Sunday, 9 March 2014

SEKULAR ITU


SEKULAR ITU … PERANCANGANNYA ?

Sekular atau dalam bahasa Arabnya dipanggil "al-'Ilmaniyyah" diambil dari perkataan ilmu (dalam bahasa Arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi TETAPI sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada "al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya dan berselindung di sebalik slogan ilmu. Sebenarnya kalau diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah "al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau "al-La'aqidah" yakni tanpa akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang sekularisme.

Istilah "al-'Ilmaniyyah" dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan istilah "al-Ladiniyyah" atau "al-La'aqidah", sudah pasti umat Islam akan menolaknya. Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya penterjemahan sekular kepada istilah "al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan mengabui mata dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman sekularisme. Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara pendokong sekularisme dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan "hakikat" masing-masing. 

(SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT)

Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.

Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari negara". Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan gereja.  Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.

Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau gereja.

Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap penganutnya. Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).

Al-Syahid Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga bidang-bidang yang lain.

Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di  sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya akidah dan syariat  sekaligus dan ia tidak membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhainya hanyalah Islam yang suci. FirmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam", surah Al-Imran
ayat 19.

Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka. Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.

Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi.
Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya : "adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya? Sebaliknya Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".

(CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME)

Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya. Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)

Antaranya ialah :

1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.

i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada pengajian sekularisme.

ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama. 
Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan  ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.

2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat.  Di samping itu, akan tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.

3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah  melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.

4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang kesannya ialah menghina bahasa Arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan   bahasa asing. Penghinaan bahasa Arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara Arab.

5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca  tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :

i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih  bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.

ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus  dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama "berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)

Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.

Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada   kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha   menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)

Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari "kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi   sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir "pengsekularan" undang-undang dilakukan ketika  penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara khususnya.

Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.

Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.

Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata :
"sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi  pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil".  Maka umat islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Disediakan oleh :
IRWAN BIN MOHD SUBRI
UKM, BANGI.
atkeens@usa.net

(P/S : artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku "Mauqif al-Islam Min al-Tayyarat Wa al-Mazahib al-Mu'asharah" karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam Khudhair dan Prof. Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, Pensyarah Jabatan Akidah Dan Falsafah, Kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir).

No comments:

Post a Comment