KENAPA HATI PERLU DIJAGA
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang
bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal
ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan
serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang
dilakukannya. "
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh
mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus
atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi
apa-apa keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam
diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi
jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati
manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana
mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya
yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.
Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati
kebahagian seperti di bawah ini:
* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul
karimah.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima
hidayah Allah.
Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar
membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang
sejahtera.
Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang
bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna.
Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).
"
Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan
dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.
Apa yang perlu mereka ketahui, ialah bahawa hati manusia
terbahagi kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia
terserah kepada manusia Muslim untuk memilih salah satu daripada tiga jenis
hati: (a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat, syirik, bidaah,
nifaq), (b) hati yang mati dan (c) hati yang sakit.
Hati yang sejahtera
Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu
serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan
syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia
adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih
daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas
kerana-Nya, mengasihi seseorang Muslim dan membencinya kerana-Nya, sentiasa
sokong dan cenderung kepada hukum-hakam- Nya, terselamat daripada jangkitan
virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima
nasihat.
Hati yang mati
Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100
peratus, iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah,
menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum- Nya, membenci golongan yang
menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima
nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah
hati yang mati dengan Islam.
Hati yang sakit
Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada
kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung
kepada kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.
Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?
Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web
islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:
1. Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati
dan bertaubat kepada Allah.
2. Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3. Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih
daripada kelazatan makanan dan minuman.
4. Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca
khususnya ketika melaksanakan solat.
5. Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak
yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6. Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia
untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7. Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila
habis untuk selain-Nya.
Tanda-tanda hati yang rosak:
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa
dan maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan
kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit
pada larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka
melakukan kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat
untuk agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta
merasakan keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak
takut kepada Allah.
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara
mungkar.
Kaedah rawatan penyakit hati:
a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan
sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan
maksud-maksud ayat al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan
mengharapkan keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan
Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan
ilmu-ilmu agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada
sepertiga malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan
perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi
Allah SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang
diharamkan Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala
nikmat yang dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang
boleh dijadikan teladan.
Posted by Nurhayati Jusoh
No comments:
Post a Comment