Salah Faham Terhadap Hudud
Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa
persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan
golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan
keimanan dan tauhid kepada Allah SWT.
Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap
muslim wajib menerima kewajiban Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat
Islam.
Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan
perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud
ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang
lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua
hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah.
Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai
saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali
nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk
mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga
seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak
lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang. Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan
tidak benar.
Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan
ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat
dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa
lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua muslim
yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.
Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud
dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah
syariah Islam secara keseluruhan. Islam
adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap
elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh
Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud
dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan,
dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud
untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam
bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam,
dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai
tidak adil atau zalim.
Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam
hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap
kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang
dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang
berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak
80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh
penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.Mereka
mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki
yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini,
menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol.
Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada
keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud,
Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak boleh
dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.
Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes
biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini
prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan
berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti
yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan
menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa.
Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam
hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian
tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang
Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan
hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan
keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA
test, lapuran kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah
boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke
atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan
Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh
ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut.
Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang
keraguan langsung (beyond any shadow of doubt).
Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah,
tetapi tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir
boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.
Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu
andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah
seseorang individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh
menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh
dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang
dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf.
Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA
menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan
menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang
melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa
dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka.
Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari
benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah
tidak akan dihukum di bawah Qazaf. Dalam
kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati
kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah undang-undang
Takzir.
Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada
keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan,
dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala
keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum
Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku.
Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang
juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud
dan Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan
kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan
dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat
mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."
Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam
bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum
Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas
bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar
diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang
sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan
merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat
bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku,
pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.
Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan
bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh
menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas
sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi
menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut
mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas
(Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang
setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang
penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada
waris mangsa.
Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan
berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di
dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah. Kebanyakan mereka yang menentang
Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang
mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah
Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik. Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka
yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem
perundangan Islam dapat dilaksanakan.
Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan
saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol
dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada
perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam.
Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki.
Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum
wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana
kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka
kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.
Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman
pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa
ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau
tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah
seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu
yang tidak baik ke atasnya. Memandangkan
kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi
yang boleh mengesahkan dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu
kuat tidur. Setelah hakim berpuas hati
dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita
yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang
seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke
atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana
terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.
Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah secara
mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik
yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan
perkembangan sosio-ekonomi masyarakat.
Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di dalam sistem
perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini merupakan sistem
yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara' seperti yang telah
digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.
Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara
fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti
kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya
mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih
berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam
pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan memerlukan
pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun, tentulah dangkal
dan tidak benar untuk mengatakan bahawa
hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu
menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya
kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada
tahun 1924.
Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang
sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan
melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka
tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi
apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan keilmuan
sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment