rasulullah s.a.w pun menyatakan yang dia bertemu dengan seekor unta yang sesat.  Kehilangan seekor unta itu akhirnya dijumpai semula.  Kemudian Rasulullah s.a.w menyatakan lagi kepada mereka memiliki berwarna merah badannya dan kakinya patah.  Setelah mendengar dengan penuh minat mereka membenarkan berita tersebut.
Rasulullah s.a.w seterusnya menceritakan lagi bahawa di antara mereka ada satu qadah (bekas) yang berisi air tetapi airnya telah diminumnya.  Mendengar cerita itu, salah seorang dari mereka mencelah dengan katanya, “Demi ALLAH sesungguhnya bekas itu memang berisi air, ianya tidak tumpah tetapi tiba-tiba sahaja tiada lagi didapati air di dalamnya”.
Setelah Rasulullah s.a.w menjelaskan semuanya maka tiadalah ruang untuk mereka mendustakan baginda.  Tapi mereka masih berdegil, malah mereka menuduh pula Rasulullah s.a.w melakukan sihir.  Walaupun di antara mereka ada yang mempercayai kata-kat Rasulullah s.a.w, tetapi tidak kurang pula yang murtad dari Islam kerana sikap munafik mereka.  Dan ada juga sesetengah dari mereka bersikap tunggu dan lihat dan sesetengahnya bersikap taraddud (berbolak balik) di dalam hati.  Dengan ini turunlah firman ALLAH :
“Dan tiada KAMI jadikan apa yang engkau lihat, yang KAMI memperlihatkan kepada kamu wahai Muhammad melainkan ianya fitnah bagi segala manusia”

Kata Ibn Abbas a.s, adalah nyata daripada ayat ini bahawasanya Israk dan Mikraj itu berlaku terhadap Rasulullah s.a.w secara jasad dan roh.

No comments:

Post a Comment