Minda Cina
Oleh: Khalid Jaafar
SAYA dipelawa untuk menulis untuk surat kabar Cina. Bagi saya
ini adalah suatu yang menyeronokan. Namun ia bukanlah suatu yang mudah.
Selama ini saya menulis dalam bahasa Melayu dan mereka yang
membaca tulisan-tulisan saya adalah 90 peratus orang Melayu. Mungkin lebih dari itu. Sekarang saya
akan menulis untuk orang Cina. Apa yang akan saya tulis, dan bagaimana?
Cara yang paling mudah bagi saya untuk memulakan ruangan ini
adalah dengan menceritakan pencarian saya untuk memahami apa itu kecinaan atau
penerokaan saya untuk memahami minda Cina.
Menurut hemat saya, di Malaysia orang Cina lebih berminat
untuk mengetahui minda Melayu. Mungkin kerana kedudukan Melayu dalam politik
dan kekuasaan. Tetapi orang Melayu kurang berusaha untuk memahami minda Cina.
"Orang Cina suka menipu"
Kerana tidak ada usaha ilmiah dan rasional untuk memahami
minda Cina maka persepsi Melayu terhadap sikap orang Cina diselubungi oleh
prasangka. Antara prasangka yang paling meluas adalah: “Orang Cina suka
menipu.” Saya pernah mendengar alas an seorang bapa mengapa menghantar anaknya
ke sekolah Cina. Katanya, “supaya bila besar nanti tidak ditipu oleh Cina.”
Melayu juga menganggap perpecahan di kalangan orang Cina itu
olok-olok sahaja. MCA, Gerakan dan DAP akan bersatu untuk menjaga kepentingan
kaum Cina. Prasangka seperti ini meluas dalam wacana politik Melayu. “Melayu
jangan berpecah, kalau berpecah Melayu akan lemah dan akan hilang kuasa
politik.” Kita semua tahu siapa yang menggunakan hujah ini.
Saya selalu bosan dengan hujah perpaduan ini. Maka saya pernah
menulis satu rencana yang saya beri tajuk : “Elok Melayu Berpecah.” Sayang
sekali, rencana tersebut yang saya kira amat bernas sekali tidak mempunyai pengaruh dan telah dilupakan.
Perpecahan selalu dilihat dengan negatif. Perpecahan
kadang-kadang ada juga baiknya kerana memberikan kemungkin-kemungkin baru pada
masyarakat membuat eksperimen dalam kehidupan sosial dan pemikiran. Ada bidalan
Melayu yang berbunyi: “Kalau tidak dipecah ruyung mana akan dapat sagunya.” Dan
ada juga pepatah Inggeris yang bermaksud: “Kalau tidak dipecahkan telur
omelette tidak boleh dibuat.”
Benua Eropah suatu masa dulu bersaya di bawah pemerintahan
yang dikenali sebagai Holy Roman Empire. Tetapi perpaduan itu pecah maka
lahirlah negera-negara Eropah seperti
yang ada sekarang. Tidak ada orang Jerman, Perancis atau Italy hari ini
yang mahu kembali kezaman seperti Holy Roman Empire.
Bahkan kita tidak boleh memikirkan Eropah dan Barat mencapai
tahap sekarang, iaitu dari segi perkembangkan pemikiran, falsafah, sains dan
kemajuan politik tanpa perpecahan. Apakah perpecahan itu syarat untuk mencapai
kemajuan? Ini adalah satu tesis besar yang memerlukan kupasan panjang lebar dan
mendalam.
Saya perlu membaca lebih banyak buku tentang tamadun,
kebudayaan dan falsafah Cina kerana selama ini saya tidak banyak membaca
buku-buku tentang tamadun Cina berbanding dengan pembacaan saya tentang tamadun
Islam dan Barat. Tetapi dalam penerokaan saya tentang minda Cina saya
terserempak sesuatu yang unik.
Kesatuan Cina
Cina satu-satunya tamadun yang berjaya mengekalkan kesatuan
geografinya. Tamadun Yunani dan Rom yang menjadi asas kepada tamadun Barat
tidak dapat mengekalkan kesatuan wilayahnya. Kotaraya-kotaraya yang menampilkan
kekuatan ekonomi dan kreativiti tamadun Barat kini bukan Athen atau Rom. New
York, Paris, London dan Munich – inilah jatung-jantung kebudayaan Barat hari
ini.
Kotaraya Islam yang pertama adalah Madinah. Apabila kekuasaan
politik berpindah kepada keluarga Bani Umayyah kota pentadbiran dipindahkan ke
Damsyik (Damascus) di Syria. Apabila Bani Umayyah ditumbangkan oleh keluarga
Bani Abbas dan membentuk dinasti Abassiah kota pemerintahan dipindahkan ke
Baghdad.
Dinasti dan empayar Islam yang terakhir, dinasti Uthmaniah,
dimansuhkan oleh pemimimpin Turki Moden Mustafa Kemal dalam tahun 1924,
menjadikan Istanbul sebagai pusat pemerintahan. Islam pernah memerintah
Sepanyol selama 300 tahun. Tetapi wilayah tersebut tidak dapat dikekalkan
sebagai sebahagian dari dunia Islam.
Nasib tamadun Islam sama lebih kurang dengan tamadun Barat.
Wujud konsep kesatuan tamadun Barat dan kesatuan tamadun Islam. Bahkan wujud
nostalgia terhadap kesatuan tersebut. Dan nostalgia ini lebih mendalam
dikalangan orang Islam.
Nostalgia terhadap kesatuan tamadun dan dunia Islam ini
menjadi beban kepada umat Islam sehingga menjadikan mereka belum sepenuhnya
berdamai dengan realiti Negara bangsa. Maka wujud gerakan, meskipun amat kecil,
untuk menghidupkan kembali khalifah Islam global.
Nasib Tamadun Islam
Mengapakah tamadun Cina dapat mengekalkan kesatuan
wilayahnya? Tamadun Islam hari ini bertaburan dengan entiti-entiti bernama
Indonesia, Arab Saudi, Pakistan, Iraq, Malaysia, Palestin, Turki dan lain-lain.
Tamadun Barat hanya tinggal pada semangat dan nilai. Tetapi kekuatan politiknya
berpecah-pecah kepada Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, United Kingdom,
Italy, Poland dan lain-lain.
Tetapi sejak Qin Shi
Huang menyatukan China dan menjadi maharaja pertama, dan dinasti Qin digantikan
dengan dinasti Han Negara Cina mengekalkan kesatuan geografinya. Dinasti silih
berganti namun Cina kekal kehari ini. Tidak ada negara baru yang muncul yang
berpisah dari negara asal. Saiznya mungkin berubah-rubah. Tetapi wilayah
utamanya kekal. Ini adalah satu misteri
kepada saya.
Saya sering mengajak kawan-kawan Melayu saya untuk melihat ke
Utara – Ke Cina. Tetapi kawan-kawan saya lebih berminat untuk melihat ke Timur
Tengah – ke Palestin. Bolehkah umat
Islam belajar tentang perpaduan dan kesatuan dari Palestin? Palestin adalah
contoh bagi umat Islam bagimana untuk berpecah, bukan untuk bersatu. Dan
perpecahan tersebut adalah perpecahan yang menghancurkan, bukan perpecahan yang
kreatif.
Umat Islam perlu keluar dari kepompongnya dan melihat keluar.
Mereka perlu bersedia untuk belajar dari orang kafir. Suatu ketika dulu umat
Islam belajar flasafah dan sains dari orang Yunani, orang Parsi dan India. Umat
Islam semasa telah banyak belajar dari Barat.
Sekarang Cina sedang bangkit semula. Cina sudah bangkit
sebagai kekuatan ekonomi. Dan saya yakin Cina akan bangkit semua sebagai
kekuatan politik, ketenteraan dan kebudayaan. Bagaimana umat Islam dan orang
Melayu dapat berhadapan dengan kebangkitan ini tanpa mengetahui minda Cina? Dan
umat Islam masih melupakan sabda nabi mereka: “Tuntutlah ilmu hingga ke Negeri
Cina.”
Penulis merupakan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar
(IKD) dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR. Rencana ini pertama kali
disiarkan di dalam akhbar Orientel Daily- Pengarang. - Dipetik dari Laman Web
www.klpos.com
No comments:
Post a Comment