Penjelasan Hadis 12 Khalifah
Assalamualaikum warahmatullah,
Terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan dalil oleh
Syiah al-Rafidhah bahawa 12 imamah mereka adalah para imam yang ditakdir atau
diramalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Berikut adalah kupasan ringkas saya terhadap hadis ini.
Ia asalnya merujuk kepada perbincangan saya dengan seorang ahli Mazhab Ahl
al-Bait di forum Fikrah Net. Sengaja saya panjangkan kupasan ini kepada
lain-lain forum supaya sama-sama kita ambil manfaat daripadanya.
LAFAZ HADIS:
Hadis ini memiliki beberapa lafaz. Berikut 3 lafaz
pertama yang dikemukakan oleh O.Hashem, seorang tokoh Syi'ah Indonesia dalam
bukunya
"Syiah Ditolak Syiah Dicari", ms 301-302:
[1] "Agama (Islam) akan selalu tegak kukuh sampai
tiba saatnya atau sampai berlalu 12 khalifah, semuanya dari Quraisy." [HR
Muslim]
[2] "Akan ada 12 amir (pemimpin)" Berkata Jabir
(perawi hadis): "Dan kemudian beliau bersabda dengan kalimat yang tidak
aku fahami. Ayahku berkata: "Semuanya dari orang Quraisy." [HR
al-Bukhari]
[3] "Urusan (amr, administrasi, pemerintah) umat ini
akan selalu kukuh dan akan mengatasi musuhnya sampai berlalu 12 khalifah,
semuanya orang Qurasiy. Sesudah itu timbul kekacauan." [Hadis nukilan
al-Hindi dalam Kanz al-Ummal]
DARJAT HADIS:
Hadis ini sahih, khasnya 2 yang pertama yang dikeluarkan
oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih masing-masing.
MAKSUD HADIS:
Antara cara memahami hadis-hadis Rasulullah s.a.w. ialah
meletakkanya terlebih dahulu dalam kategorinya. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
terbahagi kepada beberapa kategori:
[1] Kategori Iktikad.
Ini ialah hadis-hadis berkenaan aqidah (iktikad) seperti
sifat Allah, alam sebelum kehidupan, azab kubur, alam ghaib, Hari Akhirat dan
sebagainya. Kewajipan kita terhadap hadis-hadis ini ialah "Kami dengar dan
kami taat" tanpa melibatkan akal untuk menentukan benar atau salahnya.
[2] Kategori Hukum.
Ini ialah hadis-hadis yang melibatkan hukum-hukum
syari'at seperti wudhu', solat, haji, kanun jenayah dan sebagainya. Kewajipan
kita ialah melaksanakannya dengan memerhatikan perbezaan antara hadis yang
melibatkan (1) antara manusia kepada Allah dan (2) antara manusia sesama
manusia.
[3] Kategori al-Targhib wa al-Tarhib.
Ini ialah hadis-hadis yang menganjurkan sesuatu kebaikan
dan memberi ancaman/peringatan kepada sesuatu keburukan. Termasuk dalam
kategori ini ialah hadis-hadis keutamaan beramal dan kemuliaan sahabat.
Kategori ini wujud sebagai "penyambung" kepada kategori hadis-hadis
hukum di atas.
[4] Kategori ramalan.
Ini ialah hadis-hadis yang merupakan ramalan-ramalan
Rasulullah s.a.w. kepada perkara-perkara yang akan terjadi selepas kewafatan
baginda. Hadis-2 sebegini juga dikenali sebagai "Hadis Akhir Zaman".
Malang sekali ramai umat Islam yang memahami secara negatif hadis-2 dalam
kategori ini. Dalam buku "Kaedah Memahami Hadis-hadis Musykil", ms
150, saya menulis:
Hadis-hadis akhir zaman ialah hadis-hadis Rasulullah
sallallahu 'alaihi wasallam yang menerangkan suasana dan keadaan umat selepas
zaman baginda, khasnya kepada zaman yang menghampiri Hari Kiamat. Hadis-hadis
akhir zaman yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam adalah
antara himpunan hadis yang paling disalah ertikan oleh umat termasuk para
cendekiawannya. Difahami kononnya Rasulullah telah meramalkan suasana keadaan
umat yang serba mundur dan hina ditimpa kezaliman dan fitnah. Dengan itu umat
hanya perlu duduk dan menerima apa sahaja yang menimpa mereka kerana hal ini
telahpun diramalkan ? atau ditakdirkan ? oleh Rasulullah. Sebenarnya
hadis-hadis akhir zaman ini boleh difahami dari dua sudut. Yang pertama adalah
dari sudut negatif sebagaimana yang digambarkan di atas. Yang kedua adalah dari
sudut positif, iaitu bahawa hadis-hadis akhir zaman tersebut sebenarnya
bertujuan memperingatkan umat akan pelbagai cabaran, rintangan dan perubahan
yang akan mereka hadapi selepas kewafatan Rasulullah sallallahu 'alaihi
wasallam. Oleh itu hendaklah mereka mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai
ilmu dan alat untuk menghadapinya. Pemahaman yang kedua inilah yang merupakan
pemahaman yang benar kerana adalah sangat tidak mungkin Rasulullah sallallahu
'alaihi wasallam selaku seorang Rasul pembawa Rahmat akan meramalkan sesuatu
yang menjauhi sifat Rahmat tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala
(maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan
untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiyaa' 21:107] Yusuf al-Qardhawi
menulis:
Adalah sungguh menyedihkan apabila kebanyakan hadis yang
berkaitan dengan akhir zaman atau yang dinamakan sebagai hadis-hadis
"fitnah" dan tanda-tanda Kiamat difahami oleh sebahagian manusia
dengan pemahaman yang mengajak kepada putus asa daripada melakukan usaha
pembaikan dan perubahan.
Tidak dapat digambarkan bahawa Rasulullah sallallahu
'alaihi wasallam akan mengajak umatnya untuk berputus asa dan kecewa,
membiarkan kerosakan menguasai masyarakat, kemungkaran menjalar di
tengah-tengah tulang belakang masyarakat tanpa perlu melakukan sesuatu untuk
membetulkan kesilapan atau membaiki kerosakan.
Tidak masuk akal bahawa akan timbul daripada pembawa
petunjuk umat ini kata-kata yang akan meruntuhkan semangat untuk membaiki dan
kehendak untuk merubah keadaan yang tidak baik. [Yusuf al-Qaradhawi ?
Petanda-petanda Kemenangan Islam (terj: Juanda Jaya; Maktabah al-Qardhawi,
Bandar Baru Bangi 1999), ms 38 & 121.]
Sekian.
Bagi saya, hadis-hadis dalam kategori "ramalan"
ini lebih tepat disebut sebagai hadis "motivasi" kerana ia sebenarnya
berperanan memberi motivasi kepada mereka yang mencarinya.
Hadis 12 khalifah termasuk dalam kategori ke-4 ini. Ia
adalah hadis ramalan, atau di sisi saya: Hadis Motivasi.
MOTIVASI BAGAIMANA YANG DIMAKSUDKAN ?
Umpamakan sebuah syarikat di mana pihak pengurusannya
mengumumkan bahawa bagi setiap tahun akan dipilih seorang "Employer of the
Year." Employer ini akan dipilih daripada mereka yang berdisiplin, jujur,
berhikmah dan lain-lain sifat terpuji.
Atas pengumuman ini, para pekerja syarikat akan bekerja
keras supaya mereka terpilih menjadi "Employer of the Year" tersebut.
Bagi pihak pengurusan pula, tujuan diadakan pemilihan ini adalah sebagai satu
bentuk memberi motivasi dan penghargaan kepada pekerja yang benar-benar
komited. Ini akhirnya akan memberi manfaat kepada syarikat itu sendiri. Sesiapa
yang lazim membaca buku dan/atau menghadiri kursus leadership dan management
akan lebih memahami hal ini.
Demikianlah juga bagi hadis 12 khalifah yang menjadi
perbincangan kita sekarang ini. Tujuan baginda bersabda sedemikian adalah
sebagai pemberi motivasi kepada umat secara umum dan para khalifah secara
khusus supaya mereka menepati ciri-ciri 12 khalifah yang baginda sebutkan.
Sengaja baginda tidak menyebut nama khalifah tersebut
kerana ini akan menghilangkan nilai motivasi hadis. Sengaja baginda menyebut
angka 12 supaya umat sentiasa dimotivasi untuk memenuhi keseluruhan jumlah
tersebut dari saat baginda wafat sehingga saat Hari Kiamat.
Terdapat beberapa hadis yang lain yang seumpama di mana
baginda tidak menyebut nama atau masa. Beberapa yang sempat saya ingat saat
ini:
[1] "Sesungguhnya Allah akan mengutus bagi umat ini
pada awal setiap 100 tahun seorang yang memperbaharui agamanya." [HR Abu
Daud dan disahihkan oleh al-Albani]
Perhatikan bahawa tidak disebut nama siapakah orang
tersebut.
[2] "Masa kenabian akan berlangsung pada kalian
dalam beberapa tahun. Kemudian Allah mengangkatnya. Selepas itu datang masa
kekhalifahan atas manhaj kenabian selama beberapa masa sehingga Allah
mengangkatnya.
Kemudian datang masa kerajaan (mulk) yang buruk selama
beberapa masa, selanjutnya datang masa kerajaan diktator selama beberapa masa,
hingga waktu yang ditentukan Allah.
Selepas itu akan berulang kekhalifahan atas manhaj kenabian.
Kemudian Rasulullah diam." [HR Ahmad dan al-Thabarani, berkata
al-Haitsmani, para perawi al-Thabarani (tsiqah) terpercaya]
Perhatikan bahawa bila dan siapa yang akan memerintah
sebagai khalifah bermanhaj kenabian tidak disebut oleh baginda.
[3] "Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak
diketahui apakah yang baik itu pada awalnya atau akhirnya." [HR
al-Bukhari]
Perhatikan tidak disebut bilakan masa kebaikan dan
keburukan tersebut. Dalam hadis-hadis di atas, sengaja baginda Nabi s.a.w.
membiarkan ia "terbuka" supaya umat berusaha memenuhinya. Ia
berperanan sebagai pemberi motivasi kepada sesiapa yang mahu mencarinya.
TAFSIRAN PARA ULAMA AHAL AL-SUNNAH YANG TERDAHULU
Memandangkan Rasulullah s.a.w. tidak menyebut siapakah 12
khalifah tersebut "by name", pasti sahaja ia akan menimbulkan
tafsiran yang berbeza-beza di kalangan para ilmuan berkenaan siapakah yang
dimaksudkan. Masing-masing memberi pilihan nama yang menurutnya adalah yang
paling tepat.
Namun di dalam perselisihan ini terdapat 2 persetujuan,
iaitu:
[1] Secara umumnya diperkatakan bahawa terdapat 4
khalifah yang "menghampiri" tujuan atau maksud hadis. Mereka ialah
Abu Bakar, 'Umar, 'Utsman dan 'Ali, radhiallahu 'anhum.
[2] Namun 4 khalifah tersebut bukan mutlak dimaksudkan
oleh hadis kerana "Apa yang dibiar terbuka oleh Rasulullah tidak boleh
ditutup oleh manusia." Ini adalah lanjutan daripada kaedah usul
"Setiap nas hendaklah diambil dalam bentuknya yang asal melainkan wujud
petunjuk yang mengubah bentuk asal tersebut."
TAFSIRAN SYIAH AL-RAFIDHAH
Aliran Syiah al-Rafidhah menafsirkan hadis 12 khalifah di
atas sebagai merujuk kepada 12 imam mereka, bermula daripada 'Ali r.a. hingga
ke imam 12 yang ghaib.
Ahl al-Sunnah menolak tafsiran ini. Daripada 12 imamah
Syiah al-Rafidhah, hanya 'Ali seorang yang menepati tujuan atau maksud hadis.
Lain-lain para imam Syiah al-Rafidhah tidak termasuk sama kerana:
[1] Mereka tidak pernah menjadi khalifah ke atas umat
Islam. Bahkan dalam pelbagai riwayat lain mereka menolak jawatan khalifah atau
"imam" yang dinobatkan kepada mereka.
[2] Mereka tidak pernah dapat mengukuhkan kedudukan Syiah
al-Rafidhah, apatah lagi "mengatasi musuh" sebagaimana lafaz hadis
yang ketiga di atas.
Oleh itu tidak seorang jua daripada 12 imamah Syiah
al-Rafidhah yang menepati tujuan atau maksud hadis di atas kecuali 'Ali
radhiallahu 'anh.
Sekian, wassalam.
Hafiz Firdaus.
No comments:
Post a Comment