Cara Imam Syafie Menghafal Ilmu penuh hikmah
Setiap hari Imam Syafie menghadiri kelas ilmu fiqah yang diajar oleh Imam Muslim al-Zanji . Namun dia menghadiri satu masalah kerana belajar ilmu fiqah perlu banyak catatan sedangkan dia tidak mampu membeli alat tulis dan kertas. Oleh itu dia menulis catatannya pada kulit kayu,pelepah tamar dan kertas terbuang yang dibuang orang.
Pada suatu hari, Imam Syafie masuk ke dalam kelas tanpa membawa apa-apa kerana dia sudah kehabisan pensel dan kertas. Apabila Imam Imam Muslim al-Zanji mengajar ,Imam Syafie menulis pada tapak tangan kiri dengan jari jelunjuk kanannya. Perbuatan itu disedari oleh gurunya.
“Apakah kamu sedang bermain ataupun mengikuti apa yang saya ajarkan?”tanya Imam Muslim al-Zanji.
“Saya sedang belajar,”jawab Imam Syafie.
“Pelajar lain masuk ke dalam kelas menulis pada buku dan kertas. Tetapi saya lihat kamu asyik menggaru tapak tangan kamu,”kata Imam Muslim al-Zanji lagi.
“Maafkan saya. Saya menulis apa yang tuan ajar pada tapak tangan saya kerana tidak mampu membeli alat tulis dan kertas,”kata Imam Syafie pula.
“Sekiranya benar begitu,cuba kamu baca semula apa yang kamu tulis pada tapak tangan kamu tadi,”pinta Imam Muslim al-Zanji. Imam Syafie membaca semula apa yang diajarkan oleh Imam Muslim tanpa tinggal satu patah perkataan pun. Imam Muslim al-Zanji dan semua anak muridnya berasa kagum dengan kebolehan luar biasa Imam Syafie.
“Kamu adalah anak murid saya yang paling miskin . Demi Tuhan saya tidak akan mengambil apa-apa bayaran daripada kamu. Teruslah berguru denganku hingga kamu menjadi mahir dalam ilmu fiqah,”kata Imam Muslim al-Zanji.
Imam Syafie semakin tekun belajar hingga akhirnya dia diakui gurunya dapat mengajar serta dapat memberi fatwa mengenai hukum-hukum agama.
Walaupun begitu, Imam Syafie merasakan dirinya masih kekurangan ilmu agama. Dalam diam-diam dia mempelajari Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas hingga semua kandungan kitab itu dapat dihafalnya.
Petikan : Buku Imam-Imam Yang Benar Halaman 369-370
No comments:
Post a Comment