Manqul, Musnad, Muttashil
dan Ro'yi
Sesuai dengan judul di atas
dalam makalah ini akan dipaparkan pokok-pokok perbahasan yang meliputi:-
1) Pengertian Manqul,
Musnad, Muttashil dan Ro'yi
2) Wajibnya Manqul dan
Haramnya Ro'yi
3) Utamanya/tinggi Ilmu
Manqul, Musnad, Muttashil
Perbahasan
1. Pengertian Manqul, Musnad, Muttashil dan
Ro'yi
1.1 Manqul
Manqul itu bahasa arab
berasal dari kata Naqola. Manqul secara harfiyah ertinya yang dipindahkan.
Adapun erti menurut agama Islam adalah belajar mengaji Quran dan Hadis dengan
cara berguru atau ilmu Quran dan Hadis yang dimiliki oleh seseorang itu
diperolehi melalui proses pemindahan ilmu dari guru ke murid. Adapun sistem
manqul ada beberapa macam cara antara lain:-
a) Guru yang membacakan ilmu, murid
mendengarkan.
b) Guru sedang mengajar ilmu kepada muridnya
kemudian ada orang lain mendengarkannya.
c) Dengan sistem munawalah iaitu guru memberi
hak/persetujuan kepada muridnya yang dipandang sudah menguasai ilmu manqul
untuk mengerjakan dan mengajarkan ilmu tersebut atau guru berkirim surat yang
berisi Al Quran dan atau Hadis kepada muridnya tentang suatu masalah lalu murid
membaca dan melaksanakannya.
1.2 Musnad
Musnad ertinya ilmu yang
diberikan itu mempunyai sanad/isnad yang sahih. Sanad/isnad (berasal dari kata
asnada) ertinya sandaran, tempat bersandar. Maksudnya mengajarkan (membaca,
memberi makna dan menerangkan) Al Quran dan Hadis dengan sandaran guru yang
mengajarkan kepadanya, gurunya dari gurunya lagi dan seterusnya.
1.3 Muttashil
Muttashil ertinya bahawa
masing-masing sanad/isnad itu bersambung sampai kepada Rasulullah SAW. Jadi
manqul-musnad-muttashil ertinya mengaji Al Quran dan Hadis secara langsung
seorang atau beberapa orang murid yang menerima dari seorang atau beberapa gurunya
tersebut asalnya menerima langsung dari gurunya dan gurunya menerima dari
gurunya lagi, sambung bersambung begitu seterusnya tanpa terputus sampai kepada
penghimpun Hadis seperti Bukhari, Muslim, Nasai, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah
dll yang telah menulis isnad-isnad mereka mulai dari beliau-beliau (penghimpun
Hadis) sampai kepada Rasulullah SAW. Rasulullah bersambung sehingga Jibril dan
Jibril daripada Allah.
1.4 Ro'yi
Ro'yi berasal dari kata
ro'aa ertinya pandangan, pengelihatan, pendapat, maksudnya adalah belajar atau
mengkaji Al Quran dan Hadis sendiri tanpa guru, tidak memiliki isnad muttashil
atau berguru dari guru yang tidak berisnad atau membaca buku-buku/ kitab-kitab
sendiri kerana merasa boleh menafsir bahasa arab sendiri, difaham-fahami sendiri,
diangan-angankan sendiri.
2 Wajibnya Manqul dan
Haramnya Ro'yi
Menurut aslinya mengkaji
atau mempelajari ilmu Al quran dan Hadis itu harus dengan cara manqul musnad,
muttashil dan muhlis kerana Allah. Kerana penyampaian ilmu Al Quran dan Hadis
dengan cara manqul, musnad, muttashil adalah cara yang dipraktikkan oleh
Rasulullah SAW, para sahabat, para tabi'in dan ulama-ulama sholihin.
Dari beberapa ayat Al Quran
dan Hadis yang telah kita kaji bersama secara manqul kita telah mendapatkan
keterangan-keterangan yang jelas bahawa Allah menurunkan wahyu kepada
Rasulullah SAW dengan sistem manqul iaitu dimanqulkan oleh Malaikat jibril
secara teori dan praktikal. Misalnya ketika Rasulullah SAW menerima
kemanqulan bacaan Al Quran diperingatkan
untuk tidak tergesa-gesa menggerakkan lisan-lisannya mendahului Malaikat Jibril
tetapi supaya memperhatikan dahulu setelah Malaikat Jibril selesai membacakan
Al Quran, Rasulullah SAW baru disuruh
mengikuti bacaan tersebut.
Firman Allah yang bermaksud:
"Kamu jangan menggerakkan
lisanmu (untuk mendahului Malaikat Jibril dalam membaca Al Quran) kerana
tergesa-gesa dengannya. Sesungguhnya atas kami pengumpulan Al Quran dan
bacaannya. Maka ketika selesai kami bacakan Al Quran itu maka ikutilah
bacaannya kemudian sungguh ada pada kami keterangan Al Quran itu. (Al Qiyaamah
16-19)
Inilah bukti Rasulullah SAW
menerima wahyu secara manqul. Contoh lagi ialah pada waktu Allah menurunkan
wahyu pertama kali iaitu surah AlAlaq,
Malaikat Jibril membacakan lafaz iqro, maka Rasulullah SAW juga menirukan lafaz
iqro. Contoh lagi ialah pada waktu Allah menurunkan wahyu tentang waktunya
solat. Malaikat Jibril menunjukkan waktunya solat dengan cara mengajak solat
bersama setiap waktu solat selama 2 hari berturut-turut iaitu hari pertama dikerjakan
waktu awalnya solat dan hari kedua dikerjakan pada waktu akhirnya solat.
Setelah itu Rasulullah SAW dan ummatnya disuruh mengerjakan solat pada waktu
yang telah ditentukan antara awal dan akhirnya waktu solat.
Para sahabat dan para
tabi'in juga menggunakan ilmu manqul. Sufyan bin Uyainah pernah bercerita :
Zuhri (perawi hadis) pada suatu hari meriwayatkan sebuah hadis, maka aku
berkata " Ceritakan padaku tidak usah pakai isnad". Imam Zuhri
menjawab: "Apakah engkau boleh naik loteng tanpa naik tangga?".
Imam Tsaury berkata:
"Isnad itu senjata orang mukmin"
Imam Ahmad bin Hambal
berkata: "Mencari isnad yang luhur itu sunnah orang dahulu kerana
sesungguhnya teman-teman Abdullah itu berangkat dari Kufah menuju Madinah,
mereka belajar dari Umar dan mendengarkan beliau". Jadi orang dahulupun mencari ilmu pada orang
yang berguru.
Ibnu Mubarak (perawi hadis)
berkata di dalam mukadimmah Hadis Riwayat Muslim
" Dari Ahli Marwa
berkata, saya mendengar Abdan bin Usman berkata, saya mendengar dari Abdullah bin
Mubarak ia berkata "Isnad itu termasuk agama dan seandainya tidak ada
isnad maka orang akan berkata (masalah agama) sesuka hatinya"
Imam Hakim dan lain-lainnya
meriwayatkan dari Mathor al Waroq mengenai firman Allah
"… datanglah kepadaku
dengan kitab sebelum ini atau atsar/labet/isnad dari ilmu jika kamu sekelian
orang-orang yang benar" (Surah Al-Ahqaaf :4)
Dia berkata: "Atsarotin
adalah isnadul Hadis"
Muhammad bin As Syafie yang
menyusun kitab Hadis Musnad Syafie beliau mempelajari kitab Hadis Muwatta' yang
disusun oleh Imam Malik. Beliau hafal di dalam kepala seluruh isi kitab
Muwatta' tersebut dan faham isinya. Mengingatkan wajibnya manqul maka Imam Abu
Idris As Syafie memerlukan datang ke Madinah semata-mata untuk menemui Imam
Malik dan mengesahkan ilmunya dengan cara manqul langsung, Imam As Syafie
membaca kitab Muwatta' secara hafalan dan Imam Malik diam mendengarkannya.
Di dalam Hadis Bukhari
diriwayatkan : Jabir bin Abdillah merantau sejauh perjalanan satu bulan menemui
Abdullah bin Unais hanya untuk mendapatkan satu Hadis Sahaja. Ini menunjukkan
wajibnya manqul.
Mengkaji Al Quran dan Hadis
dengan cara manqul, musnad, muttashil bukan sekadar method/cara tetapi hukumnya
"WAJIB"
"Kamu mendengarkan dan
akan didengarkan dan orang yang telah mendengar dari kamu akan didengar
pula." (Riwayat Abu Daud)
"Dari sahabat Jundab ia
berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang mengucapkan
(menerangkan) kitab Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung dengan pendapatnya
(secara tidak manqul), walaupun benar maka sungguh ia telah salah"
(Riwayat Abu Daud)
Sedangkan mengkaji Al Quran
dan Hadis tanpa manqul atau Ro'yi dilarang dalam agama Islam dan diancam
dimasukkan ke dalam neraka. Bererti hukumnya "HARAM" berdasarkan
dalil
"Dari Ibnu Abbas r.a
berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda "Barang siapa membaca Al Quran
tanpa ilmu (tidak manqul) maka hendaklah menempati tempat duduknya di
Neraka" (Riwayat At Tirmizi)
3. Tingginya (Keutamaan) Ilmu Manqul
Ilmu manqul yang kita
miliki, yang kita praktikkan dalam menetapi Al Quran Hadis secara jamaah ini
yang kita junjung tinggi ini berdasarkan dalil-dalil haq dalam Al Quran dan
Hadis dan secara kenyataannya Allah memberikan nilai yang tinggi di antaranya:-
3.1 Ilmu Manqul Mengesahkan Amalan
Dengan ilmu manqul amal
ibadah seseorang menjadi sah, diterima oleh Allah, diberi pahala oleh Allah,
dimasukkan syurga. Tetapi tanpa manqul atau ro'yi ibadah seseorang tidak sah,
tidak diterima oleh Allah, tidak mendapat pahala bahkan dimasukkan ke dalam
Neraka berdasarkan dalil:
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu
mengatakan/mengerjakan pada apa-apa yang tidak ada ilmu bagimu (ilmu manqul).
Sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati semuanya itu akan
ditanya/diurus oleh Allah (Surah Al Isra':36)
"Dari sahabat Jundab ia
berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang
mengucapkan(menerangkan) kitab Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung dengan
pendapatnya(secara tidak manqul), walaupun benar maka sungguh ia telah
salah" (Riwayat Abu Daud)
Orang yang mangaji Al Quran
dan Hadis dengan ro'yi(tidak manqul) sama halnya dengan orang yang menggunakan
mata wang asli tetapi dengan cara yang tidak sah. Umpamanya wang itu hasil
curian atau seperti masuk rumah orang lain tanpa izin pemiliknya atau masuk
rumah tidak melalui pintu atau merosakkan pintu.
3.2 Ilmu Manqul Menjaga Kemurnian Agama
Kemurnian agama Islam dapat
dijaga dengan cara manqul-musnad-muttashil kerana kita mengatakan, mengamalkan
Al Quran dan Hadis ada sandarannya/sanadnya/silsilahnya yang sambung-bersambung
sampai Rasulullah SAW tanpa berani menambah, mengurangi atau mencampur dengan
pendapat sendiri, angan-angan sendiri, menafsirkan sendiri, otak-atik sendiri.
Sehingga ilmu Al Quran dan Hadis tetap terjaga kemurniannya. Jika kita berani
menambah, mengurangi atau mencampuri Al Quran dan Hadis di luar kemanqulannya
diancam dimasukkan ke dalam Neraka.
Berdasarkan sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud:
"Takutlah kamu pada
Hadis dariku kecuali apa-apa yang kamu ketahui. Barang siapa yang dusta atasku
dengan sengaja (hadis bukan dari Nabi dikatakan dari Nabi atau dari Nabi
dikatakan bukan dari Nabi) maka hendaklah menempati tempat duduknya di Neraka
dan barang siapa yang mengatakan tentang Al Quran dengan pendapatnya sendiri
maka hendaklah
menempati tempat duduknya di
Neraka" (Riwayat at Tirmizi)
Terjaganya kemurnian agama
Islam dengan cara manqul-musnad-muttashil jauh dari bid'ah, syirik, khurafat,
tahyul dan lainnya dapat digambarkan sebagaimana air gunung yang jernih,
bersih, sejuk dan terasa segar bagi sesiapa sahaja yang minum di tempat
sumbernya (mata airnya). Jika ada orang yang ingin merasakan (minum) air itu
jauh dari sumbernya/tempat mata iarnya maka harus melihat kepada saluran apa
air datang ke situ.
Kalau saluran itu berupa
sungai yang terbuka tidak terjaga maka automatik rasanya akan berubah bahkan
boleh menjadi racun kerana banyak orang yang membuang kotoran, toksid, sisa
rumah tangga, sisa industri, sampah ke sungai itu, sehingga sungai itu
tercemar. Tetapi jika saluran air itu melalui paip yang baik dan kuat serta terjaga
rapi meskipun jauh dari sumbernya. Bahkan walaupun di dalam tandas-tandas sekalipun, air yang keluar
daripada paip akan tetap sama dengan di tempat-tempat lain sama ada di dalam
kota atau di kampung-kampung, maka rasa air yang keluar dari paip akan sama
segarnya dan sama bersihnya dengan air ditempat sumbernya.
Ilmu digambarkan air, sumber
mata air menggambarkan asalnya ilmu iaitu dari Allah dan Rasulullah SAW.
Sedangkan paip yang baik dan kuat digambarkan sebagai isnadnya. Inilah
gambarannya!
3.3 Ilmu
Manqul Mudah Difahami Dalam Waktu Yang singkat
Dengan sistem manqul ilmu Al
Quran dan Hadis akan mudah untuk difahami dalam waktu yang relatif singkat,
tidak berpusing-pusing/berbelit-belit sehingga kita segera dapat mengamalkannya
dengan benar dan sah. Sebagaimana keterangan-keterangan yang kita terima dari
para mubalik dalam jemaah, bahawa guru/syaikh pada waktu mengaji secara manqul
di Mekah Al Mukarramah hanya memerlukan waktu 10 tahun sahaja. Alhamdulillah
atas kurniaan Allah dalam waktu 10 tahun itu beliau dapat menerima kemanqulan
Al Quran 30 juz bacaan, makna dan keterangan dengan Qiro'atussab'a (21 macam
bacaan) dan dapat menamatkan kitab-kitab hadis yang kesemuanya berjumlah 49
Kitab Hadis, semua itu dengan cara manqul dan beliau benar-benar faham terhadap
Al Quran dan Hadis yang diterima secara manqul.
Setelah pulang dari Mekah,
beliau terus amar makruf kepada sanak saudara, handai taulan,
sahabat-sahabatnya, kenalannya dan siapa sahaja untuk diajak menetapi agama
Islam yang haq berdasarkan Al Quran dan Hadis secara berjamaah. Mereka ada yang
mahu dan ada yang menolak juga ada yang merintangi/menentang tetapi beliau
tidak jatuh mental/takut, tetap bersemangat dalam amar makruf dengan
bermacam-macam cara, di antaranya beliau selalu mengadakan pengajian
khataman/asrama Al Quran dan Hadis secara manqul-musnad-muttashil dan tempat
pengajiannya berpindah-pindah. Dalam waktu kurang lebih satu bulan setiap
khataman/asrama boleh mengkhatamkan Al Quran 30juz bacaan, makna dan keterangan
secara jelas, dan mudah difahami sehingga para peserta khataman pulang dari
pengajian merasa puas, senang, gembira dan mantap.
Sampai sekarang kita terus
menerus melaksanakan pengajian-pengajian Al Quran dan Hadis dengan sistem
manqul-musnad-muttashil sehingga dalam waktu yang relatif singkat dapat
memahami Al Quran dan Hadis dengan mudah. Seperti pengajian khataman/asrama di
pondok-pondok, daerah-daerah pada bulan Ramadhan atau waktu lainya dalam waktu
kurang dari satu bulan Al Quran 30juz bacaan, makna, keterangan dapat
dikhatamkan atau 12 Kitab himpunan Hadis Nabi dapat dikhatamkan dalam waktu
kurang lebih satu bulan. Contoh lagi ialah pengajian Hadis-Hadis Besar seperti
Sahih Bukhari, Sunan Nasa'I, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi dan lainnya dalam
waktu kurang lebih 15 hari satu juz dapat dikhatamkan.
Dengan cara manqul
pengkajian dan pemahaman terhadap isi Al Quran dan Hadis jadi mudah, jelas,
cepat dan tepat kerana ada yang menuntun dan membimbing secara langsung.
Sebagai contoh mudah, jelas dan tepatnya dalam menerima Al Quran dan Hadis
secara manqul digambarkan seperti orang yang disuruh mengambil jarum. Orang
yang menyuruh menjelaskan: "Ambilkan jarum, jarumnya berada di dalam
almari pakaian yang ada di kamar tidur paling utara, kunci almari ada di
atasnya, bukalah almari pakaian itu dan carilah jarum itu pada rak yang paling
bawah di situ ada bungkusan kain warna hijau, jadi di situlah letaknya
jarum". Orang yang menerima perintah itu dengan sendirinya
akan dengan mudah, cepat dan
tepat untuk mengambil jarum yang dimaksudkan.
Sedangkan bagi orang yang
tidak manqul digambarkan seperti orang yang disuruh mengambil jarum dalam
almari tersebut belum sampai dijelaskan/dimanquli dia langsung terus mencari
sendiri padahal dalam rumah itu kamarnya banyak almari, pakainnya banyak dan
dikunci, maka orang tersebut tidak boleh menemukan jarum yang dimaksudkan, seandainya boleh menemukan, itu hanya suatu
kebetulan atau setelah bersusah payah membongkar/menyelongkar seluruh isi
rumah.
3.4 Ilmu Manqul Mempunyai Kehebatan, Wibawa,
Guna, Jaya, Mulia
Allah memberikan
"Kehebatan, Wibawa, Guna, Jaya dan Mulia" kepada ilmu manqul. Hanya
ilmu Al Quran dan Hadis yang diajar secara manqul-musnad-muttashil yang dapat
menumbuhkan keimanan, ketakwaan, kejayaan, kemenangan dan kemuliaan (berupa
Syurga).
Kita kembali mengimbau
sejarah perjuangan lampau, Guru/Syaikh kita, dalam amar makruf menyampaikan
agama Islam yang haq ini dengan berbagai macam cara di antaranya beliau pernah
mendatangi atau mengumpulkan beberapa ulama diajak kepada kebenaran kerana yang
mereka amalkan selama ini tidak cocok/sesuai dengan ajaran Al Quran dan Hadis
yang sebenarnya, kerana mereka tidak mahu, mereka dimaki-maki bahkan diajak
berdebat/adu ilmu, jika mereka dapat mengalahkan dengan dasar Al Quran dan
Hadis beliau sanggup di perbuat apa sahaja.
Perdebatan yang pernah
beliau hadiri salah satunya terjadi pada tahun 1952 bertempat di rumah Ketua
Kampung. Perdebatan itu dihadiri oleh lebih kurang 35 orang guru pondok dan
umat Islam lebih kurang 1,000 orang dari sekitar kampung. Masalah yang diperdebatkan
di antaranya masalah beduk, kentongan, kenduri /doa selamat orang mati, usholi
dsb ditinjau dari hukum Islam sebenarnya(ilmu manqul) bahkan mereka disuruh
bertanya apa sahaja tentang Islam, semua pertanyaan mereka dijawab berdasarkan
Al Quran dan Hadis. Dan mereka tidak dapat menyalahkan jawapan beliau. Hal itu
menunjukkan sebahagian contoh bahawa Allah memberikan "kehebatan,
wibawa" dan "jaya"(kemenangan) pada ilmu manqul.
Dengan ilmu secara
manqul-musnad-muttashil Allah memberikan "guna" (manfaat). Dengan
cara manqul-musnad-muttashil seseorang akan mempunyai keimanan yang kuat,
kukuh, tidak mudah terpengaruh dan imannya seperti akar pohon yang kuat dan
rimbun daunnya, serta berbuah tanpa mengenal musim. Iman dan takwanya selalu
nampak di mana sahaja dan dalam keadaan apa sahaja, seperti telah digambarkan
oleh Allah dalam Surah Ibrahim: 24-25
"Apakah kamu belum tahu
(Muhammad) bagaimana Allah membuat gambaran kalimat yang baik(kalimat yang
menunjukkan haq, kalimat tauhid, Al Quran), kalimat yang baik seperti pohon
yang baik, akarnya kuat, daunnya rimbun dan berbuah setiap musim dengan izin
Tuhannya. Demikian Allah membuat gambaran untuk manusia supaya mereka
ingat" Sebaliknya orang yang
mengkaji Al Quran dan Hadis dengan tidak manqul, musnad, muttashil, tidak dapat
memberi "Guna"(manfaat). Meskipun ilmunya banyak, peribadinya tidak
dapat mengamalkan, Allah menggambarkan dalam Surah Ibrahim:26
"Dan gambaran kalimat
yang jelek/buruk (kalimat yang batil, kalimat yang sesat) sebagaimana pohon
yang tidak kuat, mudah tumbang dari atas bumi"
Kesimpulan
- Kita wajib bersyukur
kepada Allah yang telah memberi hidayah kepada kita semua, sehingga kita redha
menerima Agama Islam secara murni, sistem pengambilan ilmu secara murni
(manqul-musnad-muttashil) dan pengamalannya juga murni (tidak dicampuri dengan
bid'ah, syirik, khurafat, tahyul, jin-jinan dan lainnya).
- Menurut aslinya mengkaji
Al Quran dan Hadis itu harus dengan manqul-musnad-muttashil iaitu cara yang
telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW, para tabi'in dan ulama-ulama sholihin.
- Mengkaji Al Quran dan
Hadis dengan cara manqul-musnad-muttashil hukumnya "WAJIB", sedangkan
dengan cara tanpa manqul/ro'yi dilarang dalam agama, hukumnya
"HARAM".
- Allah memberikan ilmu manqul-musnad-muttashil
adalah ilmu yang tinggi nilainya antaranya:
Mengesahkan pengamalan
Menjaga kemurnian keaslian
Agama Islam
Mudah difahami dalam waktu
yang relatif singkat
Memberikan "HEBAT,
WIBAWA, GUNA(manfaat), JAYA"(kemenangan/kejayaan) "MULIA"(dunia
akhirat)
- Mengagungkan terhadap ilmu
secara manqul adalah menganggap ilmu secara manqul merupakan ilmu yang paling
tinggi (ilmu sejagad).
Maka kita harus menganggap
ilmu manqul adalah ilmu yang utama, tidak boleh dianggap remeh. Sesuai dengan
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barang siapa yang
membaca dan memahamai Al Quran (secara Manqul) kemudian ia berpendapat bahawa
ada seseorang yang diberi lebih utama daripada yang telah diberikan kepadanya.
bererti dia mengagungkan apa-apa yang Allah meremehkan dan meremehkan apa-apa
yang Allah mengagungkan" (Riwayat
Al Tabrani dari Tafsir Ibnu Katsir)
- Mengingat utamanya ilmu
secara manqul-musnad-muttashil maka ilmu tersebut harus kita jaga, pertahankan
kemurniannya serta kita sebar-luaskan secara terus-menerus, sambung-bersambung,
turun-temurun illa yaumil qiyamah.
No comments:
Post a Comment